Memaparkan catatan dengan label Bahasa Malaysia - Isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Malaysia - Isu. Papar semua catatan

28 Disember 2012

Semakan Pemansuhan Nama Bahasa Malaysia


Ketetapan utama Muzakarah Munsyi Dewan di Institut Aminudin Baki pada 28 November hingga 1 Disember 2012 ialah harapan agar nama bahasa Melayu digunakan dalam semua keadaan dan bukannya nama bahasa Malaysia. Ketetapan ini dan ketetapan lain dijangka akan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri pada petang ini, Jumaat, 28 Disember 2012, selepas berlangsungnya penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ketetapan yang hampir sama dibuat dalam Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu Kali Ke-19 pada 20 – 22 Mac 2012 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Ketetapan itu berbunyi, “Penggunaan nama mata pelajaran Bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.” Jikalau ketetapan ini sudah disampaikan kepada pihak yang berkenaan, ketetapan Muzakarah Munsyi Dewan dapatlah dianggap sebagai menyokong ketetapan konvensyen itu sekali gus berupa peringatan kepada pihak yang berkenaan agar melaksanakan ketetapan itu.

Dalam pada itu, saya tertanya-tanya sama ada kedua-dua ketetapan itu memang perlu atau berupa usaha bertindih. Saya berkata demikian kerana saya pernah terbaca kenyataan bahawa Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 “bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri. Jikalau tidak silap, saya membaca kenyataan itu dalam Facebook Profesor Dr. Abdullah Hassan. Sayangnya saya sudah lupa tarikh penyiaran maklumat itu dan gagal pula untuk mencapainya semula.

Jikalau kenyataan yang saya baca itu benar, ketetapan konvensyen dan muzakarah sewajarnya dimulakan dengan kenyataan bahawa Timbalan Perdana Menteri sudah bersetuju agar nama bahasa Melayu dikekalkan. Ketetapan yang dikemukakan sewajarnya berupaya sokongan terhadap persetujuan itu. Seterusnya dinyatakan harapan agar kerajaan mengeluarkan arahan bagi memansuhkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 tentang penukaran nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Baik juga dinyatakan harapan agar pemansuhan itu dihebohkan melalui media sebagaimana menghebohkan arahan Kabinet pada bulan Jun 2007 itu.

Keputusan Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 itu mungkin pernah dihebohkan oleh media. Rasanya saya yang ketinggalan komuter. Apabila saya fikir-fikirkan peserta konvensyen dan muzakarah juga ketinggalan komuter. Alasannya sudah saya nyatakan dalam perenggan yang di atas. Kini saya tertanya-tanya pula, benarkah Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang bermesyuarat pada 11 Mei 2011 “bersetuju menerima istilah bahasa Melayu supaya dikekalkan”?

20 April 2011

Timbalan Perdana Menteri Selasa Menggunakan Istilah “Bahasa Melayu”


Pada hari ini, 20 April 2011 berlangsung majlis sambutan kunjungan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin ke Beijing Foreign Studies University (ke BFSU) dalam rangka kunjungan rasminya ke Republik Rakyat China. Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di BFSU, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan memberikan gambaran sambutan itu dalam blognya. Antara lain beliau menulis:

Malah dalam hal istilah “bahasa Melayu” dan “bahasa Malaysia” yang masih menjadi polemik di Malaysia, beliau tampaknya secara agak tekal menggunakan istilah “bahasa Melayu”. Apabila sesekali beliau tersebut istilah “bahasa Malaysia”, dengan segera beliau membetulkannya dengan berkata, "... maksud saya bahasa Melayu."

Beliau juga menulis, “Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam majlis antarabangsa seperti itu patut dicontoh oleh para pemimpin dan para pentadbir semua sektor awam.”

Saya berharap, harapan ini dan yang seumpamanya didengar oleh para pemimpin dan para pentadbir. Saya yakin Profesor Dr. Haji Awang Sariyan pernah dan akan terus menyatakan harapan ini dan yang seumpamanya melalui ceramah, tulisan, memorandum dan sebagainya. Kita memerlukan lebih banyak rakan yang dapat menyampaikan hasrat murni kita melalui media di bawah urus tadbir mereka.

Saya mencadangkan agar pengunjung membaca tulisan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan di blog Kembara Bahasa. Perbincangan di Facebook: Klik di sini. Masukan yang berkaitan: Klik di sini.

08 April 2011

Enam Justifikasi untuk Menolak Penggunaan Istilah “Bahasa Malaysia”

Hari ini Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan menerbitkan nota tentang justifikasi untuk menolak penggunaan istilah “bahasa Malaysia” bagi menggantikan istilah “bahasa Melayu” dalam Facebooknya. Nota itu hasil usaha beliau bersama-sama Tuan Rusli Abdul Ghani dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya meringkaskan nota itu seperti yang di bawah. Nota asal boleh dibaca di sini atau di sini.

06 Mac 2010

Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia: Mengeruhkan yang Jernih

Kelihatannya pihak yang berkuasa berjaya memalitkan lumpur pada DBP. Akibatnya, ada rakan menganggap DBP bagai lalang dan bertolong-tolongan mengeruhkan yang jernih.

1972: Penduduk Kampung Limbanak Selesa Menggunakan Istilah Bahasa Melayu

Pada tahun 1972, saya mengajarkan mata pelajaran Bahasa Malaysia di SRK Limbanak, Penampang. Semua murid dan guru ialah suku kaum Kadazan, kecuali saya. Saya ialah guru yang mengajarkan Bahasa Malaysia sahaja, termasuk tulisan Jawi. Kecuali sejumlah murid darjah satu, semua murid, guru dan masyarakat di kampung itu dan kampung-kampung di sekitarnya dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

04 Mac 2010

Istilah “Bahasa Malaysia”: Bahasa Arab Contoh Terbaik

Saya menerbitkan masukan blog ini yang bertajuk “Pandangan Menarik tentang Istilah Bahasa Malaysia” di Facebook saya pada 2 Mac 2010. Masukan itu mendapat sambutan yang baik daripada rakan-rakan saya. Saya salin ulasan tiga orang rakan saya untuk tatapan kita.

25 Februari 2010

Pandangan Menarik tentang Istilah Bahasa Malaysia

Nusaybah adalah antara pengulas satu masukan di blog Faisal Tehrani yang bertajuk “Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?” Ulasan Nusaybah menarik dan wajar menjadi renungan kita. Ulasan beliau adalah seperti yang di bawah:

03 Januari 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas 7/2009: KOMSAS Bahasa Malaysia 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas ini menggunakan istilah bahasa Malaysia. Hal ini bermakna ada mata pelajaran Bahasa Malaysia pada tahun 2010. Adakah istilah bahasa Malaysia sudah digunakan di sekolah sejak pertengahan tahun 2007?

Saya mohon pengunjung mencatatkan sama ada Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan istilah kesusasteraan Malaysia atau kesusasteraan Melayu, dalam ruangan ulasan. Mohon catatkan sumber rujukan seperti pekeliling ini.

KOMSAS, SPI 7-2009

30 Disember 2009

Wasiat Raja Melayu Menjadi Bahan Renungan

Pada 5 Ogos 1957, sembilan orang raja Melayu menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sekali gus “memahat” tujuh wasiat raja Melayu seperti yang berikut:

21 Disember 2009

Gunakanlah Bahasa Malaysia atau Kembali Menggunakan Bahasa Melayu?

“Gunakanlah Bahasa Malaysia” ialah tajuk nota editor Pelita Bahasa keluaran Ogos 2007. Dalam nota itu dinyatakan bahawa keputusan menukarkan istilah “bahasa Melayu” kepada “bahasa Malaysia” “diambil setelah pertimbangan yang sewajarnya diberikan”. Oleh itu, penulis mencadangkan agar pembaca majalah Pelita Bahasa melihat pertukaran itu “daripada perspektif yang positif”. Penulis menegaskan bahawa “pertukaran istilah itu dilakukan untuk menimbulkan perasaan kekitaan, perpaduan dan integrasi”.

20 Disember 2009

Penggunaan Istilah Bahasa Malaysia – Perbincangan di E-Grup JPM 2007

Beberapa orang ahli E-Grup Jabatan Pengajian Melayu (JPM) pernah menimbulkan penggunaan istilah “bahasa Malaysia”. Satu soalan menarik dikemukakan oleh Rizal Othaman Tehrani pada 30 Jun 2007. Soalannya yang sudah disunting adalah seperti yang di bawah:

18 Disember 2009

Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia: Pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad (2)


"Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.” Ini ialah ayat yang terdapat dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 (1) ini menjadi rujukan kita apabila ada usaha untuk menukarkan nama bahasa kebangsaan kita daripada bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia.

25 November 2009

Peranan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan – Tan Sri Muhyiddin

“Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara mempunyai peranan besar dalam menegakkan identiti dan jati diri bangsa Malaysia, dan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia sangat dominan,” ujar YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohamad Yassin ketika melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Kuching pada 6 Oktober 2009.

Pedoman Bahasa (JPEG) 070. Minda Tokoh Timbalan Perdana Menteri.

24 November 2009

Tulisan Lama dan Buku Teks Bahasa Malaysia 2011

Hari ini saya membaca beberapa tulisan lama yang tersiar di akhbar. Antara tulisan yang menarik perhatian saya ialah tulisan Nyza Ayob yang bertajuk “Tukar Bahasa Melayu kepada Malaysia, Keputusan Politik Tanpa Rujuk Pakar”. Tulisan itu tersiar dalam Harakahdaily.Net keluaran 13 Jun 2007.

20 November 2009

Beberapa Pandangan tentang Bahasa Kebangsaan

Beberapa hari ini saya menggunakan masa lapang untuk menyemak tajuk makalah dalam majalah Pelita Bahasa terbitan tahun 2007. Saya sempat membaca beberapa makalah. Antaranya termasuklah makalah “Taraf Bahasa Melayu dalam Perlembagaan” tulisan Tuan Mohd Pauzi Mahmad yang tersiar dalam majalah itu, keluaran Ogos. Ada dua isi makalah itu yang wajar saya kongsikan bersama-sama dengan para pembaca.

01 November 2009

Penggunaan Istilah Bahasa Malaysia

Paparan ini ialah jawapan piawai Khidmat Nasihat Bahasa (KNB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia tentang penggunaan istilah “bahasa Melayu” dan “bahasa Malaysia”. Butiran tentang perkara ini terdapat dalam blog ini. Sila rujuk masukan yang bertajuk “Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia: Pandangan KNB”.

Kita boleh menyusun semula ayat tentang penggunaan istilah “bahasa Malaysia” dalam paparan ini. Kita boleh menulisnya semula begini: “Istilah ‘bahasa Malaysia’ boleh digunakan dalam komunikasi sosial yang tidak rasmi”. Tegasnya, dalam komunikasi rasmi, kita hendaklah menggunakan istilah “bahasa Melayu”.

Pedoman Bahasa (JPEG) 067. Istilah “Bahasa Malaysia”.

31 Oktober 2009

Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia: Pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad

Bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu. Hal ini tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad tentang perkara ini dalam Klik DBP keluaran 16 Mei 2007 wajar menjadi renungan kita.

Masukan yang berkaitan: (1) Perkara 152 Tidak Boleh Dipinda (2) Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia: Pandangan KNB (3) Gerakan Bahasa Kebangsaan Memerlukan Transformasi (4) Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial (5) Pembudayaan Bahasa Kebangsaan (6) Pandangan tentang Pendekatan Modular Bahasa Melayu

Pedoman Bahasa (JPEG) 065. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu

Lampiran

Suatu ketika dahulu, nama bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia. Tidak lama kemudian istilah bahasa Malaysia dihapuskan dan nama bahasa Melayu dikembalikan. Sekarang, saya dengar nama bahasa Malaysia itu hendak digunakan semula, menggantikan istilah bahasa Melayu.

Alasan menggantikan nama bahasa Melayu dengan istilah rekaan bahasa Malaysia ialah, bahasa Melayu bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga untuk semua rakyat atau warga Malaysia. Pada fikiran orang yang menciptakan istilah itu, nama bahasa Malaysia sesuailah digunakan untuk membebaskan bahasa Melayu daripada sebarang kaitan dengan etnik Melayu atau bangsa Melayu. Jadi, istilah bahasa Malaysia dianggap sebagai istilah yang neutral atau bebas etnik.

Namun begitu, bahasa Malaysia tidak semestinya menunjukkan bahawa itu adalah bahasa Melayu. Semua bahasa di Malaysia – bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Kadazan, bahasa Iban, dan lain-lain lagi – dapat dianggap sebagai bahasa Malaysia, selain bahasa Melayu. Bahkan, dalam Perlembagaan, dalam Akta Bahasa Kebangsaan (1963/1968) dan dalam Akta Pendidikan disebut bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Persekutuan Malaysia. Istilah bahasa Malaysia tidak digunakan dalam dokumen-dokumen perundangan (akta) itu. Inilah taraf politik-legalistik bahasa Melayu yang membezakan taraf bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain. Ini dasar untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik.

Hal yang lebih penting ialah, hakikat genetik bahasa atau etnolinguistik bahasa Melayu, iaitu bahasa Melayu ialah bahasa orang Melayu, bukan bahasa orang Cina, orang India, orang Inggeris dan lain-lain lagi. Jadi istilah Melayu tidak dapat dipisahkan atau dihapuskan daripada istilah bahasa Melayu. Cuba fikirkan, adakah bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi Britain dan Australia, misalnya, disebut bahasa Britain atau bahasa Australia? Jawapannya tidak. Bahasa rasmi Britain dan Australia ialah bahasa Inggeris. Di negara yang menggunakan lebih daripada satu bahasa rasmi, bahasa-bahasa rasmi itu tetap mengekalkan status genetik atau etnolinguistiknya. Contohnya Singapura.

Memang ada negara yang mengaitkan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya dengan nama negara. Contoh yang ketara ialah Indonesia. Di sana bahasa rasmi/bahasa kebangsaan Indonesia disebut bahasa Indonesia walaupun dari segi genetiknya bahasa Indonesia itu sebenarnya ialah bahasa Melayu, bukan bahasa Jawa, bukan bahasa Minangkabau, bahasa Bugis, Aceh dan lain-lain lagi. Keadaan demografi bahasa di Indonesia cukup heterogen dan kompleks. Di sana terdapat ratusan bahasa etnik dari rumpun bahasa Melayu-Polinesia. Tetapi bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa pemersatuan atau lingua franca di Indonesia (sejak zaman pemerintahan Belanda). Bahasa inilah yang akhirnya diterima sebagai bahasa bebas etnik untuk menyatupadukan penduduk Indonesia yang cukup heterogen itu. Dengan kata lain, bahasa Melayu di Indonesia tidak dikaitkan lagi dengan etnik Melayu atau dengan kuasa Melayu.

Di Malaysia, kita tidak perlu menciptakan istilah baharu yang kononnya neutral atau bebas etnik untuk menggantikan nama bahasa Melayu. Istilah yang lebih bersifat supraetnik dan supradaerah atau wilayah sudah ada dalam Perlembagaan, iaitu bahasa kebangsaan.

Janganlah kita menimbulkan masalah yang tidak habis-habis disebabkan orang yang berkuasa membuat keputusan tidak berfikir berdasarkan kebenaran dan ilmu. Istilah Persekutuan Tanah Melayu sudah tidak ada lagi, digantikan dengan istilah Malaysia Barat. Janganlah kita menghapuskan nama bahasa Melayu pula.

30 Oktober 2009

Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia: Pandangan KNB

Dalam arkib Khidmat Nasihat Bahasa (KNB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terdapat 23 soal jawab tentang perbezaan istilah bahasa Melayu dengan bahasa Malaysia. Inilah keputusan carian dengan menggunakan frasa “istilah bahasa Malaysia” di Laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) pada pagi 30 Oktober 2009.

Sebanyak 14 soal jawab terdapat dalam lampiran yang di bawah. Sembilan soal jawab diabaikan kerana berulang, bercampur dengan isu lain, soalannya terlalu panjang atau bahasa penyoal bercelaru. Soal jawab dalam lampiran ini sudah disunting dan disusun berdasarkan tarikh.

Umumnya para penyoal ingin mendapat penjelasan daripada KNB sama ada DBP menerima pakai istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Jawapan piawai pihak KNB adalah seperti yang berikut:

“Selagi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia boleh digunakan di samping istilah bahasa Melayu.”

Lampiran

1. 2007-06-14 Soalan: Adakah semua buku rujukan Bahasa Melayu perlu ditukar kepada Bahasa Malaysia? Jawapan: Buku rujukan Bahasa Melayu yang sedia ada tidak perlu ditukarkan kepada Bahasa Malaysia. Hanya buku baharu yang akan dicetak selepas tarikh pengumuman pertukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia perlu menggunakan istilah bahasa Malaysia.

2. 2007-07-11 Soalan: Apakah pandangan DBP terhadap gesaan menggunakan bahasa Malaysia bagi menggantikan bahasa Melayu? Rujuk jawapan piawai.

3. 2007-07-18 Soalan: Saya memperoleh maklumat bahawasanya pihak kerajaan telah memutuskan untuk menggunakan istilah bahasa Malaysia menggantikan bahasa Melayu. Adakah perkara ini benar? Jawapan: Dalam akhbar bertarikh 5 Jun 2007, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa kabinet memutuskan untuk menukar istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dalam semua bidang dengan alasan untuk tujuan perpaduan.

4. 2007-12-04 Soalan: Saya ingin mendapatkan pengesahan sama ada pertukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sudah berkuat kuasa atau belum. Saya menghadapi kekeliruan ini apabila membaca Pelita Bahasa keluaran Ogos 2007. Pada bahagian nota editor, dikatakan bahawa istilah bahasa Melayu sudah ditukar kepada bahasa Malaysia. Mengapakah istilah bahasa Melayu masih digunakan dalam majalah itu? Saya juga bertanya kepada pensyarah saya. Beliau mengatakan bahawa istilah bahasa Melayu tidak ditukar kepada bahasa Malaysia. Saya amat keliru dan diharapkan pihak DBP dapat membantu. Rujuk jawapan piawai.

5. 2007-12-20 Soalan: Apakah nama yang betul dan harus digunakan, adakah bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Selama ini yang saya tahu ialah pihak DBP menganjurkan nama bahasa Melayu, tetapi baru-baru (Jun 2007) ini, Kabinet mengumumkan bahawa nama yang patut digunakan ialah Bahasa Malaysia dengan alasan untuk melahirkan semangat patriotik. Apakah pendirian DBP dalam hal ini? Rujuk jawapan piawai.

6. 2008-02-21 Soalan: Saya masih keliru dengan penggunaan istilah bahasa Malaysia. Saya mendapati kebanyakan media cetak masih menggunakan istilah bahasa Melayu dalam semua artikel/penulisan termasuk dalam Dewan Masyarakat dan Pelita Bahasa. Persoalannya, adakah istilah bahasa Malaysia itu hanya dikuatkuasakan penggunaannya di sekolah sahaja? Rujuk jawapan piawai.

7. 26-02-2008 Soalan: Saya rasa istilah bahasa Melayu telah ditukar semula menjadi bahasa Malaysia selepas sambutan kemerdekaan ke-50. Tetapi Pelita Bahasa Februari 2008 masih menggunakan istilah bahasa Melayu. Adakah masih kekal sebagai bahasa Melayu? Rujuk jawapan piawai.

8. 2008-06-01 Soalan: Sekolah-sekolah kini menggunakan istilah bahasa Malaysia tetapi Lembaga Peperiksaan masih menggunakan bahasa Melayu. Yang mana satu penggunaan terkini? Rujuk jawapan piawai. Berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu oleh Lembaga Peperiksaan, sila dapatkan penjelasan lanjut daripada Lembaga Peperiksaan.

9. 2009-01-12 Soalan: Bilakah kita gunakan perkataan bahasa Melayu dan bahasa Malaysia? Jawapan: Merujuk Perlembagaan Negara, bahasa rasmi negara kita ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun untuk tujuan perpaduan istilah bahasa Malaysia boleh digunakan.

10. 2009-04-20 Soalan: Istilah manakah yang diterima pakai sekarang, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia? Rujuk jawapan piawai.

11. 2009-06-30 Soalan: Saya ingin kepastian tentang penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Rujuk jawapan piawai.

12. 2009-08-24 Soalan: Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia kita gunakan sekarang? Rujuk jawapan piawai.

13. 2009-09-04 Soalan: Apakah penggunaan yang betul, sama ada bahasa Melayu atau bahasa Malaysia? Rujuk jawapan piawai.

14. 2009-09-06 Soalan: Kekeliruan rakyat tetap timbul mengenai istilah bahasa Melayu dan bahasa Malaysia. Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, bahasa Melayu ialah bahasa rasmi yang mendukung sebagai bahasa Kebangsaan. Persoalannya mengapa istilah bahasa Malaysia digunakan dalam konteks ini. Bukankah bahasa Malaysia itu mencakupi bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Kantonis, bahasa Tamil. bahasa Iban, bahasa Kadazan dan lain-lain? Mengapa DBP tidak bertegas dalam soal ini? Rujuk jawapan piawai.

09 Oktober 2009

Pandangan tentang Pendekatan Modular Bahasa Melayu

Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu memang wajar bermula di bangku sekolah rendah. Antara usaha itu ialah meningkatkan kadar celik huruf. Jadi, kita menyambut baik rancangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk meningkatkan kadar celik huruf melalui pelbagai program.

Program terkini KPM yang bertujuan untuk meningkatkan kadar celik huruf ialah pendekatan modular. KPM akan menggunakan pendekatan itu mulai tahun 2012. Kumpulan sasar utama pendekatan itu ialah murid prasekolah. Mereka akan menggunakan modul penguasaan asas berbahasa yang bermula dengan aktiviti kesediaan dan diikuti dengan aktiviti bacaan asas.

Dalam berita tentang perkara ini pada 25 September 2009, Berita Harian Online menggunakan ungkapan “Kurikulum Standard Bahasa Malaysia” dan “Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia”. Dalam ungkapan itu terdapat penggunaan istilah “bahasa Malaysia”. Kita berharap penggunaan istilah “bahasa Malaysia” ini bukan bersumber daripada KPM.

Pada hemat saya, nama program ini mestilah menggunakan istilah “bahasa Melayu”. Penggunaan istilah “bahasa Melayu” menunjukkan kita menghayati Rukun Negara, bukan sekadar menghafal prinsipnya.

Apabila kita menggunakan istilah “bahasa Melayu”, hal itu menunjukkan bahawa kita menghayati prinsip “Keluhuran Perlembagaan” dalam Rukun Negara. Kita tahu, Perkara 152 wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita mengetahui dan memahami kandungan Perkara 152 itu. Kita akur dengan peruntukan dalam Perkara 152 itu yang menyatakan bahawa “bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”.

Apabila kita menggunakan istilah “bahasa Melayu”, hal itu juga menunjukkan bahawa kita menghayati prinsip “Kedaulatan Undang-undang” dalam Rukun Negara. Antara undang-undang yang kita hayati termasuklah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Kemas Kini 2006). Akta ini menggunakan istilah “bahasa kebangsaan” dan penjelasannya terdapat dalam Perkara 152.

Satu lagi akta yang kita hayati ialah Akta Pendidikan 1996. Akta ini menyatakan, “bahasa kebangsaan ertinya bahasa Melayu sebagaimana yang ditentukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan”.

Jelaslah bahawa penggunaan istilah “bahasa Melayu” menyerlahkan semangat patriotik, sekali gus menunjukkan penghayatan kita terhadap satu daripada empat kontrak sosial. Penggunaan istilah “bahasa Melayu” juga menunjukkan kita menjadi pendukung pembudayaan bahasa kebangsaan, iaitu kita menggunakan bahasa Melayu (termasuk istilah “bahasa Melayu”) dengan penuh kebanggaan dan kecintaan yang disebabkan oleh kedalaman patriotisme.

Kita berharap pendekatan modular dapat menangani kemelut tidak celik huruf. Pada 12 September 2009, Berita Harian Online menyiarkan berita bahawa 85,000 orang pelajar tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M).

Kita berharap, pada bulan September 2012 akhbar yang sama melaporkan “hampir semua” pelajar tahun satu sudah menguasai 2M. Kita berharap pada masa itu murid tahun satu yang belum menguasai 2M berjumlah kurang daripada 1,000 orang. Murid ini pula mungkin menguasai 2M setelah mengikuti program pemulihan khas atau pendidikan khas.

Kita yakin KPM mengambil kira fakta bahawa 35 peratus kanak-kanak di negara kita tidak berpeluang untuk mengikuti kelas prasekolah. Perkara ini tersirat dalam laporan Berita Harian Online pada 12 September itu.

Dalam laporan itu juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, kerajaan mensasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012. Hal ini bermakna, apabila KPM memulakan pendekatan modular, 15 peratus kanak-kanak di negara kita belum menguasai 2M.

Rumusannya, pendekatan modular itu hendaklah mengambil kira faktor-faktor ini. Guru Bahasa Melayu memerlukan modul yang sesuai dengan situasi setempat dan semasa. Jadi, kandungan modul itu perlu pelbagai dan luwes. Hal ini membolehkan guru untuk memilih modul yang sesuai dengan keperluan murid.

LampiranPendekatan Modular Dilaksana Tingkatkan Pembelajaran BM
Oleh Khairina Yasin, Berita Harian Online: 25 September 2009

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan pendekatan modular dalam Kurikulum Standard Bahasa Malaysia sebagai satu daripada strategi pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) bermula 2012.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan, Kementerian Pelajaran, Dr Haili Dolhan, berkata pendekatan itu satu daripada usaha penambahbaikan kurikulum sedia ada yang lebih menekankan konsep huraian sukatan pelajaran.

Menerusi pendekatan modular, katanya, kurikulum digubal dan disampaikan mengikut bahagian dan unit lengkap dengan gabungan pengetahuan, kemahiran dan nilai bersepadu yang seimbang serta holistik.

“Penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan kurikulum BM di semua peringkat sekolah sentiasa relevan dan bersepadu bagi melahirkan insan seimbang.

“Ia juga satu mekanisme mantap, bestari dan berkesan bagi memastikan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah terus kukuh,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada murid prasekolah menerusi modul penguasaan asas berbahasa dimulai dengan pradengar, prabaca dan pratulis, selain mengenal abjad serta perkataan.

Katanya, modul itu bertujuan memastikan murid mendapat asas dan landasan kukuh untuk menguasai kemahiran berbahasa merangkumi kemahiran mendengar, menulis, membaca dan bertutur dalam BM dengan baik.

“Pelaksanaan secara berstruktur dan sistematik menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara berkesan diyakini dapat membantu murid memantapkan kefahaman dan penggunaan BM yang tepat.

“Setiap kemahiran akan didedahkan menerusi modul masing-masing yang dibangunkan menepati keperluan penguasaan BM murid,” katanya.

Selain itu, Haili berkata, elemen seni bahasa juga akan diketengahkan menerusi aplikasi kemahiran bahasa dan pendekatan didik hibur yang menyeronokkan.

Pendekatan didik hibur, katanya, akan dijelmakan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi mewujudkan proses P&P interaktif dan menyeronokkan.

“Malah elemen sastera BM kontemporari kepada murid tahap dua sekolah rendah juga akan diperkenalkan sejajar dengan pelaksanaan komponen sastera BM atau KOMSAS di sekolah menengah sejak tahun 2000,” katanya.

06 Oktober 2009

Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial

Makalah utama majalah Dewan Bahasa keluaran Oktober 2009 ialah “Bahasa Melayu Asas Kontrak Sosial” tulisan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan. Dalam makalah ini Profesor Awang menjelaskan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam konteks pembinaan negara.

Penulis menjelaskan, istilah social contract ciptaan Rousseau berkaitan dengan perubahan sistem pemerintahan. Sebaliknya, istilah kontrak sosial yang kita gunakan berkaitan dengan pembinaan negara dan bukannya perubahan sistem pemerintahan. Kontrak sosial merujuk kepada persetujuan warganegara tentang asas untuk membina negara, khususnya di negara-negara dunia ketiga yang baru lepas daripada belenggu penjajahan.

Pada waktu kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, orang Cina dan India menikmati pemberian taraf kerakyatan secara automatik. Sebagai imbangan terhadap nikmat itu, wujud empat perkara pokok sebagai kontrak sosial antara warganegara baharu dengan penduduk asal. Empat perkara pokok itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu
  1. Kedudukan Raja-raja Melayu – Perkara 32 (1)
  2. Agama Islam sebagai agama Persekutuan – Perkara 3 (10)
  3. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi – Perkara 152 (1)
  4. Hak istimewa orang Melayu – Perkara 153
Apabila Malaysia terbentuk pada tahun 1963, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan diperluas. Perkara itu meliputi hak istimewa kaum-kaum Bumiputera yang lain, terutama di Sabah dan Sarawak. Dalam Perlembagaan Persekutuan juga termaktub bahawa keempat-empat perkara pokok kontrak sosial ini sentiasa disertai jaminan tiadanya penghapusan dan pengurangan hak orang bukan Melayu dan Bumiputera.

Sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan menggubal Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) sebagai salah satu dasar negara. Bersama-sama dengan dasar negara yang lain seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, DBK memainkan peranan yang penting dalam proses pembinaan negara bangsa.

Pembinaan negara bangsa berasaskan semua ras dalam negara kita. Asasnya bertunjangkan beberapa dasar, termasuklah DBK. Sebagai tunjang kepada asas, usaha memperkasakan bahasa mesti mendapat keutamaan kita.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi asas jati diri bangsa Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara.

Akta Pendidikan 1996 menyatakan bahawa bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara ialah bahasa Melayu. Dengan perkataan lain, bahasa Melayu ialah bahasa ilmu. Sebagai bahasa pengantar, sekali gus bahasa ilmu, bahasa Melayu berjaya membentuk kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa dalam kalangan generasi muda Malaysia.

Sudah menjadi sejarah bahawa pihak berwajib meruntuhkan kejayaan bahasa Melayu dengan mengetepikan fungsinya untuk mengajarkan mata pelajaran Sains, Matematik dan teknikal. Namun, kita bersyukur kerana pihak yang berkenaan sudah kembali ke pangkal jalan. Agar peristiwa hitam itu tidak berulang, seluruh masyarakat bertanggungjawab mempertahankan dan memartabatkan bahasa kebangsaan kita.