04 Mac 2010

Istilah “Bahasa Malaysia”: Bahasa Arab Contoh Terbaik

Saya menerbitkan masukan blog ini yang bertajuk “Pandangan Menarik tentang Istilah Bahasa Malaysia” di Facebook saya pada 2 Mac 2010. Masukan itu mendapat sambutan yang baik daripada rakan-rakan saya. Saya salin ulasan tiga orang rakan saya untuk tatapan kita.

Suhaimi Mohd Salleh
Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Jika digunakan istilah “bahasa Malaysia” pun, peraturannya tetap berdasarkan bahasa Melayu. Andai dibincangkan dari aspek “yang terbuka”, kedua-duanya tidak menjadi masalah untuk digunakan. Namun begitu, semangatnya berlainan.

Saya masih dapat menerima istilah “bahasa Malaysia” dalam konteks penggunaan harian, kerana digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, tetapi saya tidak bersetuju nama bagi mata pelajaran di sekolah dan IPT menggunakan “Bahasa Malaysia”. Hal ini demikian kerana yang dipelajari ialah peraturan bagi bahasa Melayu, iaitu hukum yang telah lama wujud, bukan hukum baharu.

Marniyati Mohd. Nor
Saya tetap memilih “bahasa Melayu” melainkan jika merujuk kepada tajuk buku yang digunakan oleh pelajar sekolah. Lucu dan aneh apabila buku teks (bacaan) anak saya (darjah dua) bertajuk “Bahasa Melayu” dan buku teks (latihan) pula bertajuk “Bahasa Malaysia”. Bercelaru minda anak-anak dibuatnya. Ainol Kusyairi
Merujuk kepada “Jawapan Piawai Khidmat Bahasa DBP”, dibezakan pula penggunaan istilah bahasa Melayu dengan bahasa Malaysia dari sudut rasmi dan tidak rasmi. Di manakah ketegasan DBP dalam memertabatkan bahasa Melayu?

Kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Islam itu universal meliputi berbagai bangsa di dunia, tetapi al-Quran dan hadis itu bahasanya SATU sahaja, iaitu bahasa Arab. Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengubah nama bahasa Arab kepada nama yang lain. Namanya kekal sehingga ke hari ini, sama ada rasmi atau tidak rasmi. Malah Nabi Muhammad berbangga dan katanya, “Aku adalah orang yang paling fasih bertutur bahasa Arab dari seluruh orang Arab. Sesungguhnya aku berasal dari Bani Quraisy!


Ulasan Tuan Ainol Kusyairi menunjukkan bahawa bahasa Arab ialah contoh terbaik untuk kita meneruskan penggunaan istilah “bahasa Melayu” yang sudah mantap selama tujuh abad. Istilah “bahasa Malaysia” mula digunakan pada tahun 1970 dan kita menggunakan istilah itu “bahasa Malaysia” lebih kurang 16 tahun. Mulai tahun 1986, kita kembali menggunakan istilah “bahasa Melayu”.

Tahun 1986 ialah tahun permulaan perkhidmatan seorang Menteri Pendidikan. Perkhidmatannya berterusan hingga tahun 1990. Pada zamannya, kita juga mula ghairah menggunakan sebutan baku dan menerapkan semangat patriotik.

Setelah lebih kurang 20 tahun kita berasa selesa menggunakan istilah “bahasa Melayu”, tiba-tiba pada pertengahan tahun 2007 kita diminta menggunakan nama lama yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Rukun Negara. Keputusan itu tergesa-gesa, tidak patriotik dan pernah dilabelkan sebagai bermotifkan politik.

Saya percaya masyarakat kita, terutamanya golongan remaja, tidak memahami maksud bermotifkan politik itu. Saya juga tidak berupaya memberikan bukti yang konkrit. Namun, saya mengagak bahawa “arahan longgar” tentang penggunaan istilah “bahasa Malaysia” itu ada kaitan dengan kebencian terhadap insan yang sebangsa dan seagama dan pernah sekhemah dengan pihak yang membenci itu. Jikalau saya tidak silap, insan itulah ialah mantan Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri yang pernah mempopularkan sebutan baku.

Bantahan daripada pelbagai pihak memang ada. Bantahan itu jelas tidak berkesan apabila kelihatannya Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan menggunakan istilah “bahasa Malaysia” sebagai mata pelajaran mulai tahun 2011.

Tiada ulasan: