Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan

13 Ogos 2009

Hang Tuah Lebih Gagah daripada Superman

Oleh sebab itu, kami melihat Hikayat Hang Tuah (HHT) sebagai satu ruang dan peluang kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) untuk menguar-uarkan kepada masyarakat luar bahawa masyarakat Melayu mempunyai wira yang berbeza dan lebih kuat. Oleh sebab itu jugalah maka pihak ITNM mengambil daya usaha untuk menterjemahkan HHT atau Epic of Hang Tuah yang akan dilancarkan di Pesta Buku Frankfurt bulan Oktober 2009 nanti. – Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan, ITNM.

Fakta
Penterjemah berdaftar dengan ITNM – 1,415 orang
Penterjemah aktif – 232 orang
Sasaran terjemahan buku setahun
2009 – 144 buah
2010 – 156 buah
2014 – 300 buah
80% buku terjemahan daripada bahasa asing kepada bahasa Melayu
20% buku terjemahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa asing

Sumber: Ritah Yahaya dan Nurhamizah Haji Hashim, “ITNM Bertanggungjawab untuk Memandaikan Bangsa”, Dewan Bahasa, Oktober 2009, halaman 63.

07 Januari 2009

Konsep Melayu

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Istilah “Melayu” digunakan sejak sebelum Masehi. Contohnya, dalam sebuah kitab Hindu purba yang ditulis sekitar 500 sebelum Masehi ditemukan istilah Malaya dvipa. Para pengkaji berpendapat istilah itu merujuk kepada Pulau Sumatera. Pada sekitar 100 sebelum Masehi pula seorang ahli Matematik Greek yang bernama Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon atau “Melayu” dalam satu karyanya. Sekurun kemudian, iaitu dalam abad ke-7 Masehi, terdapat perkataan Mo-lo-yu dalam catatan seorang pengembara Cina yang bernama I’tsing. Mo-lo-yu merujuk kepada kerajaan Jambi atau Sriwijaya di Sumatera. Rumusannya, sehingga abad ke-7 istilah “Melayu” digunakan untuk merujuk nama tempat atau kerajaan, bukan nama bangsa atau bahasa.

Istilah “Melayu” untuk merujuk nama bangsa atau bahasa mula digunakan pada zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Namun, istilah “Melayu” pada masa itu digunakan untuk merujuk keturunan raja-raja Melayu dari Sumatera sahaja.

Istilah “Melayu” untuk merujuk nama bangsa secara umum yang merangkumi suku bangsa serumpun di Nusantara, digunakan dengan meluas pada abad ke-17. Pada masa ini, apabila disebut perkataan “Melayu” takrif umumnya, iaitu dari sudut antropologi, ialah suku bangsa di Kepulauan Melayu atau Nusantara, termasuk pelbagai kelompok serumpun bahasa dalam kalangan kelompok bahasa Melayu-Polinesia. Kelompok suku bangsa ini mendiami wilayah Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, selatan Thailand, pesisir timur Pulau Sumatera, pesisir Pulau Borneo dan wilayah-wilayah lain di Nusantara serta kawasan penghijrahan mereka di seluruh dunia. Mereka ialah penutur teras bahasa Melayu.

Takrif dari sudut antropologi ini sesuai dengan takrif yang diberikan oleh UNESCO pada tahun 1972 yang merujuk “Melayu” sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.

Di Malaysia, takrif Melayu dalam Fasal 160, Perlembagaan Persekutuan adalah seperti yang berikut:
“… seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan
(a) Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau ibu bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada Hari Merdeka ini adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura atau
(b) Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.”

Jelaslah bahawa pengertian perkataan “Melayu” itu dapat dilihat dari dua sudut. Yang pertama ialah pengertiannya dari sudut pandangan yang luas atau sudut pandangan antropologi. Yang kedua ialah pengertiannya dari sudut pandangan yang terhad, iaitu khusus untuk negara Malaysia sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengertian yang pertama kita gunakan dalam bidang ilmu. Contohnya, apabila kita mengkaji sejarah bahasa Melayu, kita akan mengkajinya dengan berdasarkan takrif yang pertama itu. Pengertian yang kedua digunakan dalam konteks tertentu di negara kita, iaitu yang ada kaitannya dengan keistimewaan dari segi politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Sudah pasti pemahaman terhadap istilah “Melayu” ini akan membantu kita memahami berbagai-bagai perkara yang berkaitan dengan orang Melayu masa kini, termasuklah isu bahasa Melayu.