Memaparkan catatan dengan label Tuk Ngah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tuk Ngah. Papar semua catatan

18 Disember 2012

Jom dan Usrah

Langit petang mendung. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Air laut pasang penuh. Tuk Ngah dan Abdul Fattah duduk di bangku konkrit yang menghadap ke laut. Mereka menikmati pisang goreng yang dibeli di warung di tepi jalan.

Abdul Fattah bertanya, “Bolehkah kita sambung perbincangan di dalam kereta tadi, atuk?”

Tuk Ngah menjawab, “Tunggu sebentar, Abdul Fattah. Kita habiskan dahulu pisang goreng ini sambil menikmati elusan bayu, deburan ombak dan keindahan alam di tepi pantai.”

Sesudah selesai menikmati pisang goreng, minum teh bungkus dan mengucapkan alhamdulillah, Tuk Ngah bersuara, “Sekarang kita sambung perbincangan tentang perkataan jom. Fattah ulang perkara terakhir yang kita bincangkan semasa di dalam kereta tadi.”

15 Mei 2012

Mereka Meremehkan Ejaan Jawi

Di atas meja itu terdapat beberapa buah buku yang tersusun kemas. Sebuah buku tebal berwarna biru terpacak di sebelah sepiring keropok lekor panas. Pada tetulang buku itu tercetak rangkai kata “Daftar Kata Bahasa Melayu” dalam tulisan Jawi. Selain beberapa buah buku yang tersusun dan sebuah buku tebal yang terpacak, di atas meja itu terdapat juga sebuah teko berisi kopi “o” dan dua biji cawan yang beralaskan piring kecil. Tuk Ngah sedang menuang kopi “o” ketika cucunya, Abdul Fattah, tiba.

27 Oktober 2009

Quran Buruk dan Al-Quran Lama

Sekali atau dua kali seminggu, Tuk Ngah menghantar dan menjemput cucunya, Abdul Fattah, dengan berjalan kaki sahaja. Jikalau hari hujan atau cuaca terlalu panas, rancangan berjalan kaki itu batal. Tengah hari ini cuaca redup dan angin bertiup lembut. Kini mereka sedang beriringan pulang ke rumah yang letaknya kira-kira satu kilometer dari sekolah.

Abdul Fattah: Atuk bersetuju dengan penggunaan ungkapan Quran buruk?

Tuk Ngah: Atuk memang biasa menggunakan ungkapan itu. Moyang kamu, iaitu ayah dan ibu atuk, pernah menggunakan ungkapan itu. Malah, semasa kecil atuk pernah mendengar ungkapan itu daripada mulut buyut kamu.

Abdul Fattah: Buyut?

Tuk Ngah: Ya, buyut kamu ialah moyang ayah kamu.

Abdul Fattah: O… begitu. Rupanya sudah turun-temurun ungkapan itu digunakan.

Tuk Ngah: Ya. Ertinya, keluarga dan masyarakat kita sudah biasa menggunakan ungkapan Quran buruk. Atuk dan kamu kini masih berada dalam keluarga dan masyarakat yang menggunakan ungkapan itu. Jadi, kita berlaku songsang atau melawan arus jikalau kita menentang penggunaannya. Mengapakah Abdul Fattah bertanya akan hal ini?

Abdul Fattah: Tadi, guru Bahasa Melayu kami menyatakan bahawa rakannya tidak bersetuju dengan penggunaan ungkapan Quran buruk. Menurut rakannya, ungkapan yang sesuai ialah Quran lama. Menurut cikgu, rakannya berkata, buruk merujuk kepada sesuatu yang tidak baik seperti rosak, jahat dan busuk. Jadi, merujukkan al-Quran dengan sesuatu yang tidak baik merupakan perbuatan yang merendahkan kitab suci itu.

Tuk Ngah: Jikalau Quran lama?

Abdul Fattah: Menurut cikgu kami, ungkapan Quran lama lebih sesuai.

Tuk Ngah: Pandangan cikgu kamu atau rakannya?

Abdul Fattah: Eh … sorry.

Tuk Ngah: Maaf.

Abdul Fattah: Maafkan Fatah, atuk.

Tuk Ngah: Kesilapan kecil Abdul Fattah atuk maafkan. Sentiasalah ingat pesan atuk: Sesiapa yang bercita-cita untuk menjadi pemidato yang baik, hendaklah sentiasa menggunakan bahasa yang baku, santun dan bergaya.

Abdul Fattah: Terima kasih, atuk. Nasihat ulangan itu Abdul Fattah sematkan di hati ini.

Tuk Ngah: Teruskan penjelasan kamu, wahai Abdul Fattah, bakal juara pidato peringkat kebangsaan.

Abdul Fattah: Menurut cikgu Bahasa Melayu kami, rakannya berkata, ungkapan Quran lama lebih sesuai. Rakannya berkata demikian kerana perkataan “lama” mempunyai makna yang positif atau sederhana. Tegasnya, perkataan “lama” tidak dapat dikaitkan dengan maksud perkataan “buruk”. Begitulah, atuk.

Tuk Ngah: Pendapat rakan cikgu kamu itu menarik. Apakah pula pandangan cikgu kamu sendiri?

Abdul Fattah: Cikgu tidak menyatakan pendiriannya. Cikgu ada meminta pendapat kami. Semua rakan sekelas Fatah bersetuju dengan pendapat rakan cikgu Bahasa Melayu kami itu.

Tuk Ngah: Termasuk kamu sendiri?

Abdul Fattah: Tidak atuk. Fattah yakin cikgu ingin menguji kebolehan kami berfikir. Oleh sebab cikgu sendiri belum menyatakan pendiriannya, Fatah pun meminta tangguh untuk menyatakan pendirian Fatah esok. Semua murid kelas kami yang bersetuju itu juga boleh menarik semula persetujuan mereka esok, tetapi mereka mesti memberikan alasan yang sesuai.

Tuk Ngah: Adakah rakan-rakan Abdul Fattah dan Abdul Fattah sendiri faham akan maksud ungkapan Quran buruk?

Abdul Fattah: Cikgu kami ada meninjau pendapat kelas. Cikgu meminta sesiapa yang bersetuju bahawa Quran buruk sama maksudnya dengan Quran lama agar mengangkat tangan. Keputusannya, semua murid mengangkat tangan, kecuali Fatah.

Tuk Ngah: Oh, begitu rupanya pandangan murid tahun lima seperti Abdul Fattah. Apakah pula pendirian Abdul Fattah sendiri?

Abdul Fattah: Fatah nampak cikgu tersenyum sumbing. Fatah fikir pendirian ramai tidak tepat. Quran buruk mesti mempunyai makna yang lain. Jadi, Fatah tidak mengangkat tangan dan meminta tangguh untuk menyatakan pendirian Fatah esok.

Tuk Ngah: Sekarang Abdul Fattah sudah tahu maksud Quran buruk?

Abdul Fattah: Ya. Semasa waktu rehat, Fatah sempat masuk ke pusat sumber dan merujuki Kamus Pelajar. Rupa-rupanya, Quran buruk bukanlah al-Quran yang sebenar. Quran buruk hanyalah kiasan untuk sesuatu yang tidak berapa berguna lagi tetapi tetap dihormati. Kemudian, Fatah bertanya pak cik jaga.

Tuk Ngah: Jaga sekolah?

Abdul Fattah: Ya, atuk. Pak cik jaga sekolah kami arif tentang bahasa kiasan. Katanya, Quran buruk ialah orang yang sudah sangat tua, iaitu yang sudah nyanyuk atau mamai. Biasanya orang itu sangat berjasa kepada kita seperti ibu, bapa, datuk atau nenek. Jadi, Quran buruk bukanlah al-Quran yang sebenar. Jadi, ungkapan Quran buruk tidak dapat disamakan dengan Quran lama. Perbuatan menukar ungkapan Quran buruk menjadi Quran lama bermakna mencabut satu bahasa kiasan daripada bahasa ibunda kita.

Tuk Ngah: Syabas, Abdul Fattah. Kamu memperlihatkan kematangan berfikir. Ungkapan Quran buruk sebenarnya sebahagian daripada warisan sastera lisan kita. Apabila kita sedar akan keistimewaan warisan, kita tidak akan membuangnya secara sembarangan. Esok, berikan hujah kamu kepada rakan-rakan dengan bahasa yang baku, santun dan bernas. Elakkan daripada mempertidak, apalagi memperlekeh sesiapa.

Abdul Fattah: Baiklah, atuk.

15 Oktober 2009

Orang Televisyen Belum Pandai Mengeja?

Satu stesen televisyen berbayar melakukan beberapa banyak kesilapan ejaan dalam satu rancangannya. Kesilapan itu menonjol kerana rancangan itu berkaitan dengan lirik lagu. Lirik lagu yang mengandung kesilapan itu tertayang di bahagian bawah layar televisyen.

Antara kesilapan yang tinggi kekerapannya termasuklah ejaan kata ganti nama singkat (klitik) “ku” dan “kau” yang diikuti dengan kata kerja. Abdul Fattah, cucu Tuk Ngah menyedari kesilapan itu.

Pada suatu ketika, seorang peserta berjaya melengkapkan enam tapak kosong. Dia mengemukakan ungkapan “di dalam mimpi ku lihat wajahmu”. Hal ini bermakna kata ganti nama singkat “ku” dan kata kerja “lihat” berada di atas tapak yang berasingan. Abdul Fattah yang duduk di sebelah atuknya berkata, “Orang televisyen itu belum pandai mengejalah, Tuk Ngah.”

Tuk Ngah mengerutkan keningnya dan bertanya, “Apakah maksud Abdul Fattah?”

Abdul Fattah menghulurkan kaca mata kepada Tuk Ngahnya. “Tuk Ngah pakai kaca mata ini. Kemudian Tuk Ngah lihat paparan berwarna hijau di bahagian bawah layar televisyen itu.”

“Ya, baru Tuk Ngah nampak. Perkataan ‘ku’ dan ‘lihat’ sepatutnya dirapatkan. Kalau begitu ada lima tapak atau lima patah perkataan sahajalah. Itukah maksud Abdul Fattah?”

“Ya, itulah maksud Fatah, atuk. Nampaknya orang televisyen itu belum pandai mengeja.”

“Kita tidak boleh membuat kesimpulan begitu, Abdul Fattah. Mereka semua orang terpelajar dan kebanyakannya ada ijazah. Tuk Ngah pasti mereka pandai mengeja. Sebagai manusia biasa, mereka melakukan kesilapan. Manusia memang tidak sempurna dan kerap melakukan kesilapan.”

Abdul Fattah melihat air muka Tuk Ngahnya bersahaja. Dia yakin, Tuk Ngahnya memancing respons tambahan daripadanya. Maka dia berkata, “Kalau budak tahun tiga melakukan kesilapan seperti itu, mungkin boleh diterima. Mereka itu orang terpelajar. Orang terpelajar tidak sepatutnya melakukan kesilapan seperti itu. Kewujudan kesilapan seperti itu menandakan bahawa mereka kurang prihatin akan sistem bahasa ibunda mereka.”

Tuk Ngah tersenyum dan mengangguk-angguk. “Tuk Ngah bersetuju dengan pandangan Abdul Fattah. Sekarang, lihat kembali paparan itu. Selain ‘kulihat’ yang sepatutnya dieja ‘kulihat’, ada atau tidak kesilapan lain?”

“Ungkapan ‘di dalam mimpi’ sepatutnya hanya ‘dalam mimpi’, atuk. Begitu?”

“Ya,” jawab Tuk Ngah.

“Hah, nampak sangat orang televisyen itu endah tidak endah akan penggunaan bahasa yang betul dalam Bulan Bahasa Kebangsaan ini."

“Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan, Abdul Fattah. Kesilapan itu bukan kesilapan orang televisyen. Cuba Abdul Fattah fikirkan pandangan Tuk Ngah ini.”