18 Disember 2012

Jom dan Usrah

Langit petang mendung. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Air laut pasang penuh. Tuk Ngah dan Abdul Fattah duduk di bangku konkrit yang menghadap ke laut. Mereka menikmati pisang goreng yang dibeli di warung di tepi jalan.

Abdul Fattah bertanya, “Bolehkah kita sambung perbincangan di dalam kereta tadi, atuk?”

Tuk Ngah menjawab, “Tunggu sebentar, Abdul Fattah. Kita habiskan dahulu pisang goreng ini sambil menikmati elusan bayu, deburan ombak dan keindahan alam di tepi pantai.”

Sesudah selesai menikmati pisang goreng, minum teh bungkus dan mengucapkan alhamdulillah, Tuk Ngah bersuara, “Sekarang kita sambung perbincangan tentang perkataan jom. Fattah ulang perkara terakhir yang kita bincangkan semasa di dalam kereta tadi.”

Abdul Fattah berkata, “Cikgu Bahasa Melayu melarang Fattah dan rakan-rakan menggunakan perkataan jom dalam karangan. Kata cikgu, perkataan itu tergolong dalam bahasa Melayu rendah sedangkan dalam karangan, murid-murid mesti menggunakan bahasa tinggi atau bahasa baku. Atuk tidak bersetuju dengan pendapat cikgu. Atuk berkata bahawa atuk akan memberikan hujah apabila kita berada di pantai ini.”

Tuk Ngah menyatakan bahawa perkataan itu boleh digunakan dalam karangan kreatif seperti cerita pendek. Penggunaan yang sesuai ialah dalam tutur langsung, iaitu tutur yang termuat dalam tanda petik. Misalnya, perkataan itu digunakan dalam perbualan antara dua orang sahabat yang sama-sama berasal dari Kedah. Keakraban mereka terserlah apabila mereka menggunakan dialek Kedah, termasuk kosa kata seperti hang, pimai dan jom.

Tuk Ngah menambah penjelasannya, “Atuk tinggal di Kedah hampir dua tahun dan di Pulau Pinang hampir tiga tahun. Atuk kerap mendengar penutur dialek kedua-dua negeri itu menggunakan perkataan jom. Di sana, orang terpelajar juga menggunakan perkataan itu.”

Tuk Ngah berhenti. Dia merenung laut biru yang beralun perlahan. Fikirannya ke Kedah, ke Alor Setar, ke Jalan Pegawai, ke Sungai Petani, ke Kepala Batas, ke Pendang dan beberapa banyak tempat lagi. Fikirannya melayang pula ke Pulau Pinang; mula-mula ke kampus Minden, kemudian ke Bukit Bendera, ke Sungai Dua ….

“Atuk sedang mengingat sesuatu?”

Tuk Ngah tersedar lalu berkata, “Tiada apa-apa, Abdul Fattah. Baiklah, atuk sambung penjelasan. Pada masa ini, perkataan jom sudah difahami oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu. Perkataan itu juga sudah dimasukkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tanpa dilabelkan sebagai bahasa percakapan atau bahasa kasar. Hal ini dapat menjadi hujah bahawa perkataan itu sudah dianggap sebagai kosa kata baku.”

Apabila Tuk Ngah terdiam lagi, Abdul Fattah bertanya, “Jadi jom itu bukan bahasa Melayu rendah?”

Tuk Ngah menjawab, “Ya. Perkataan jom bukan bahasa Melayu rendah. Perkataan itu termasuk dalam bahasa Melayu baku. Ada pihak menamakan bahasa baku sebagai bahasa tinggi. Atuk lebih suka kita terus menggunakan istilah bahasa baku. Sementelah dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tiada label bahasa rendah. Label yang ada ialah bahasa dalam, bahasa halus, bahasa kasar dan bahasa percakapan.”

Abdul Fattah berkata, “Kata cikgu, perkataan jom dipopularkan dalam ungkapan ‘jom heboh’. Kata cikgu lagi, Ungkapan baku ialah ‘mari heboh’.”

Tuk Ngah menjelaskan bahawa pandangan itu ialah persepsi perseorangan. Kita tidak perlu mengikut persepsi orang itu. Pengguna bahasa bebas memilih ungkapan yang disukai. Mereka boleh menggunakan ungkapan “mari heboh” atau “jom heboh”. Makna kedua-dua perkataan itu sama. Kedua-dua perkataan itu baku dan mudah difahami. Hal yang perlu dihebohkan bukannya penggunaan perkataan.

Tuk Ngah menarik nafas panjang dan berkata dengan nada suara pujukan, “Wahai cucuku Abdul Fattah, daripada kita bincangkan penggunaan perkataan jom, lebih baik kita bincangkan maksud ungkapan ‘jom heboh’.”

Abdul Fattah berkata, “Ungkapan itu digunakan oleh sebuah stesen televisyen.”

Tuk Ngah memberikan sambutan, “Benar, Abdul Fattah. Stesen televisyen itu mengajak masyarakat menegakkan budaya hedonisme.”

“Apakah maksud hedonisme itu, atuk?”

“Hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yg mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Contohnya ialah hiburan pentas dan rancangan hiburan realiti televisyen.”

“Jadi rancangan ‘jom heboh’ juga budaya hedonisme, atuk?”

“Pada asasnya memang begitu. Dalam pada itu diselitkan juga unsur-unsur yang menyebabkan kita lupa bahawa asas rancangan itu ialah budaya hedonisme yang sia-sia atau lagha. Penjelasan inilah yang sepatutnya kita ketengahkan dan bukannya merendahkan perkataan jom. Pada atuk, ungkapan yang baik adalah seperti ‘jom ke masjid’, ‘jom bersolat’, ‘jom ke kuliah subuh’ dan ‘jom sertai usrah’.”

Mendung berkumpul. Sebahagian langit semakin hitam. Angin yang tadi bertiup sepoi-sepoi bahasa mula bertiup agak kencang. Laut mula bergelombang.

Abdul Fattah berkata, “Atuk, cikgu berkata, perkataan usrah tidak sesuai digunakan. Kita patut menggunakan perkataan bahasa Melayu, iaitu keluarga.”

Tuk Ngah menjawab, “Pendapat cikgu Abdul Fattah tidak salah tetapi tidak tepat. Sebagai istilah dalam gerakan Islam, perkataan usrah tidak boleh digantikan dengan perkataan keluarga. Dalam gerakan Islam, usrah ialah kelompok manusia yang beriman dengan Islam dan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam. Kumpulan usrah berusaha mempertingkatkan ilmu dan amal, dan menghindari maksiat dan permusuhan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat kedua yang bermaksud, “Bertolong-tolonganlah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras seksanya.”

“Oh, begitu atuk! Baru Abdul Fattah faham.”

Tuk Ngah berkata, “Begitulah, Abdul Fattah. Perkataan usrah tidak boleh ditukar ganti secara sembarangan. Antara ungkapan yang atuk suka ialah ‘jom sertai usrah!’ Hari hendak hujan. Kita teruskan perbincangan dalam kereta. Jom kita balik!”

“Jom, atuk!”

Tiada ulasan: