11 Oktober 2012

Cakap Kayu Semasa Praktikum

Sabah Tempat Bermain


Bahagian utama latihan perguruan ialah latih amal atau praktikum di sekolah. Ketika saya berada maktab itu, istilah praktikum belum digunakan. Ungkapan yang digunakan ialah latihan mengajar. Ungkapan itu masih digunakan pada tahun 80-an di samping istilah praktikum. Mulai awal tahun 90-an istilah praktikum digunakan secara meluas. Kini istilah praktikum semakin popular. Penggunaan ungkapan latihan mengajar kedengaran sesekali sahaja.

Sebagai bahagian utama latihan perguruan, guru pelatih menanti tempoh praktikum dengan penuh debar bagai pengantin perempuan menunggu saat diijabkabulkan atau kanak-kanak lelaki menanti giliran untuk dikhatankan. Debaran itu dapat mereka kawal kerana mereka sudah mengalami tempoh pengajaran mikro, rancangan orientasi sekolah (ROS) dan berbagai-bagai taklimat. Selain itu, sebelum ke sekolah mereka dibimbing oleh pensyarah yang terlatih dalam ilmu kaunseling, berdedikasi dan berpengalaman.

Debaran yang saya alami ketika memulakan latihan mengajar tidak seberapa. Pengalaman sebagai guru sandaran dan sebagai pembantu guru pelatih senior pada tahun pertama meningkatkan keyakinan saya untuk mendepani suasana latihan.

ROS belum ada ketika itu. Latihan yang berfungsi ROS ialah guru pelatih tahun pertama menjadi pembantu guru pelatih tahun kedua. Mata pelajaran pengkhususan guru pelatih yang menjadi pembantu itu sama dengan mata pelajaran pengkhususan guru pelatih yang dibantu. Saya membantu Encik Ismail yang berlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir, Papar. Selain membantu beliau menyiapkan alat bantu pengajaran, Encik Ismail memberikan peluang kepada saya untuk melaksanakan beberapa sesi pengajaran.

Jadi, apabila Saya menjalani praktikum, keyakinan saya tinggi. Tambahan pula pensyarah penyelia saya ialah Encik Othman. Dia menyelia mata pelajaran am dan pengkhususan Bahasa Melayu. Saya yakin dia menyedari tulisan saya kerap tersiar di akhbar. Dia sendiri menjadikan novel Serandung sebagai bacaan tambahan mata pelajaran Bahasa Malaysia. Selain itu, saya yakin dia menyedari bahawa saya giat sebagai Setiausaha Persatuan Persuratan dan Bahas, mempelopori penerbitan majalah Dharma dan menjadi sidang pengarang majalah maktab. Kegiatan saya itu rasanya mempengaruhi cara penyeliaan dan ulasannya dalam lembar pemerhatian.

Ayat “Guru pelatih kelihatan bersungguh-sungguh. Murid-murid berpeluh!” yang dicatatnya dalam lembar pemerhatian menyebabkan saya tersenyum simpul. Sebenarnya, dia melihat saya melaksanakan amali Pendidikan Jasmani itu dari jauh. Hawa di padang SMK Tamparuli pada pagi itu dingin. Matahari dilindungi oleh mendung. Walaupun murid-murid giat, peluh mereka tidak seberapa.

Pensyarah penyelia kedua bagi pengkhususan Bahasa Melayu ialah rakan karib Encik Othman, iaitu Encik Senawi. Dia juga baik orangnya. Dia tidak pernah mengecilkan hati saya sepanjang latihan mengajar itu. Dia lebih banyak memuji daripada menegur. Hal itu menyebabkan saya menaruh harapan untuk meraih pangkat A.

Pensyarah penyelia mata pelajaran pengkhususan Seni Perusahaan ialah Encik Vishnupathan. Lelaki India yang bertubuh besar itu baik juga orangnya. Antara keistimewaan lelaki bujang yang berusia akhir tiga puluhan itu ialah kebolehannya melawak. Dia kerap mengeluarkan kata-kata lucu dengan suara yang kuat. Jadi, apabila dia berkata, “Isa, kamu cakap kayu, bukan ajar kerja kayu!” saya tidak berapa berasa hati. Ungkapan yang digunakannya ialah “wood talk”. Dia baik hati. Ungkapan “wood talk” itu tidak tercatat dalam lembar pemerhatian.

Saya faham maksud ungkapan itu. Dalam pengajaran yang seterusnya, saya berusaha untuk mengurangkan pertuturan semasa tunjuk cara. Jadi, dalam penyeliaan yang berikutnya, ulasan Encik Vishnupathan positif dan memberangsangkan. Keadaan itu memang sewajarnya berlaku kerana saya pernah menjadi pelajar Institut Kemahiran MARA dalam bidang pertukangan kayu. Mungkin kelebihan saya itulah yang mendorong Encik Vishnupathan memilih saya untuk membentuk dan mengukir dulang daripada tembaga. Hasil kerja tangan saya itu dihadiahkan kepada Menteri Pelajaran semasa menteri itu melawat ke maktab kami. Hal-hal ini menyebabkan saya menggunungkan harapan untuk mendapat gred A.

Selepas latihan mengajar itu Encik Vishnupathan menugaskan saya untuk membuat troli kayu. Dia tidak menyatakan sebab saya diberikan tugasan itu. Saya melaksanakan tugasan itu bersendirian dengan sepenuh hati. Saya pastikan setiap tanggam kejap, setiap sudut tepat dan kemasan bermutu. Rupa-rupanya hasil kerja saya itu dihadiahkan kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Neger Sabah dalam satu majlis di maktab kami. Saya berasa bangga. Harapan saya untuk mendapat gred A menggunung.

Kami tidak memperoleh keputusan peperiksaan dan latihan mengajar ketika di maktab. Pihak maktab mengeposkan keputusan itu ke alamat tempat kami bercuti. Jadi, semasa bercuti, ada dua perkara yang kami tunggu, iaitu keputusan peperiksaan, termasuk latihan mengajar, dan penempatan di sekolah.

Cuti hujung tahun sebelum bergelar guru terlatih saya habiskan di Negeri Sembilan. Pada pertengahan cuti saya menerima surat yang ada cap Maktab Perguruan Gaya. Saya ghairah untuk mengetahui sama ada kandungan surat itu keputusan peperiksaan atau senarai penempatan. Saya bergerak ke satu tempat yang terlindung daripada penglihatan orang, khususnya ayah dan ibu saya. Di situ, hujung sampul surat saya koyakkan. Tangan saya menggigil. Degupan jantung saya kencang.

Dengan berhati-hati, kandungan sampul surat itu saya keluarkan. Kertas putih yang berlipat tiga saya buka perlahan-lahan. Tangan saya terus menggigil. Degupan jantung saya semakin kencang. Hujung kertas yang terjuntai bergetar. Saya yakin tiada sesiapa melihat kegelabahan saya. Kandungan surat itu ialah keputusan peperiksaan akhir dan latihan mengajar. Saya membaca keputusan itu berkali-kali. Lama kemudian baru saya percaya bahawa keputusan itu benar.

Mulai hari itu dan beberapa hari yang berikutnya saya terus berfikir. Saya menerima hakikat bahawa saya hanya mendapat kepujian bagi kesemua mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Ilmu Pendidikan dan Pendidikan Jasmani. Namun begitu sukar untuk saya terima hakikat bahawa saya hanya mendapat kepujian bagi kedua-dua mata pelajaran pengkhususan.

Saya memujuk diri. Rasanya saya silap mentafsir kehendak soalan. Jawapan saya kurang menepati skema pemarkahan. Gaya bahasa saya berlebih-lebihan. Pemeriksa meluat. Rumusannya, anggapan bahawa saya hebat dalam kedua-dua mata pelajaran itu hanya kesombongan diri. Hakikatnya, pengetahuan saya hanya sedikit. Hal ini samalah dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Saya menganggap diri saya berkebolehan dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Sejarah. Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, saya hanya mendapat gred lulus!

Sesudah berhari-hari saya berfikir dan merenung, rasa terkilan terhadap keputusan latihan mengajar masih belum dapat dilenyapkan. Percubaan saya memujuk diri kurang berhasil. Saya sedar, menyalahkan orang bukanlah cara yang betul. Menyalahkan diri sendiri pula tidak menyelesaikan masalah. Saya mereka-reka alasan. Kemahiran menggunakan bahasa tidak sama dengan kemahiran mengajarkan bahasa. Penulis dan wartawan tidak semestinya mampu mengajarkan bahasa.

Isa, kamu boleh menulis dan melaksanakan kegiatan bahasa dengan baiknya tetapi kemampuan kamu mengajarkan bahasa kepada murid berdasarkan pemerhatian dan ukuran yang sudah ditetapkan hanya pada peringkat kepujian. Kamu bukannya gagal. Kamu hanya tidak mendapat gred cemerlang.

Isa, demikian juga halnya dengan kemahiran bertukang. Tukang yang terbaik belum tentu berhasil mengajarkan ilmu ketukangan kepada orang lain. Berasa beruntunglah, Isa. Vishnupathan mengucapkan kata-kata, “You are teaching wood talk, not wood work” dengan nada lucu agar kamu tidak berasa hati. Sebenarnya, dia boleh berkata, “Isa, you are talking nonsense. This is woodwork, not wood talk, you know!” dengan nada keras dan muka yang mencuka. Cuba kamu fikirkan!

Saya tidak mahu memikirkan hal itu lagi. Yang sudah berlaku, biarkan sahaja. Keputusan yang ada tidak mungkin diubah. Saya ada tugas lain yang mesti dicapai. Saya mesti memiliki Sijil Tinggi Pelajaran yang melayakkan saya bergelar mahasiswa. Apabila surat keputusan penempatan saya terima, saya bersyukur dan bergembira kerana saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir, Papar. Saya berazam untuk menjadi guru terbaik walaupun hanya memperoleh kepujian dalam kedua-dua mata pelajaran pengkhususan. Saya juga berazam untuk mengikuti kursus STP gaya pos. Dengan azam itu dan penungguan hari untuk melaporkan diri di sekolah, keputusan latihan mengajar itu menghilang daripada pemikiran saya.

Tamat.

Sabah Tempat Bermain

Tiada ulasan: