17 November 2012

Batang Gaharu Buruk (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain

1982: Shamad, Haji Liwangsa, MIAR
Pada pertengahan tahun 1982, Shamad, Ramli dan saya mengikut rakan kami, Tanalol Haji Liwangsa, memukat ikan di Danau Botong. Danau itu terletak di kampung Tanalol, iaitu Kampung Sentosa Jaya, kira-kira 100 kilometer dari Sandakan. Kami ke sana dengan keretanya.

Keghairahan saya yang membuak menyebabkan saya berasa perjalanan lebih kurang dua jam itu singkat. Tahu-tahu, selepas bersalaman dengan ayah Tanalol, kaki saya memijak anak tangga kayu bulat di dapurnya. Saya menjadi orang yang pertama berada di ruang dapur itu.

Saya melihat beberapa ekor ikan salai di atas palang besi tungku dapur. Lebar ikan itu kira-kira sejengkal dan panjangnya lebih kurang dua kaki. Warnanya kelabu kehitaman. Aromanya yang berbaur dengan bau asap, menaikkan selera. Tanalol memberitahu bahawa ikan itu ialah tapah. Dia menunjukkan karung gula yang tersangkut pada dinding dapur. Katanya, ayahnya hanya mampu membawa pulang sekarung ikan setiap kali pergi memukat. Tangan saya membuka tutup periuk besi. Ada baki nasi di dalam periuk itu.

Tengah hari sudah menghampiri sempadan petang. Kami belum makan apa-apa sejak bersarapan di rumah. Sebentar lagi kami akan meredah hutan paya. Kami memerlukan tenaga. Saya yakin, Tuan Haji Liwangsa yang sudah berumur dan sudah lama menduda itu menganggap rakan-rakan Tanalol sebagai anaknya sendiri. Hal itu terbukti apabila saya menutup kembali periuk nasi itu dia mengunjukkan empat biji pinggan kepada Tanalol.

Dia berkata, “Makanlah apa-apa yang ada. Ratahlah ikan itu. Buat sahaja macam rumah sendiri.”

Ketika kami menikmati ikan tapah salai dengan nasi sejuk, Tuan Haji Liwangsa membancuh kopi o. Dia kelihatan senang hati melihat keakraban dan kelakuan kami yang agak lahap. Mungkin dia berasa dihargai kerana ada pensyarah sudi mengunjunginya dan duduk di atas lantai di dapur rumah kampungnya sambil menikmati nasi yang ditanaknya dan ikan salai tangkapannya. Rasanya dia faham bahawa kehadiran tetamu meluaskan pintu rezeki.

Selepas bersolat zuhur, kami memulakan perjalanan. Ayah dan adik Tanalol yang masih bersekolah rendah ikut serta. Mula-mula kami melalui kebun buah-buahan, kemudian belukar dan seterusnya masuk ke dalam hutan. Perjalanan awal itu menurun dan mudah kerana rintisannya baik. Laluan di dalam hutan kebanyakannya berair separas buku lali hingga paras betis.

Dari semasa ke semasa, Tuan Haji Liwangsa mematahkan batang di bahagian pucuk anak-anak kayu dan menakik beberapa batang pokok. Rintisan di kawasan kering jelas ada kesan laluan makhluk.

Lebih kurang setengah jam kemudian kami tiba di danau itu. Oleh sebab kemarau sudah lama, danau kelihatan seperti kolam. Panjang kawasan berair lebih kurang seratus meter dan lebarnya lebih kurang lima puluh meter. Jikalau airnya penuh, panjang dan lebarnya meningkat lima puluh peratus. Tuan Haji Liwangsa mengeluarkan seutas pukat daripada karung gula. Adik Tanalol dan Shamad membantunya merentang pukat bermata besar itu melintang lebar tasik.

Tuan Haji Liwangsa memegang satu hujung pukat. Shamad memegang hujung yang satu lagi. Saya dan adik Tanalol berada di antara mereka berdua dan bersedia untuk menangkap ikan yang terjerat pada mata pukat apabila pukat itu ditarik perlahan-lahan menuju ke hujung tasik. Ramli di belakang saya. Dia membawa karung. Tanalol di belakang lagi.

Tuan Haji Liwangsa sudah membersihkan danau itu daripada kayu dan ranting. Pukat itu tidak tersangkut apabila ditarik. Beberapa ekor ikan haruan yang terkejut melompati pukat yang sedang ditarik. Apabila pukat berada di tengah danau, ikan yang kami peroleh baru dua tiga ekor. Saiz ikan-ikan itu besar kerana mata pukat kasar. Ikan kecil dapat melepasi mata pukat itu dengan selesanya.

Bahagian danau yang terdalam hanya paras dada. Hanya saya yang berada di kawasan yang terdalam itu. Tidak berapa lama kemudian proses penarikan pukat selesai. Pukat itu didaratkan tanpa seekor ikan pun. Yang banyak ialah sampah yang berkelodak. Tuan Haji Liwangsa dan Shamad membersihkan pukat itu, menggulungnya dan memasukkannya ke dalam karung.

Kami berehat di tempat permulaan pukat diturunkan. Tuan Haji Liwangsa, saya dan Ramli duduk di atas batang pokok yang rebah. Tanalol dan adiknya bertinggung tidak jauh dari kami. Shamad merayau di tepi danau.

Tuan Haji Liwangsa kelihatan sugul. Dia mengatakan ikan besar di danau itu sudah berkurangan. Katanya, nasib kami kurang baik. Saya cuba menghapuskan rasa terkilannya dengan mengatakan bahawa ikan yang beberapa ekor itu pun sudah memadai. Kata saya, hal yang penting kami dapat menambah pengalaman.

Shamad datang ke tempat kami. Dia menunjukkan sebatang kayu buruk berwarna hitam yang diperoleh di tepi danau. Kayu sebesar belantan itu keras dan berlubang-lubang. Itu kayu gaharu dan harum, katanya. Kami mencium kayu itu bergilir-gilir. Sungguh, bau kayu itu harum. Tuan Haji Liwangsa mengesahkan bahawa kayu itu ialah kayu gaharu.

Shamad mengatakan bahawa dia hendak menunjukkan kayu gaharu itu kepada Betty dan anak-anaknya. Kami berbual tentang kayu itu. Perbualan kami meleret kepada danau. Saya membayangkan di situ ada tujuh buah danau dan dinamakan Danau Tujuh. Ramli menambah dengan mengatakan tuan puteri bertujuh turun untuk mandi di tasik itu. Shamad juga ikut menyampuk. Apabila perbualan kami melalut, baru kami sedar akan tatatertib ketika berada di hutan.

Saya berkata dengan suara yang perlahan dan nada kesal, “Eh, kita berada di dalam hutan!”

Percakapan kami yang berkemungkinan mengundang padah itu terhenti serta-merta.

Saya perasan Tuan Haji Liwangsa kurang senang dengan tingkah laku kami. Sesudah kami diam agak lama, dia mengajak kami pulang. Dia mengepalai barisan. Shamad paling belakang. Saya di hadapan Shamad. Pada suatu ketika, semasa kami meranduk air separas betis, saya menoleh. Shamad tidak kelihatan. Saya berpatah beberapa langkah dan memanggil namanya.

Shamad menyahut, “Tunggu! Saya mengambil periuk kera!”

Saya nampak belakangnya. Saya menunggunya di situ. Sejurus kemudian dia tiba. Kayu gaharu hitam masih terkepit di ketiaknya. Dia menunjukkan periuk kera yang besar kepada saya. Dia berkata, dia hendak menunjukkan periuk kera besar itu kepada anak-anaknya.

Saya melihat ke hadapan. Kelibat Tuan Haji Liwangsa dan lain-lain sudah hilang. Kami meneruskan perjalanan. Shamad mengekori saya. Sebentar kemudian kami melalui rintisan di kawasan yang tinggi. Saya berasa rintisan itu menghala ke danau. Mungkin saya keliru apabila berpatah dan menyusul Shamad ketika dia mengambil periuk kera. Hal itu saya nyatakan kepadanya. Dia meminta saya duduk sebentar dan berfikir. Selepas bertenang dan berfikir, kami berpatah.

Hujung rintisan itu ialah paya. Saya yakin, itulah laluan kami sebentar tadi. Shamad mengekori saya. Kami meranduk air. Sebentar kemudian kami sampai di rintisan darat. Shamad memintas saya.

“Isa, kita salah jalan. Jalan tadi betul,” katanya.

Kami berhenti. Tiba-tiba perut saya memulas. Saya memberitahu Shamad hajat saya dan meminta dia menunggu saya di situ. Saya menyusup ke dalam semak. Apabila saya tiba di suatu tempat yang terlindung daripada penglihatannya, saya melepaskan hajat. Pada masa yang sama, saya mendongak sedikit. Penglihatan saya bertumpu pada celah dahan sebatang pohon yang besar dan tinggi.

Mata saya mengikut rasa hati. Penglihatan saya beralih dari cabang pokok itu ke cabang pokok di sebelahnya dan seterusnya ke cabang pokok-pokok yang lain sehinggalah saya selesai menunaikan hajat. Saya bersuci di dalam paya.

Apabila saya kembali di tempat Shamad, dia mengatakan ada pacat di belakang saya. Dia membiarkan pacat itu naik ke atas ranting yang dihulurkannya. Kemudian dia menunjukkan pacat itu kepada saya. Pacat itu berwarna hijau dan besar, empat atau lima kali lebih besar daripada pacat biasa.

“Buang?” soal Shamad.

“Ya, buang sahajalah,” kata saya.

Selepas Shamad melontarkan ranting bersama-sama pacat hijau itu, kami berbincang. Shamad beria-ia mengatakan laluan kami silap.

Dia berkata, “Bulu roma saya meremanglah, Isa. Kita sesat …!”

Saya mendiamkan diri. Shamad termenung. Saya tahu dia ada ilmu. Sudah beberapa kali dia menceritakan peristiwa pelik yang dialaminya. Dalam peristiwa-peristiwa itu dia tercabar. Dia menggunakan ilmunya untuk mengatasi cabaran-cabaran itu. Kini saya berasa keyakinannya untuk mengamalkan ilmu merudum.

Sejak kecil hingga remaja persekitaran saya hutan. Ayah saya pencari rotan, damar, palas, dan pelbagai jenis hasil hutan. Dia juga pencari ikan yang handal dengan cara memasang lukah jalinannya sendiri, menjala dengan jala yang disiratnya sendiri, memancing dan menajur. Ada beberapa tujuan lagi dia ke hutan, sungai, lubuk dan paya. Dia membawa saya dalam hampir semua kegiatan itu.

Hanya sekali kami sesat. Pada masa itu emak ikut serta. Kami berpusing di tempat yang sama tiga kali. Ayah berhenti. Dia melihat sekeliling dan kemudian ke arah dahan-dahan pokok. Dia membaca sesuatu. Kemudian dia mengambil sehelai daun dan disisipkannya di telinga kanannya. Dia memulakan langkah setelah membaca bismillah. Dia menyuruh emak dan saya mengekorinya. Kami berjaya keluar dari hutan itu.

Shamad berkata, “Mari kita berpatah. Jalan yang awal tadi sudah betul,”

“Tunggu. Kita bertenang,” kata saya.

Saya risau. Pada masa itu anak sulung saya baru berusia beberapa bulan. Bayi itu dan ibunya sangat memerlukan saya. Saya memujuk diri agar menerima ketentuan takdir sekiranya kami gagal keluar dan terpaksa bermalam di hutan paya itu. Namun saya masih belum berputus asa. Saya terus berfikir sambil berdoa dalam hati agar Allah melindungi kami dan membantu kami untuk keluar sebelum malam tiba.

Saya berasa petang sedang mengejar senja. Sinar matahari tidak kelihatan. Kecerahan petang semakin kurang. Kami terus membisu. Dalam kesunyian diri, telinga saya semakin peka dan menangkap pelbagai bunyi. Ada bunyi mergastua, ada bunyi ranting gugur, ada bunyi derik-derak dan berbagai-bagai bunyi lagi. Hidung saya juga semakin perasa dan terhidu bau masam lumpur paya.

Saya teringat berita radio awal tahun itu. Pembaca berita melaporkan bahawa seorang orang putih hilang di hutan Kinabatangan. Tiada berita susulan tentang kejayaan usaha mencarinya. Saya teringat pula cerita rakan-rakan bahawa sebelum itu memang ada orang putih hilang terus di hutan Kinabatangan.

Shamad berseru, “Isa, mari ikut saya!”

Shamad setahun lebih tua daripada saya. Saya memohon maaf kepadanya. Saya bermohon agar dia mengizinkan saya menjadi ketua dan membuat keputusan. Saya memohon agar dia tidak menyalahkan saya sekiranya keputusan saya silap.

Dia berkata, “Bulu tengkuk saya meremang. Baiklah. Saya, ikut Isa.”

Saya mengajak dia mengaminkan doa saya. Saya berdoa mengikut tatacara yang saya ketahui. Antara kandungan doa itu, saya menyebut perbuatan baik yang sudah saya lakukan. Shamad mengaminkan doa saya dengan penuh perasaan. Air jernih meleleh di pipi kami.

Kami bangun. Saya mengingatkan Shamad agar sentiasa sedar bahawa mulai saat itu saya mengetuai perjalanan. Setelah membaca beberapa ayat al-Quran dan bismillah, saya memulakan langkah dengan kaki kanan. Shamad mengekori saya. Kami tidak berbual.

Saya bersuara apabila rintisan semakin mendaki dan cahaya terang di kebun buah-buahan kelihatan. Saya berkata, “Alhamdulillah! Kita berada di laluan yang betul.”

Tanalol dan Ramli kelihatan begitu terharu menerima kepulangan kami. Tanalol berkata, “Ayah saya susah hati. Dia sudah pergi untuk berurusan dengan orang kampung.”

Allah menyayangi kami. Asar masih ada. Kami segera menunaikan solat.

Tuan Haji Liwangsa kembali ke rumah itu sejurus sebelum maghrib. Dia kelihatan terkejut tetapi gembira. Dia menyatakan bahawa orang-orang kampung sudah diberitahu tentang kehilangan kami. Mereka akan berkumpul pada malam itu untuk melakukan gerakan mencari kami.

Kami sampai di Sandakan selepas pukul sepuluh malam. Di rumah, Shamad bercerita tentang periuk kera besar dan batang gaharu buruk kepada anak-anaknya. Saya masuk ke bilik air untuk mandi. Ketika mandi saya terpegang pacat hijau di pinggang saya. Saya masukkan pacat itu ke dalam mangkuk tandas.

Keesokannya dan beberapa hari berikutnya, saya nampak batang gaharu buruk itu tersandar di suatu sudut di bilik Rabaatul Adawiah. Seminggu kemudian batang gaharu itu tidak kelihatan. Saya bertanya Shamad. Dia menyatakan bahawa batang gaharu buruk itu sudah dibuangnya. Dia juga berkata, dia sudah membuang ilmunya. Pembuangan itu dilakukan oleh seseorang di sebuah kampung tidak jauh dari kampus kami.

Bersambung: Tidur Duduk

Tiada ulasan: