15 November 2012

Mendirikan Masjid

Sabah Tempat Bermain
KK, 1981: Ibu dan Anak
Di sekolah, tiga kali saya mengalami cuti hujung tahun dan saya nikmati sepenuhnya. Tiada urusan sekolah. Saya tidak pulang ke Negeri Sembilan kerana isi dompet tidak seberapa. Sebahagian isi dompet yang tidak seberapa itu saya kirimkan kepada ibu. Tindakan itu lebih baik berbanding dengan mengayakan syarikat pengangkutan, khususnya syarikat penerbangan yang mengenakan tambang yang tinggi pada masa itu.

Di maktab, cuti hujung tahun penuh dengan kegiatan. Apabila guru pelatih biasa pulang, guru KDC tiba. Mereka lebih ramai daripada guru pelatih biasa. Ruang asrama tidak mencukupi. Ada antara mereka tinggal di luar kampus. Mereka membawa kerja kursus untuk dikumpul dan diperiksa. Kuliah padat, termasuk hari Sabtu dan malam. Beban tugas pensyarah juga berganda.

Baiknya, ada elaun syarahan. Kadar elaun itu berdasarkan jam dan gred jawatan. Namanya elaun syarahan tetapi tugasnya berterusan dan meliputi beberapa aspek. Aspek terpenting ialah pengujian dan penilaian. Kerja kursus kena diberikan dan proses seterusnya seperti bimbingan, penyemakan dan analisis pencapaian perlu dilakukan. Item ujian peperiksaan kena digubal. Semasa peperiksaan, tugas sebagai pengawas mesti dilaksanakan. Kertas jawapan kena diperiksa dan rantaian prosedur seterusnya perlu dilakukan.

Elaun syarahan KDC saya pada cuti hujung tahun itu cukup untuk menampung tambang-menambang empat orang dari Semenanjung bagi menghadiri majlis perkahwinan saya di Ranau yang dijadual pada cuti penggal pertama tahun 1981. Wang simpanan gaji dan “keuntungan” tuntutan perjalanan pula lebih daripada mencukupi bagi melunaskan berian untuk ibu dan hantaran seperti yang tercatat dalam perjanjian pertunangan.

Sebelum saya bertunang, saya sudah memaklumkan kepada ibu dan keluarga di kampung akan hasrat dan gadis pilihan saya. Seperti orang di Ranau, keluarga di Negeri Sembilan juga tidak mempunyai apa-apa alasan untuk menolak hasrat saya.

Semasa berkursus di Kuala Lumpur pada awal Jun, saya tinggal di rumah sepupu saya, Selamah, di Kajang. Suaminya, Hanafi, membenarkan dia dan seorang anak mereka mengiringi ibu dan adik saya ke Ranau. Saya berasa sangat senang hati. Selamah “super senior” saya di Maktab Perguruan Gaya. Lebih lima tahun dia dan Hanafi bertugas di Sabah. Dia mampu menjadi pengurus rombongan kecil pengantin lelaki.

Pada akhir kursus itu, saya sempat pulang ke kampung. Saya menunjukkan gambar si gadis. Semua anggota keluarga memberikan sambutan yang baik, kecuali Kak Long. Dia menegur saya kerana sedikit pendedahan aurat orang dalam gambar. Rupa-rupanya perkembangan dakwah di kampung kami berjaya membentuk pemikirannya.

Pada masa itu ada sekolah al-Arqam di kampung kami. Sudah tentu kegiatannya pun banyak. Kak Long begitu peka tentang aurat. Amat sukar dia menerima penjelasan saya bahawa gadis itu membenarkan dirinya difoto dalam keadaan begitu hanya untuk saya. Gambar itu hanya saya pemiliknya. Negatif gambar itu pun di tangan saya. Namun saya sedar. Saya mengakui bahawa saya sudah melakukan kesilapan. Saya memohon ampun kepada Yang Maha Pengampun. Hal itu tidak pernah saya ulangi.

Saya sedar, ada insan peka tentang gambar. Di USM, seorang rakan saya yang sentiasa berserban dan berjubah, tidak mahu difoto. Seorang pendakwah bebas pula tidak menyertai penggambaran berkumpulan. Apabila dia menyedari ada wartawan mengarahkan lensa kamera kepadanya ketika berceramah, dia memandang ke arah lain. Keadaan itu dan beberapa pertimbangan lain menyebabkan saya kurang berminat bergambar ketika bertugas selama lima tahun di Maktab Perguruan Sandakan. Saya masih bergambar tetapi sekali-sekala dan berpada-pada.

Saya tahu, penggambaran adalah antara aspek dalam pengurusan perkahwinan. Pemikiran saya pada masa itu berlainan. Saya tidak mengupah jurugambar dan tidak menghalang sesiapa menggambar, termasuk Selamah yang merasakan hal itu penting sebagai kenang-kenangan. Namun, dalam pengurusan majlis, sudah saya tetapkan dan dipersetujui oleh pihak perempuan bahawa tiada acara persandingan. Kendurinya dibuat di Kampung Libang sahaja secara sederhana. Saya membeli songket Terengganu. Urusan menjahit pakaian pengantin perempuan dikendalikan oleh keluarganya.

Beberapa hari sebelum majlis pernikahan, Selamah, anaknya Faizal yang berumur empat tahun ketika itu, ibu dan adik saya tiba di Ranau. Saya menunggu mereka di Pekan Ranau kerana saya dan Shamad baru tiba dari Sandakan. Saya membereskan tugas rasmi sebelum saya bercuti selama dua minggu. Kami tinggal di rumah Ustaz Mat Isa. Seperti biasa, Shamad tinggal di rumah rakannya di SMK Mat Salleh.

Pada pagi 19 April 1981, pengantin lelaki naik ke atas rumah pengantin perempuan. Dia yang berpakaian lengkap baju Melayu kuning sempat memandang pengantin perempuan yang bersongket serba kuning juga. Dengan tenang, dia bersila di hadapan jurunikah, Ustaz Mohd. Saad bin Abu. Bapa saudara dan wali pengantin perempuan duduk di sisi ustaz. Encik Kibin bin Rasiman dan Encik Yakub bin Sambuling yang bertindak sebagai saksi duduk di sebelah menyebelah pengantin lelaki.

Dalam kelompok muslimin, antara rakan pengantin lelaki termasuklah Shamad, Ustaz Mat Isa, Ustaz Abdul Majid, Cikgu Redzuan dan Cikgu Tawil. Antara orang kampung pengantin perempuan pula termasuklah Imam Daerah, Tuan Haji Daud Baringkok dan ahli politik, Abdul Mumin bin Ajak. Dalam kelompok muslimah, antara waris dan rakan pengantin lelaki termasuklah, ibunya, Maimunah binti Lenggang; adiknya, Zaleha binti Abd. Razak; sepupunya, Selamah binti Razak; dan isteri Ustaz Mat Isa yang dipanggilnya Kak Naim. Antara waris dan orang kampung pengantin perempuan termasuklah ibunya, Kasumi binti Simpok, adik-beradiknya, isteri Tuan Haji Daud dan isteri Encik Abdul Mumin.

Ustaz Saad membacakan khutbah nikah. Antara kandungan khutbah itu termasuklah ayat pertama surah Al-Nisa’ yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Selepas itu pengantin lelaki beristigfar dan bersyahadat. Dia berjaya “menerima akan nikahnya” dengan emas kahwin seratus dua puluh ringgit tunai, dengan sekali lafaz. Saksi nikah mengangguk-angguk. Ucapan alhamdulillah kedengaran. Lafaz taklik dihulurkan. Pengantin lelaki membaca lafaz taklik itu dengan suara yang lantang dan kemudian menurunkan tandatangan sebagai bukti keakuran. Doa diaminkan. Maka diserulah oleh pendoa akan ungkapan “taqaballahu minna waminkum”. Hadirin pun mengucapkan “minna waminkum taqabbal ya Karim!” (Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu; [ya] amalan kami dan amalan kamu, terimalah ya Karim!)

Hadirin yang amat memahami kepentingan pernikahan seperti Tuan Haji Daud, Ustaz Abdul Majid dan Cikgu Tawil, berasa sukacita. Sebaliknya syaitan berdukacita dan menangis. Satu peluang untuk menjerumuskan anak Adam dalam maksiat sudah tertutup. Ustaz Mat Isa teringat akan sabda Rasulullah SAW (maksudnya), apabila berkahwin seorang anak Adam, sempurnalah separuh daripada agamanya. Maka sempurnakanlah yang separuh lagi dengan takwa. Dan kerana itulah disyariatkan perkahwinan.

Pengantin lelaki bergerak ke arah pengantin perempuan. Dia dibuai perasaan dan berasa seolah-olah melayang di udara. Dia tidak peduli berpuluh-puluh pasang mata muslimah kampung melihatnya dengan berbagai-bagai persoalan dalam sanubari mereka. Dia tidak nampak ibunya mengesat air mata ketika pengantin perempuan mencium tangannya. Dia mencium tangan ibunya, ibu mentuanya, keluarga lelaki pengantin perempuan dan sahabat seperantauan seperti Shamad, Redzuan, Tawil, Ustaz Saad, Ustaz Mat Isa dan Ustaz Abdul Majid. Selepas itu, hadirin yang tadinya tidak banyak bercakap mula riuh apabila hidangan diedarkan.

Ranau, 19 April 1981
Saya memiliki cuma dua keping gambar peristiwa itu. Sekeping gambar bersama-sama ibu, adik saya Zaleha, Selamah dan anaknya Faizal, dan Kak Naim dengan tiga orang anaknya. Dalam gambar itu ibu saya mendukung seorang anak Kak Naim yang masih kecil. Rasanya, gambar itu diambil oleh Ustaz Mat Isa di kaki lima tanah liat rumah pengantin perempuan sejurus sebelum kami naik ke atas rumah itu. Sekeping gambar lagi ialah gambar saya bersama-sama ibu saya di Lapangan Terbang Tanjung Aru seminggu kemudian ketika saya menghantar ibu ke lapangan terbang itu. Gambar itu mungkin diambil oleh Ustaz Mat Isa juga.

Dokumen sah peristiwa itu ialah Sijil Nikah Bawah Seksyen 35(2) Enakmen 15/1977 Majlis Agama Islam Sabah nombor 32/81 bertarikh 20 April 1981 yang ditandatangani oleh Imam Daerah Ranau, Tuan Haji Daud bin Baringkok. Antara butiran yang tercatat dalam sijil nikah itu termasuklah nilai emas kahwin, belanja hangus dan berian hak ibu perempuan.

Seminggu kemudian, sebuah bas pengangkutan awam Kota Kinabalu-Sandakan menghantar sepasang suami isteri ke kampus Maktab Perguruan Sandakan. Ketibaan mereka di bahagian B tingkat empat pangsapuri maktab itu di sambut oleh Shamad, Betty dan anak-anak mereka.

Anak sulung mereka, Rabaatul Adawiah yang masih kecil tetapi sudah petah berbicara, bertanya, “Siapakah orang ini, pak cik?”

Saya menjawab, “Ini mak cik Rabaah. Dia isteri pak cik.”

Dia bertanya lagi, “Mak cik tinggal dengan kita?”

Saya menjawab, “Ya. Mak cik tinggal di bilik pak cik. Rabaah jangan susah hati. Mak cik tidak mengganggu bilik Rabaah.”

Orang yang dipanggil mak cik oleh Rabaatul Adawiah kelihatan selesa bertutur bahasa Dusun dengan Betty.

Bersambung: (35) Jalan di Sa … na!

Tiada ulasan: