28 November 2012

Ceritera Pembunuh yang Kecundang

Sudah berulang kali bayangmu dibunuhnya
engkau tetap hidup dalam keranda mindanya
sesekali kaukuak pintu lalu kaucakar kalbunya
darah pun memercik berkolam di matanya.

Dia dungu cinta, kaulah pemula lakonan bersiri
dengan pantun wangi berlatar irama Melayu asli
dengan hamburan rindu berharuman setiap hari
dengan lidah tinta biru engkau berperi.

Kauhadiahkan cermin kangen di langit terbentang
berserta angin ingin dari bendang setiap petang
membadai jiwa pemuda desa mabuk kepayang.

Engkaulah tengkujuh penamat lakonan semusim itu
kaucabut turus kasih sesudah kukuh bertugu
tanpa segan silu kaumainkan lagu buruk siku.

Bahawa dia pembalas kasih, kaulupakan
bahawa dia perindu sayang, kaulalaikan
bahawa dia penagih cinta, kauabaikan.

Berulang kali lakonan bersirimu tertayang
engkau hidup dalam hatinya pagi dan petang
berulang kali dimatikannya punca kuasa penayang
engkau tetap bangun menguak keranda usang.

Dia beristigfar memohon perlindungan Allah
menghayati firman kepada Muhammad Rasulullah
jikalau benar kamu mengasihi-Nya maka ikutilah
jalan kekasihnya agar kamu dikasihi Allah
mengampunkan dosamu yang sudah-sudah
kisah kecundang pembunuhan pasti mengenyah
apabila kauyakin akan al-Rahman al-Rahim hanya Dialah.

Mohd Isa bin Abd. Razak
Port Dickson, 28 November 2012

Tiada ulasan: