21 Oktober 2012

Kembara Berskuter Bersendirian

Sabah Tempat Bermain

Tenom 1950-an. Ada gambar Tenom 1975?
Pada pertengahan bulan Disember 1975, saya melakukan pengembaraan dengan skuter pecut hijau itu. Perjalanan pertama saya ke Keningau. Jalan ke sana melalui Tambunan tetapi saya tidak bercadang untuk bermalam di situ. Saya merancang untuk bermalam di rumah rakan saya di Keningau. Selepas itu saya merancang untuk meneruskan perjalanan ke Tenom dan bermalam di rumah seorang rakan lagi.

Dari Papar saya menuju ke Donggongon melalui Jalan Pintas Penampang, terus ke Kasigui dan berehat sebentar di Moyog. Saya meneruskan perjalanan mendaki bukit yang tinggi dan berliku-liku di Banjaran Crocker tanpa henti hingga ke Gunung Emas. Di situ saya berehat sekali lagi sambil menikmati suhu yang saya anggarkan lebih kurang dua belas darjah Celsius. Pada masa itu pemandangan di kiri dan kanan jalan amat terbatas kerana dilindungi hutan tebal.

Jalan dari Papar hingga ke Gunung Emas bertar. Mulai dari situ menuju ke Gunung Alab hingga ke Sunsuron, jalan sudah dibongkar untuk dinaik taraf. Jalan bertar di Lembah Tambunan menghala ke Keningau hanya beberapa kilometer. Selepas itu saya menempuh jalan batu kelikir di kawasan yang berbukit hingga ke Apin-apin. Dari Apin-apin hingga ke Bingkor, jalannya tanah pasir dan lurus. Sebahagian besar kawasan di kanan dan kiri jalan itu ialah padang lalang dan belukar rumput jenis yang tinggi, bersela dengan pepohon renek.

Saya singgah di rumah Saifuddin. Dia rakan seangkatan saya di maktab tetapi kami berlainan kumpulan. Dia mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bingkor. Dia tinggal di sebuah rumah di luar pagar Sekolah Rendah Kebangsaan Bingkor. Rumah itu di tepi jalan menuju ke Kampung Bunsit. Pada masa itu sekolah menengah menumpang bangunan sekolah rendah. Setelah bertukar-tukar khabar dengannya, saya meneruskan perjalanan ke Keningau.

Pekan Keningau terdiri daripada sederet bangunan kayu beratap zink merah dan beberapa buah bangunan yang agak jauh kedudukannya dari kedai. Saya pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gunsanad, kira-kira sekilometer dari pekan. Di sana saya bertemu dengan seorang lagi rakan semaktab yang berlainan kumpulan, iaitu Zubit Hanafi. Setelah bertukar-tukar khabar dan mendapatkan alamat rumah yang saya perlukan, saya pergi ke rumah Lazim kira-kira dua kilometer dari sekolah itu.

Lazim dari Kelantan. Dia berkahwin dengan Gayah Saad dari Kedah. Mereka seangkatan dengan saya di maktab. Lazim di kelas C. Saya dan Gayah di kelas D. Kelas D pada tahun pertama dikenali sebagai Eswandi (S1D). Sistem makan di Maktab Perguruan Gaya pada tahun 1973 dan 1974 ialah berhidang, iaitu sehidangan empat orang. Lazim, Gayah, Ku Bahaudin dan saya makan sehidangan selama dua tahun kami di maktab itu.

Lazim dan Gayah begitu gembira menyambut kedatangan saya. Banyaklah perkara lama kami bualkan. Perbualan selepas makan malam bertumpu pada serangga yang dipelihara oleh Lazim dalam sebuah bekas kaca. Serangga seperti kumbang kecil dan berwarna hitam itu mengerumuni gumpalan kapas. Serangga itu giat, suka berasak-asak dan bertenggek di atas belakang rakan.

Saya berkata, “Wah, di rumah pun kamu melakukan uji kaji, Lazim!”

Dia tersenyum dan berkata, “Bukan uji kajilah, Isa. Itu keperluan aku.”

“Keperluan?”

“Aku tanya kamu dulu. Kamu sudah berkahwin atau belum?”

“Belum.”

“Kalau begitu, lebih baik tidak kuberitahu!”

Walau bagaimanapun, perkataan lazim itu main-main sahaja. Dia tetap menjelaskan beberapa perkara tentang kumbang hitam itu. Dia berkata, serangga itu giat melakukan hubungan intim dan cepat membiak. Makanannya mudah, iaitu sekoi hancur yang selalunya diberikan kepada burung merbuk. Dia menelan sepasang kumbang itu apabila diperlukan.

Saya berasa kegelian dan berkata, “Hisy!”

“Ha, itulah. Orang bujang susah hendak faham. Sekarang bubuk jawa popular, tahu!”

Gayah di dapur. Saya dan Lazim sahaja di ruang tamu itu. Perbualan kami tentang bubuk jawa itu berterusan. Lama kemudian, barulah tajuk perbualan bertukar.

Keesokannya, selepas bersarapan, saya bertolak ke Tenom. Jalan yang dilalui hingga ke Melalap berbukit-bukit. Sebahagian jalan itu berbatu kelikir dan sebahagiannya tanah liat bisa. Beberapa sungai kecil tidak berjambatan. Jambatan di sungai yang agak besar ialah binaan konkrit di dasarnya. Air sungai mengalir di atas jambatan itu. Saya berasa seronok menyeberangi sungai tanpa jambatan dan jambatan di bawah air.

Kawasan di kiri dan kanan jalan dari Keningau hingga ke Lembah Tenom kebanyakannya hutan. Ada sedikit kebun getah dan rumah kampung. Mulai lembah itu menuju ke Melalap dan seterusnya ke Tenom jalannya bertar. Di kiri dan kanan jalan kebanyakannya ladang getah. Saya tiba di Tenom ketika hari masih pagi.

Pekan Tenom terletak di kaki bukit yang diselimuti oleh hutan tebal. Bukit di sebelah barat sangat tinggi. Saya mendongak untuk melihat puncaknya yang masih diselaputi kabus nipis. Pemandangan ke mana-mana arah berakhir dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan. Udaranya segar dan suhunya sejuk walaupun matahari sudah menyinarkan cahaya lembutnya. Terdapat beberapa deret bangunan kayu beratap zink. Terdapat juga rumah sebuah-sebuah, balai polis, gereja, masjid, dan beberapa binaan lain. Tempat yang kelihatan banyak orang ialah stesen kereta api. Pekan itu lebih besar daripada Pekan Keningau.

Saya mencari rumah Jusoh Saad. Dia rakan kumpulan saya di maktab. Dia mengajar di Sekolah Menengah Saint Anthony, tidak jauh dari bandar. Saya mudah menemukan rumahnya yang terletak di lereng bukit kecil. Di atas bukit itu masjid. Rumah Jusoh ialah rumah kerajaan kelas ketiga. Dia tinggal bersendirian. Dia begitu gembira menyambut kehadiran saya.

Selepas makan tengah hari dan bersolat zuhur, Jusoh membawa saya ke rumah Buang Ali, tidak jauh dari balai polis. Buang ialah senior kami di maktab. Buang mengeluarkan gambar hitam putih untuk tatapan kami. Kemudian kami ke sebuah kedai milik tauke Cina. Dari jauh anak tauke itu menyambut kedatangan Jusoh dengan senyum manisnya. Namanya Maria. Dia pelajar tingkatan lima. Kata Jusoh, pelajarnya itu terlalu akrab dengannya tetapi Jusoh melayannya seperti pelajar-pelajar perempuan yang lain juga.

Setelah membeli sesuatu di kedai itu, Jusoh mengajak saya untuk melihat Sungai Padas dari atas jambatan besi yang menghubungkan Pekan Tenom dengan Kemabong. Dari jambatan itu, air sungai yang jernih mengalir deras. Perjalanan air yang tersekat oleh batu-batu besar yang tersembul membentuk percikan dan buih putih. Bunyi aliran dan percikan air membentuk irama alam yang indah. Aliran air itu hilang daripada pandangan di hujung perbukitan yang tinggi dan curam serta ada jalan kereta api di lerengnya. Udara petang di atas jambatan itu sejuk dan nyaman.

Pada malam itu saya berbual panjang dengan Jusoh. Kami mengulang kisah lama di maktab dan usaha masing-masing untuk meningkatkan kelayakan akademik. Selepas itu Jusoh menyatakan bahawa bulan Disember ialah musim hujan. Katanya, saya beruntung kerana hujan tidak turun ketika saya dalam perjalanan dari Papar ke Tenom. Namun, hujan mungkin turun pada bila-bila masa sahaja. Banjir kilat biasanya berlaku di sungai tanpa jambatan atau jabatan konkritnya berada di bawah air. Perjalanan saya mungkin tergendala. Dia menasihati saya agar pulang ke Papar dengan menaiki kereta api. Pada malam itu saya tidur dengan nyenyaknya diulit oleh lagu-lagu penyanyi wanita Indonesia yang diminati oleh Jusoh.

Keesokannya saya kembali ke Papar menaiki kereta api. Skuter pecut hijau saya dikenakan tambang khas dan diletakkan di gerabak khas juga. Hampir sepanjang jalan kereta api itu melalui lereng bukit di sebelah Sungai Padas.

Saya di Papar beberapa malam sahaja. Saya berjaya mengajak seorang rakan untuk mengembara bersama-sama saya ke Ranau dan Pitas pula. Namanya Ahmad Supri. Dia lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim. Dia mengajar di Sekolah Menengah Saint Joseph. Kami sebaya tetapi tubuhnya lebih besar, lebih tegap dan warna kulitnya lebih gelap. Saya memanggilnya Mat.

Bersambung: (20) Kembara Bersukter ke Ranau

Tiada ulasan: