22 Jun 2009

Aktiviti Pemulihan Semasa Praktikum

Oleh Mohd Firdaus bin Haji Abd Salam
Institut Perguruan Keningau, Sabah

Dalam borang penilaian praktikum tidak terdapat penilaian aspek pemulihan. Ketidakjelasan ini dikhuatiri memberi implikasi terhadap pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Misalnya, aktiviti pemulihan mungkin kurang diberi penekanan semasa bimbingan oleh pensyarah atau guru pembimbing, dan pelaksanaannya di bilik darjah kurang terancang dan kabur. Hal ini turut menggambarkan seolah-olah aktiviti pemulihan kurang penting. Akhirnya kita akan temukan guru pelatih (GP) cemerlang tetapi tidak mampu menguasai dan melaksana aktiviti pemulihan semasa praktikum atau di sekolah kelak.

Salah satu konsep 5P dalam strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ialah pemulihan. Dalam konteks KBSR, program pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M. Mereka patut dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan dan ditentukan oleh guru darjah atau guru mata pelajaran.

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran (Huraian Sukatan Pelajaran SR). Oleh itu, program pemulihan ialah satu rancangan pembelajaran yang disediakan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dalam menguasai sesuatu kemahiran.

Keperluan aktiviti pemulihan juga sangat bergantung pada keperluan murid. Sekiranya terdapat murid yang dikenal pasti memerlukan aktiviti pemulihan, GP perlu menyediakan aktiviti pemulihan yang perlu dicatatkan dalam rancangan pengajaran harian (RPH). Berdasarkan pengalaman penulis, lazimnya GP tidak menyediakan aktiviti pemulihan walaupun ada murid yang memerlukannya. Senario ini dikhuatiri akan berterusan apabila GP ditempatkan di sekolah. Akhirnya pemulihan dalam bilik darjah tidak berlaku. Murid yang tidak menguasai 3M akan meningkat.

Kebimbangan ini pernah disuarakan oleh pelbagai pihak. Jabatan Pendidikan Khas pada tahun 2000 mendapati bahawa 10-15% murid sekolah rendah tidak menguasai 3M. PIPP (2005) mencatatkan 4.4% pelajar sekolah rendah tidak menguasai 3M dan 0.8% pelajar di sekolah menengah menghadapi masalah yang sama.

Pelaksanaan program KIA2M yang bermula pada tahun 2006 merupakan salah satu langkah nasional yang bertujuan membendung masalah ini. Mewujudkan program latihan perguruan bagi GP pemulihan khas di IPG juga diharap mampu membantu mengatasi masalah tersebut.

Justeru, aktiviti pemulihan dalam bilik darjah KBSR wajar diberi perhatian semula. Tanpa menidakkan program-program latihan yang sedia ada, lompang yang dikenal pasti melalui praktikum di IPG mungkin difikirkan semula. Hal ini perlu difikirkan dengan serius oleh pendidik guru dan guru pelatih.

Cadangan yang praktikal seperti memasukkan aspek pemulihan dalam borang penilaian praktikum perlu difikirkan. Dengan demikian kita mungkin dapat membentengi diri kita daripada memikul dosa apabila guru pelatih yang kita hasilkan gagal mencelikhurufkan murid mereka.

Tiada ulasan: