25 Februari 2012

Selamat Hari Genap Usia, Iman! (Edisi Kemas Kini)

Selamat hari genap usia, Iman! Pada hari genap usiamu ini, dengarlah sedikit penjelasan tentang atuk, nenek dan anak-anak atuk.

Ibu iman ialah anak atuk. Sebab itu Iman menggunakan kata panggilan atuk. Kata panggilan penuhnya ialah datuk. Kebanyakan budak seperti Iman suka menggunakan panggilan ringkas, iaitu atuk. Atuk pun suka dipanggil atuk. Perkataan lain bagi atuk ialah aki.

Iman ada dua orang atuk. Seorang atuk Iman di Kota Belud; seorang lagi di Port Dickson. Apabila iman bercakap dengan keluarga dan saudara-mara, mereka mungkin bertanya, “Atuk yang mana?” Iman jawablah, Atuk KB bagi atuk di Kota Belud dan Atuk PD untuk atuk di Port Dickson.

Begitu jugalah halnya dengan nenek. Iman ada Nenek KB dan Nenek PD. Nenek PD berasal dari Ranau. Ranau itu tidak jauh dari Kota Belud. Ranau dan Kota Belud terletak dalam Negeri Sabah. Port Dickson terletak dalam Negeri Sembilan. Atuk PD memang orang PD.

Atuk dan nenek memang ada nama tetapi Iman tidak boleh memanggil nama kami. Kata Ustazah, perbuatan cucu memanggil nama atuk dan nenek tidak manis. Begitu juga halnya dengan adik-beradik ibu dan ayahmu. Usah panggil nama mereka. Gunakanlah panggilan santun keluarga.

Perhatikan penjelasan atuk. Anak atuk yang pertama, Iman panggil Mak Long. Anak atuk yang kedua, iaitu emakmu, Iman panggil ibu, emak atau umi. Sepupu Iman memanggil ibumu Mak Ngah. Anak atuk yang ketiga, Iman panggil Mak Lang. Anak atuk yang keempat Iman panggil Pak Andak. Anak atuk yang kelima, Iman panggil Mak Cik. Anak atuk yang keenam, Iman panggil Mak Busu atau ringkasnya Mak Su.

Iman, melalui wadah ini tataplah wajah atuk semasa muda. Anggaplah gambar ini sebagai hadiah daripada atuk bersempena dengan hari genap usiamu.

Atuk bergambar dengan ibu atuk. Ibu atuk Iman panggil moyang. Ini gambar moyang Iman yang perempuan. Gambar ini dirakam pada tahun 1981. Gambar ini dirakam di Kota Kinabalu. Pada masa itu moyang perempuan datang ke Sabah untuk menghadiri majlis pernikahan atuk dengan nenek.

Gambar ini ialah satu-satunya gambar atuk dengan moyang perempuan. Gambar atuk dengan moyang lelaki tidak ada. Gambar kami sebenarnya banyak. Takdir sudah menentukan, semua gambar lama hangus apabila rumah moyang rentung pada tahun 1986. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa.

Atuk amat menyayangi moyang. Sebenarnya, atuk tidak mahu membezakan kasih sayang atuk kepada moyang perempuan dengan moyang lelaki. Namun atuk patuh kepada sabda Nabi bahawa keutamaan kita hendaklah pada ibu. Maka yang paling atuk sayangi tentulah moyang perempuan.

Atuk nukilkan satu kisah keakraban atuk dengan moyang perempuan. Apabila moyang perempuan balik ke kampung atau menziarahi saudara-mara, atuk pasti ikut. Pada tahun 1960 atuk berumur lapan tahun. Pada masa itu atuk memang nakal. Atuk suka merayau. Pada suatu hari, apabila atuk tiba di rumah, moyang perempuan sudah bergerak untuk pergi ke kampung lama.

Atuk tidak bertangguh. Atuk terus mengejar moyang melalui denai. Larian atuk semakin laju apabila sampai di jalan kerikil dalam estet getah. Sesudah lebih kurang sebatu atuk berlari, barulah atuk nampak belakang moyang. Sambil berlari, atuk menjerit, “Mak, mak!” Langkah moyang terhenti. Dia berpaling dan menunggu atuk.

Pada masa itu atuk tidak memakai baju. Moyang lap muka dan badan atuk yang dibasahi oleh peluh. Moyang pakaikan atuk seluar dan baju baharu. Rupa-rupanya moyang memang ada membawa baju dan seluar. Tahulah atuk, moyang memang hendak menjadikan atuk sebagai teman berpergian.

Kami meneruskan perjalanan. Lebih sejam kemudian barulah kami sampai di jalan berturap. Dari situ kami menaiki bas hingga ke Rantau. Dari Rantau kami menaiki bas lain untuk ke kampung lama kami. Namanya Kampung Permatang Pasir. Kampung itu bersebelahan dengan Linggi. Moyang lelaki menjadikan sebuah rumah pusaka di kampung kelahiran atuk itu sebagai tempat tinggal sementara. Dia membanting tulang di kawasan sekitar kampung itu.

Semasa atuk merantau di Sabah, agak kerap atuk pulang ke Negeri Sembilan. Jadi, dapatlah atuk bertemu dengan moyang. Beberapa tahun sebelum moyang perempuan meninggal dunia, dia uzur. Pada masa itu Allah memudahkan rezeki atuk. Atuk mendapat peluang yang banyak untuk bertugas di Semenanjung. Atuk memanfaatkan peluang itu untuk menjenguk moyang kendatipun hanya lima minit. Atuk berasa senang hati apabila dapat mencium tangan moyang. Kemudian atuk peluk tubuhnya. Seterusnya atuk cium dahinya. Akhirnya atuk cium kedua-dua pipinya. Sudah tentu moyangmu berasa sangat gembira.

Moyangmu tidak pernah menyambut hari genap usia. Seperti moyang, atuk pun tidak menyambut hari genap usia. Namun ada dua kali atuk diraikan pada hari genap usia.

Yang pertama, 13 Mei 2008 ialah hari terakhir perkhidmatan atuk sebagai kakitangan kerajaan. Dalam acara perpisahan, majikan atuk menyediakan kek hari genap usia untuk kakitangan yang lahir pada bulan Mei, bukan untuk atuk seorang. Atuk dan kawan-kawan meniup lilin dan memotong kek. Itulah kali pertama dan terakhir atau meniup lilin hari genap usia.

Yang kedua, pada hari genap usia tahun ini, atuk terkejut. Ketika atuk sedang menguliti buku wajah, terdengar suara Mak Su memanggil atuk.

Kata Mak Su, “Ayah, makanan sudah siap.”

Pada masa itu atuk memang lapar. Atuk pun turun ke tingkat bawah. Atuk dapati kek sudah terhidang di atas meja. Nenek, Mak Long dan Mak Su berdiri mengelilingi meja itu. Atuk faham. Atuk terus memotong kek itu. Kami makan kek itu bersama-sama.

Tiada lilin. Atuk bersyukur sebab nenek, Mak Long dan Mak Su faham bahawa lilin tidak perlu. Atuk berkata kepada mereka, “Bagus. Ustaz kata, kita dilarang mengikut cara agama lain seperti meniup lilin pada hari genap usia.”

Iman, sejak nenek berkahwin dengan atuk pada tahun 1981, nenek tidak pernah menyambut hari genap usia. Jadi, lima orang anak nenek juga tidak menyambut hari genap usia di hadapan mata atuk. Tegasnya, Mak Long, ibumu, Mak Lang, Pak Andak dan Mak Cik tidak menyambut hari genap usia. Dengan sendirinya mereka tidak memotong kek dan tidak meniup lilin pada hari genap usia mereka.

Mak Su terkecuali. Sejak dia kecil, kakak-kakak dan abangnya mengadakan acara untuknya. Acara itu mereka lakukan tanpa pengetahuan atuk. Mak Su meniup lilin dan memotong kek. Kakak-kakak dan abang Mak Su juga memberikan hadiah kepada Mak Su.

Oleh sebab Mak Su sudah biasa menyambut hari genap usia, lama-kelamaan atuk pun ikut meraikannya. Perbuatan meniup lilin itu Mak Su lakukan hingga tahun 2009. Alhamdulillah, mulai tahun lalu Mak Su tidak meniup lilin lagi. Dia cuma memotong kek.

Iman, pada hari genap usiamu ini, banyakkanlah ucapan alhamdulillah. Jangan lupa untuk mengucapkan tahniah kepada ibumu sambil mencium pipinya. Ucapkan terima kasih kepada ayahmu sambil mencium tangannya. Doakan agar mereka sihat sejahtera dan sentiasa mendapat rahmat Ilahi.

Selamat hari genap usia, Iman! Anggaplah catatan atuk ini sebagai hadiah pada hari genap usiamu yang pertama. Ya Allah, aku bermohon agar Engkau menggerakkan mana-mana malaikat-Mu untuk membisikkan inti perutusan ini kepada kalbu cucuku, Iman. Amin ya Rabb.

21 Mei 2011, 5.00 pagi
Kemas kini: Februari 2012

Tiada ulasan: