07 Mei 2012

Sejenak Panjang di Ruang Pameran DBP Brunei di PBAKL

Saya memasuki bangunan tempat berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012 itu melalui pintu belakang, iaitu bahagian yang berhampiran dengan sebuah hotel. Waktu itu pukul sepuluh setengah pagi. Saya menjangka pengunjung belum ramai dan saya bolehlah bergerak bebas. Jangkaan saya meleset. Bermula di pintu masuk itu pengunjung sudah bersesak-sesak.

Saya menyusuri laluan utama. Saya bergerak perlahan-lahan sambil membaca gegantung di kiri kanan laluan itu. Orang terlalu ramai. Hampir kesemuanya Melayu. Mereka yang berkulit cerah dan bermata sepet dapatlah dikatakan dalam seribu ada seorang. Demikian juga halnya dengan penduduk ketiga terbanyak di Tanah Melayu, hampir tenggelam dalam khalayak peribumi yang kebanyakannya berkerudung dan berketayap.

Susana hiruk-pikuk. Petugas dan pengiklan berbaju T cukup giat mengganggu penjunjung. Seorang dua sahaja pengiklan itu saya layan. Saya terus bergerak perlahan-lahan tanpa hala yang pasti. Usaha untuk singgah di ruang pameran tertentu tidak berjaya kerana ruang untuk mencelah hampir tiada. Pengunjung berhimpit-himpit di laluan sebelah menyebelah deretan ruang pameran sebuah penerbit. Pergerakan orang ramai tersekat kerana ada pengiklan melakukan promosi.

Saya mencari laluan lain dan mendapati sudah kali kedua saya berada di laluan yang sama. Pada masa itulah saya terpandang ruang pameran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei. Saya berusaha mencelah dan akhirnya saya berjaya masuk ke dalam ruang pameran itu. Saya berasa lega kerana di dalam ruang kecil itu hanya saya dan seorang petugas wanita. Petugas itu kelihatan sibuk menulis sesuatu di hadapan setimbun buku di atas sebuah meja kecil. Mungkin dia sedang mengemas kini senarai bahan pameran atau pesanan pelanggan. Dia tidak menghiraukan saya.

Saya membaca hampir semua tajuk buku dan majalah, dan menyelak-nyelak halaman beberapa buah buku dan majalah pilihan hati saya. Saya membaca blurb, kandungan dan pendahuluan beberapa buah buku. Saya berasa cukup selesa kerana petugas wanita itu masih dengan kerjanya sendiri. Seorang lelaki dewasa menyertai saya di ruang itu tetapi sebentar amat. Dia keluar dan saya bersendirian semula. Saya membaca kandungan beberapa buah jurnal pula. Sempat juga saya membaca intro dan perenggan susulan esei jurnal itu.

Mula-mula saya hendak memborong lebih kurang sepuluh buah buku dan majalah. Saya berfikir berkali-kali sebelum memutuskan untuk melakukan pembelian. Saya baru berada di ruang pameran yang pertama. Ada beratus-ratus lagi ruang pameran menanti untuk saya kunjungi. Berdasarkan pemerhatian sebentar tadi, ada penerbit menggunakan banyak ruang dan ada juga penerbit menggunakan sebuah dewan. Pasti ada beribu-ribu buku lagi menanti untuk saya belek, nilai dan beli. Akhirnya saya membeli dua buah buku dan tiga buah jurnal sahaja, iaitu hanya separuh daripada hajat asal saya.

Buku itu ialah Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu cetakan kedua, tahun 2010 dan Panduan Umum Ejaan Jawi cetakan pertama 2011. Saya hendak membandingkan penjelasan yang terdapat dalam kedua-dua buah buku terbitan DBP Brunei itu dengan buku terbitan DBP Malaysia. Jurnal yang saya pilih ialah Jurnal Bahasa bilangan 22, 23 dan 24 terbitan tahun 2011. Jurnal itu diterbitkan empat bulan sekali. Ertinya saya memiliki ketiga-tiga Jurnal Bahasa 2011 terbitan DBP Brunei. Antara esei yang sudah saya imbas dan mesti menjadi bacaan saya ialah “Persepsi terhadap Peribahasa: Satu Kajian Kes” dan “Peribahasa dan Fungsinya dalam Kehidupan Masyarakat Melayu Brunei”.

Ketika saya hendak melakukan pembayaran, saya terlihat buku Bahasa Melayu Bahasa Kita di atas meja petugas itu. Buku itu dua jilid. Saya bertanya petugas itu sama ada buku-buku itu hendak dijual ataupun tidak. Dia menjawab, ya dan saya berasa amat senang hati. Saya menghulurkan wang tetapi saya berasa hairan kerana dia tidak memasukkan dua buah buku Bahasa Melayu Bahasa Kita itu ke dalam beg plastik.

Saya menghulurkan kedua-dua buah buku itu kepadanya dan berkata, “Yang ini lagi.”

Dia menjawab, “Buku-buku ini sudah dibeli.”

Saya kehairanan dan berkata, “Tadi puan kata buku ini untuk dijual.”

Dia menjawab, “Ya, dan buku ini sudah dipesan, sudah dijual. Encik boleh membeli buku-buku ini melalui pos. Ini borangnya.”

Sesudah mengambil borang, belian dan wang baki, saya meninggalkan ruangan pameran DBP Brunei itu dengan perasaan kurang puas. Tidak mengapalah, saya memujuk diri. Di ruang pameran lain saya akan berusaha untuk mencari buku yang tema/kandungannya hampir sama dengan buku Bahasa Melayu Bahasa Kita itu. Antara buku itu termasuklah tiga jilid Mari Kita Berbahasa, edisi baharu Tuntunan Bahasa dan edisi baharu Bahasa Kita. Sudah beberapa kali saya mencari buku-buku itu di Kedai Buku Koperasi DBP Malaysia dan beberapa buah toko buku tetapi hampa.

Tiada ulasan: