06 Mei 2012

Wawancara Sofa Putih ITBM: Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita


Pedoman Bahasa (JPEG) 094. Dr. Haji Awang Sariyan, 5 Mei 2012.
Saya beruntung kerana hadir dalam rancangan Wawancara Sofa Putih di Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) pada pukul 3.00 petang, 5 Mei 2012. Panel forum anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Haji Awang Sariyan dan Pejuang Bahasa Melayu, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

Tuan/puan juga beruntung kerana berpeluang untuk membaca kandungan wawancara itu. Hal ini saya katakan demikian kerana Dr. Haji Awang sudah menerbitkan kandungan wawancara itu di blognya. Saya hanya memetik dua perenggan daripada 10 perenggan catatan beliau untuk tatapan segera tuan/puan.

1. Martabat bahasa Melayu tidak akan datang sendiri; menjadi kewajiban bangsa Melayu sendiri dan bangsa Malaysia memartabatkannya dalam semua sektor kehidupan di negara ini jika bahasa Melayu sebagai bahasa negara benar-benar hendak dijadikan bahasa tunjang tamadun negara.

2. Dapat dikatakan semua bangsa dan negara maju dari dahulu hingga kini mencapai tahap besar dan maju dengan berasaskan bahasanya sendiri, seperti Jerman, Perancis, Rusia, China, Korea, Jepun dan yang lain. Bahasa asing menjadi nilai tambah, bukan pengganti bahasa negara.

Klik pautan ini untuk membaca catatan lengkap beliau.

Dalam komunikasi maya, Dr. Awang dikenali dengan nama pena Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa (KBMM). Sebagai Ketua Pengarah DBP, KBMM sangat sibuk. Dalam kesibukan itu beliau masih sempat memenuhi pelbagai undangan di dalam dan di luar negara.

Di negara kita, beliau boleh berada di mana-mana sahaja dan di hadapan sesiapa sahaja demi memantapkan martabat bahasa Melayu. Beliau memang kerap berwacana di hadapan cendekiawan dan mahasiswa di dewan kuliah, auditorium seminar dan sebagainya. Beliau biasa melahirkan fikiran melalui media cetak, elektronik, blog dan Facebook. Beliau selesa berbicara di hadapan pelbagai golongan masyarakat, termasuk di hadapan ibu bapa dan pelajar dalam sesuatu acara di sekolah. Sejak menjawat jawatan Ketua Pengarah DBP beliau kerap melakukan ziarah bahasa. Selain itu, kelihatannya beliau semakin kerap berbicara atau mendeklamasikan puisi di surau, masjid dan kampung. Kelmarin, saya bersila di hadapan beliau dan Profesor Abdullah ketika mereka berbicara tentang kedudukan bahasa Melayu kini.

MIAR: Terima kasih, tuan. Saya suka akan tema belai dan (apabila perlu) gigit. Nenek saya pernah berkata, lembut liat seperti rotan tetapi tidak terpatahkan. Tuan kelihatan letih tetapi tetap menggagahi diri untuk menggemakan bicara. Syabas. Wallahuaklam. Wassalam. 5 Mei 2012, 11.30 malam.

KBMM: Mudah-mudahan strategi "membelai" semua kelompok masyarakat berhasil. (Saya) Memang letih kerana baru tiba dari Sarawak untuk acara yang padat dan sebelumnya di Terengganu, juga acara sepanjang hari. 5 Mei 2012, 12.30 malam. Klik.

Tiada ulasan: