12 Februari 2012

Kemahiran Berfikir: Mencirikan Alif dan Ba

Ciri ialah sifat atau unsur yang khusus pada sesuatu. Sesuatu itu boleh apa-apa sahaja seperti manusia, haiwan, benda dan konsep. Ciri dapat membezakan sesuatu itu dengan yang lain.

Mula-mula kita perhatikan fizikal manusia. Pasti kita dapati lelaki ada ciri, wanita ada ciri, khunsa pun ada ciri. Haiwan pun begitu. Gajah ada ciri, badak ada ciri, zirafah juga ada ciri. Demikian juga halnya dengan objek. Meja ada ciri, kerusi pun ada ciri. Begitulah juga dengan konsep. Pantun ada ciri, syair ada ciri. Secara khusus, perlakuan mengaum, mengembek dan mengiau ialah milik haiwan. Itulah ciri haiwan yang berkenaan.

Perkataan mencirikan mempunyai dua maksud. Maksud umumnya seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah "menjadi ciri kepada" atau merupakan ciri sesuatu. Hal ini dapat dikesan dalam ayat contoh “Kerumitan sentiasa mencirikan proses perubahan yang dihadapi oleh sebarang sistem”. Sebagai istilah kemahiran berfikir (KB) pula, perkataan mencirikan bermaksud mengenal pasti ciri sesuatu.

Tulisan ini membincangkan hal yang berkaitan dengan mencirikan sebagai istilah. Guru kawakan, iaitu Cikgu Zubaidah, dan seorang guru pelatih, iaitu Ustazah Hariani menghidupkan perbincangan ini.

Cikgu Zubaidah berkata, “Murid-murid, lihat zirafah dalam gambar ini. Lehernya panjang. Leher panjang seperti ini hanya milik zirafah. Inilah ciri zirafah.” Kemudian Cikgu Zubaidah bertanya, “Murid-murid, apakah ciri zirafah?” Murid-murid menjawab hampir serentak, “Lehernya panjang, cikgu!” Sekiranya Cikgu Zubaidah memberitahu rakannya bahawa dia ada menyerapkan KB mencirikan sesuatu dalam pelajarannya hari itu, dakwaannya meleset. Yang berfikir dalam kes ini ialah dirinya, bukan murid. Murid seakan-akan burung kakak tua.

Di dalam bilik darjah, pelaku aktif KB ialah murid. Guru ialah pemudah cara yang menggalakkan murid untuk berfikir. Yang bersungguh-sungguh berfikir ialah murid. Kisah zirafah yang di atas sebenarnya ialah induksi set dalam langkah yang berkenaan. Induksi set itu diikuti dengan aktiviti murid mengenal pasti ciri haiwan tertentu. Aktiviti itu dapat dilakukan secara kelas, kumpulan atau individu.

Katakan murid akan mencirikan gajah. Dengan menggunakan projektor paparan hablur cecair, Cikgu Zubaidah menayangkan beberapa keping slaid gajah dan perlakuan gajah. Ditayangkannya juga klip video tentang gajah yang bertajuk “Makan, Makan, Makan”. Selepas itu murid berada dalam beberapa kumpulan kecil. Mereka berbincang dan mencatatkan dapatan dalam ruangan tertentu pada rajah pancaran. Kemudian rajah yang sudah lengkap itu dipaparkan di papan tulis.

Dengan berdasarkan rajah itu, Cikgu Zubaidah mengendalikan perbincangan secara kelas. Selepas itu, setiap kumpulan merefleksi dapatan mereka. Wakil kumpulan merumuskan kejayaan dan kendala kumpulan masing-masing kepada kelas. Cikgu Zubaidah memberikan peneguhan dan mengukuhkan nilai yang diserap oleh murid-muridnya.

Katakan Cikgu Zubaidah menjadi guru pembimbing guru pelatih yang melaksanakan praktikum di sekolahnya. Seorang guru pelatih akan menggunakan pantun dalam pelajaran yang akan datang. Dia bercadang untuk menerapkan KB dalam pelajaran itu. Dia mencadangkan agar guru pelatih itu melaksanakan KB mencirikan pantun. Katanya, “Itu pun jikalau sesuai.”

Lain halnya dengan Ustazah Hariani. Hari itu dia sugul. Cikgu Zubaidah duduk di sampingnya.

Cikgu Zubaidah: Ustazah kelihatan susah hati. Ada masalahkah?

Ustazah Hariani: Pensyarah saya akan menyelia saya esok. Dia meminta saya menyerapkan KB. Macam mana saya hendak menyerapkan KB kepada murid-murid pemulihan Jawi?

Cikgu Zubaidah: Berbincanglah dengan Ustazah Fadzilah. Dia guru pembimbing ustazah.

Ustazah Hariani: Ustazah Fadzilah masih berkursus di Kota Kinabalu, cikgu.

Cikgu Zubaidah: Ustazah mengajarkan apa esok?

Ustazah Hariani: Mengulang huruf alif dan memperkenalkan huruf ba.

Maka berlakulah perbincangan tentang kemahiran KB mencirikan sesuatu antara Ustazah Hariani dengan Cikgu Zubaidah. Akhirnya Ustazah Hariani faham bahawa huruf Jawi pun ada ciri. Ciri itu dapat dikesan dari segi binaan atau bentuk dan bunyi.

Hasil perbincangan itu, Ustazah Hariani merangka beberapa pertanyaan. Antaranya, huruf apakah yang tajam macam jarum ini? (Dia akan menunjukkan jarum.) Huruf apakah yang seakan-akan perahu? (Dia akan menggayakan gerak orang mendayung perahu.) Huruf apakah yang berdiri tegak? (Dia berdiri tegak.)

Ustazah Hariani merangka beberapa soalan lagi. Bagi huruf ba, dia akan meminta murid menyatakan jumlah titik dan kedudukan titik. Bunyi huruf juga akan diberikan perhatian. Selain itu, murid menggerakkan jari di udara bagi menuliskan huruf-huruf itu. Murid diminta menyatakan arah gerak jari mereka. Minda, mata, telinga, tubuh, mulut dan tangan murid akan diaktifkan. Ustazah Hariani akan meminta murid menyebut, “Aaa … betul, betul” bagi bunyi alif dan melakonkan ketakutan sambil menyebut “bbb …” bagi bunyi ba.

Kini Ustazah Hariani sedar bahawa murid berkemungkinan mencirikan huruf alif dan ba. Dengan perkataan lain, dia perlu menghidupkan situasi pembelajaran agar murid mampu mencirikan huruf-huruf itu.

Perbincangan ini menunjukkan bahawa KB mencirikan sesuatu dapat diserapkan di sekolah rendah, termasuk dalam kelas pemulihan. Hal yang penting ialah mereka yang mencirikan sesuatu itu ialah murid, bukannya guru. Hal yang tidak kurang pentingnya ialah guru perlu mempelbagaikan teknik dan menghidupkan suasana pembelajaran agar murid terdorong untuk belajar dan berfikir.


Tiada ulasan: