04 Februari 2012

Mansuh PPSMI, Perkukuh Bahasa Melayu

Bahan ini untuk rekod/rujukan sendiri.
...
PENDIRIAN Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) yang mahu Kementerian Pelajaran menghentikan segera PPSMI selepas kerajaan memutuskan melaksanakan Proses Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Melayu secara berperingkat mempunyai asas yang kukuh. (Lihat Berita Harian, 24 Ogos 2011)
Pendirian PLM itu berikutan ada suara yang memberikan kelonggaran pada sekolah tertentu membuat pilihan sama ada mahu terus melaksanakan PPSMI atau memilih bahasa Melayu. Kelonggaran ini bakal diberi kerana kononnya mendapat maklum balas daripada sesetengah pihak bahawa pembatalan PPSMI melemahkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Sebenarnya kelemahan pelajar menguasai bahasa Inggeris bukan kerana pemansuhan PPSMI. Kelemahan itu berkait rapat dengan keluarga dan diri pelajar itu sendiri. Bagaimanakah mereka belajar bahasa Inggeris? Bagaimanakah pula sambutan atau sokongan keluarga bagi mengukuhkan minat pelajar terhadap bahasa Inggeris itu sendiri?

Lihat anak muda dalam lingkungan usia 30-an sekarang. Antara mereka ada yang berjaya keluar negara menuntut di pusat pengajian tinggi asing. Ada pula yang belajar di pusat pengajian tinggi dalam negara. Ketika di sekolah rendah dulu, mereka tidak melalui PPSMI. Mengapakah mereka berjaya menguasai bahasa Inggeris hingga mampu keluar negara?

Perkara kedua, tidak usah dilihat kepada kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar saja sehingga membuat keputusan hendak melaksanakan semula PPSMI. Lihat juga kelemahan pelajar dalam penguasaan bahasa Melayu.

Dalam kalangan kaum Melayu sendiri atau bumiputera lainnya, lihat lisan bahasa Melayu mereka. Dengar saja DJ Radio dan Tv Malaysia, baik RTM atau swasta, kata-kata "banyak barang-barang, ramai orang-orang, ramai rakyat-rakyat, mereka-mereka, ianya, dianya," selamba saja keluar daripada mulut mereka sedangkan itu salah. Keadaan sedemikian menunjukkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu.

Malah kata "kasi" yang bukan maksud beri, kata "bilang" yang bukan maksud cakap, bergema di Parlimen Malaysia. Apakah itu bukan kelemahan rakyat Malaysia menguasai bahasa Melayu?

Itu belum lagi dilihat pada struktur ayat, susunan ayat dan ketepatan maksud sesuatu kata bahasa Melayu yang digunakan.

Berbalik kepada soal PPSMI, keputusan sudah dibuat maka tidak usah ada pilihan lagi. Teruskan saja penggunaan bahasa Melayu seperti dipersetujui bahawa PPSMI dimansuhkan berperingkat-peringkat. Pemimpin negara yang akan menerajui negara ini mesti tegas supaya kewibawaannya tidak dipertikaikan rakyat.

ABD RAHMAN CHE MAT,
Kuala Terengganu.
http://pendidikmy.net/2011/09/07/mansuh-ppsmi-perkukuh-bahasa-melayu/#.Tmm56FBax04.facebook


Melayu Tak Yakin Kehebatan Bahasa Sendiri

Berita Harian Online, 15 September 2011

TERPANGGIL saya untuk menulis selepas terbaca coretan "Pemerhati PPSMI", Tun Inderapura, Jerantut, semalam. Saya amat bersetuju seratus peratus dengan kenyataan yang ditulis dan dibangkitkan beliau berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Keputusan Kabinet tidak meneruskan PPSMI adalah keputusan tepat. Dakwaan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang kononnya mewakili 54 peratus responden masih boleh dipertikaikan. Apakah 54 peratus itu mewakili keseluruhan penduduk sama ada di bandar mahupun luar bandar? Saya berkeyakinan penuh, kebanyakan menyokong PPSMI dan mewakili 54 peratus itu majoritinya penduduk bandar, terdedah dengan dunia luar, berjiwa korporat, mempunyai kepentingan tertentu dan taksub dengan budaya dan cita rasa Barat yang dianggap lebih terkehadapan dan bertamadun kerana kehebatan bahasa Inggeris. Itu hanya persepsi dan tanggapan manusia yang terlupa siapakah diri mereka dan asal usul mereka. Jangan dikorbankan sesuatu yang amat berharga untuk tamadun kita hanya kerana semata-mata mengejar kebaratan, kemajuan dan dilihat hebat!

Kita lihat dan terbukti bagaimana di negara berkembang maju seperti China, Denmark, Jepun, Korea dan lain-lain negara lagi yang begitu hebat memartabat dan mempertahankan bahasa ibunda mereka tetapi mereka masih terus boleh maju, mengapa?

Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, mengapa pula masih ada golongan yang tidak sedar dan memperlekehkannya pula? Siapakah lagi yang akan mempertahankan dan terus memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa agung di dunia ini satu hari nanti jika tidak orang Melayu sendiri?

Malangnya semakin ramai orang Melayu lupa diri dan menjadi semakin layu? Apakah golongan ini masih alpa atau buat-buat lupa, bagaimana pada satu masa dulu bertukar nama asal Tanah Melayu menjadi Malaysia?

Banyak lagi nama dan istilah yang dulunya amat sinonim menggunakan nama "Melayu" di bumi Malaysia ini tetapi kini dilihat sudah semakin terhakis dan pupus? Salah siapa? Bukankah bangsa Melayu itu sendiri?

Sekarang, serpihan yang tinggal sebagai aset amat berharga untuk orang Melayu di Malaysia ialah bahasa Melayu. Itupun ada pula segelintir golongan Melayu yang cuba menjadi wira mempertikai dan memperlekehkan bahasa ibunda mereka sendiri.

Lebih memalukan terdapat pula dari kalangan bukan Melayu yang lebih bersungguh untuk mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu daripada orang Melayu sendiri! Mengapa ini terjadi?

Ke arah manakah untuk kita membawa hala tuju negara ini demi generasi seterusnya?

MELAYU TAK LUPA.




Tiada ulasan: