31 Januari 2010

Sejarah Ringkas Penyelidikan Tindakan di Malaysia

Di Malaysia, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) atau lebih dikenali dengan nama Education Planning and Research Department (EPRD, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mempelopori budaya penyelidikan tindakan. BPPDP melaksanakan program Project Innovation Excellence and Research (PIER) yang mendapat biaya Bank Dunia. PIER bertujuan untuk mewujudkan budaya penyelidikan dalam kalangan guru demi kecemerlangan pendidikan di sekolah.

PIER bermula pada tahun 1993 dan berakhir pada tahun 1996. Aktiviti utama PIER ialah mengendalikan kursus penyelidikan untuk pendidik. Selain itu, PIER juga menyediakan peruntukan bagi menjalankan projek penyelidikan tindakan di sekolah. Para pendidik di negara kita berjaya menghasilkan sebanyak 741 penyelidikan di bawah PIER.

Pada tahun 1998 hingga tahun 2000, BPPDP mendapat peruntukan khas daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di bawah Program Kesedaran Sains untuk melaksanakan penyelidikan tindakan. Dengan menggunakan peruntukan itu, dalam tempoh tiga tahun, BPPDP berjaya melaksanakan 20 kursus untuk guru-guru Sains dan Matematik. Natijahnya, guru-guru Sains dan Matematik itu berjaya menghasilkan 632 penyelidikan tindakan.

BPPDP sudah mengadakan seminar penyelidikan tindakan sejak tahun 1993. Seminar itu menjadi wahana untuk guru-guru di negara kita menyebarkan dapatan penyelidikan mereka. Saya berpeluang menghadiri dua seminar itu, iaitu seminar kedua pada tahun 1995 dan seminar ketiga pada tahun 1996. Catatan saya tentang seminar ketiga terdapat di Scribd. Catatan itu wajar menjadi rujukan guru pelatih dan untuk rujukan guru-guru muda.

Selain BPPDP, universiti dan institut pendidikan guru menyokong usaha untuk membudayakan penyelidikan tindakan di sekolah. Antara pihak yang pernah aktif melaksanakan penyelidikan tindakan pada akhir 1990-an dan pada awal dekad lalu ialah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Keningau dan Kampus Temenggong Ibrahim.

Saya tidak pasti kedudukan penyelidikan tindakan di sekolah dan di IPGM pada akhir dekad lalu dan yang terkini. Jadi, kita menyambut baik apa-apa penjelasan daripada guru dan pengurus pendidikan. Kita juga mengalu-alukan maklumat daripada pensyarah dan ketua jabatan di IPGM tentang perkara ini.

Masukan terdahulu:
1. Kita Penyelidik dan FB Berkemungkinan... (a) Blog (b) Facebook
2. Sejarah Ringkas Penyelidikan Tindakan di Amerika dan Britain (a) Blog (b) Facebook
Pautan untuk disemak: Perkembangan Terkini Kajian Tindakan

Tiada ulasan: