12 Ogos 2012

Memindahkan Bahasa dan Perkataan Seerti

Ulasan buku Ilmu Mengarang Melayu
(1) Za‘ba Pelopor Retorik Melayu
(2) Mengarang seperti Berjalan
(3) Rangka dan Karangan Contoh
(4) Jangan Hodohkan Karangan Bahasa Melayu

Dalam siri yang keempat kita sudah meninjau bab kelima dan keenam IMM. Dalam siri ini kita teliti pula bab ketujuh dan kelapan dalam Bahagian I, “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang”.

Bab ketujuh membicarakan latihan memindahkan bahasa, iaitu menulis karangan yang diberikan dengan menggunakan perkataan sendiri tanpa mengubah maksud karangan asal. Latihan itu bertujuan untuk menambah perbendaharaan kata dan memahami maksud sebenar karangan asal.

Za‘ba menyertakan 80 karangan sebagai bahan latihan untuk pelajar. Lebih 70 bahan latihan itu ialah karangan berangkap atau puisi. Antara puisi itu termasuklah “Seloka Pak Kaduk”, perbilangan “Adat Temenggung dengan Adat Perpatih”, pantun berkait “Bunga Dilingkar Ular”, syair “Kelebihan Ilmu” dan sajak “Pagi”. Bahan prosa pula ialah laras agama, hikayat dan teka-teki. Antara prosa itu termasuklah petikan karangan tentang “Lidah” daripada kitab Hidayat al-Salikin.

Latihan memindahkan bahasa adalah sebahagian daripada mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah pada tahun enam puluhan, tujuh puluhan dan lapan puluhan. Hal itu saya alami sendiri sama ada sebagai pelajar, guru atau pensyarah. Latihan memindahkan puisi menjadi bentuk prosa dinamakan memprosakan puisi dan latihan yang satu lagi ialah memindahkan laras bahasa lama kepada laras bahasa baharu. Jikalau latihan memindahkan bahasa ini masih terdapat dalam apa-apa rancangan bahasa dan kesusasteraan Melayu kini, sepuluh petua memindahkan bahasa yang dikemukakan oleh Za‘ba wajar menjadi rujukan pelajar dan pengajar.

Bab kelapan membicarakan penggunaan perkataan seerti atau perkataan setara dalam karangan. Za‘ba mengatakan bahawa penggunaan perkataan seerti “wajib bagi kefasihan bahasa Melayu, kerana dengan pertolongannya dapat mencakapkan sesuatu maksud dengan bermacam-macam jalan dan dengan halus perbezaannya”. Beliau meminta para pelajar agar berhati-hati apabila menggunakan perkataan seerti kerana kebanyakan perkataan itu “ada perbezaan yang halus”. Bagi membantu pelajar, mengenal pasti perbezaan itu, beliau mengemukakan lima kelompok perkataan seerti dalam ayat. Pendeta kita itu menyertakan juga sejumlah perkataan seerti yang disusun berdasarkan abjad.

Di akhir bab ini Za‘ba menitipkan lima peringatan untuk generasi selepasnya. Kelima lima peringatan itu berupa galakan dan panduan untuk penyusunan kamus perkataan seerti. Peringatan dan panduan itu mendapat sambutan para pengarang selepas beliau, khususnya setelah kemunculan kurikulum baharu sekolah rendah dan sekolah menengah pada tahun lapan puluhan. Sejak tahun lapan puluhan itu hingga kini banyak kamus perkataan seerti dikarang oleh cendekiawan kita untuk keperluan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Kini para pelajar mempunyai banyak pilihan kamus seerti di pasaran. Tidak syak lagi, perkembangan itu adalah sebahagian kecil pemanfaatan pemikiran Za‘ba dalam IMM.

Demikianlah perbincangan lapan bab dalam Bahagian I, “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang” buku IMM. Insya-Allah, saya akan membincangkan lapan bab dalam Bahagian II, “Cabang-cabang yang Tinggi” dalam beberapa siri apabila berkesempatan.

Bersambung.

Tiada ulasan: