04 Ogos 2012

Jangan Hodohkan Karangan Bahasa Melayu

(1) Za‘ba Pelopor Retorik Melayu
(2) Mengarang seperti Berjalan
(3) Rangka dan Karangan Contoh

Dalam siri yang ketiga kita meninjau bab pertama, kedua, ketiga dan keempat buku IMM. Dalam siri ini kita teliti pula bab kelima dan keenam dalam Bahagian I, “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang”.

Bab kelima membicarakan latihan meringkaskan karangan. Za‘ba mengemukakan empat jenis latihan. Jenis yang pertama ialah “meringkaskan pendek”, iaitu lebih kurang sepertiga daripada karangan asal. Latihan ini masih terdapat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah kita pada masa ini. Jenis yang kedua ialah “meringkaskan ambil pati”, iaitu menjadikan karangan asal itu sebagai rangka. Jumlah perkataan bagi rangka itu lebih kurang sepersepuluh daripada perkataan karangan asal.

Semasa bersekolah menengah pada tahun enam puluhan saya tidak mengalami latihan “meringkaskan ambil pati”. Seingat saya latihan ini juga tiada semasa saya menjadi guru sekolah menengah pada tahun tujuh puluhan dan kemudian sebagai pensyarah dari tahun 1980 hingga awal dekad pertama kurun ke-21 ini. Saya tidak pasti sama ada latihan ini ada atau tidak dalam mata pelajaran Bahasa Melayu selepas tahun 2008, iaitu tahun persaraan saya. Walau bagaimanapun, guru Bahasa Melayu yang bijaksana mungkin ada memberikan latihan “meringkaskan ambil pati” sebagai kegiatan bagi kemahiran tertentu seperti kemahiran mencatat nota. Sesungguhnya, pemikiran Za‘ba ini wajar diserapkan dalam kemahiran yang bersesuaian di sekolah rendah dan menengah. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka yang menguasai kemahiran ini pasti berasa mudah apabila mencatat isi kuliah, ceramah dan sebagainya.

Latihan jenis yang ketiga ialah “mengarang dengan bahasa ringkas”, iaitu mencipta ungkapan atau ayat. Ungkapan atau ayat itu mengandungi isi yang bernas dan berkemungkinan untuk dihuraikan. Antara contoh yang diberikan termasuklah “Lidah orang yang berakal itu di belakang hatinya, dan hati orang yang bebal itu di belakang lidahnya”. Latihan jenis yang keempat dinamakan “kepala karangan”, iaitu memberikan tajuk bagi karangan yang tidak bertajuk.

Selain menjelaskan jenis latihan meringkaskan karangan berserta contoh, dalam bab ini Za‘ba juga menjelaskan kegunaan latihan-latihan itu dan petua untuk menghasilkannya. Secara umum, latihan-latihan itu memang besar gunanya dalam kegiatan atau pekerjaan yang berhubung dengan bahasa dan karang-mengarang.

Bab keenam membicarakan gaya bahasa. Za‘ba mentakrifkan gaya bahasa sebagai “rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunan atau bentuk perbahasannya”. Terdapat dua jenis gaya bahasa, iaitu gaya cakap mulut dan gaya surat. Setiap jenis itu dapat dibahagikan kepada gaya Melayu betul dan gaya bukan Melayu. Ungkapan “terlalu sakit” dan “rumahnya” adalah antara contoh gaya Melayu betul. Ungkapan ini sebagai gaya bahasa bukan Melayu atau bahasa pasar disebut “banyak sakit” dan “dia punya rumah”. Za‘ba menegaskan, gaya cakap mulut itu termasuk loghat. Ciri gaya cakap mulut ialah penggunaan perkataan terpotong seperti tak, nak, ni, dan dek dan kok; dan sebutan basahan seperti “jugak” dan “pulak”. Gaya cakap mulut ini digunakan sebagai cakap ajuk dalam karangan berbentuk cerita.

Bagi gaya bahasa surat, Za‘ba mengatakan “susunannya lebih lanjut daripada bahasa cakap mulut, anggota-anggota ayatnya lebih lengkap, dan perbahasannya lebih tinggi atau halus, serta banyak memakai perkataan-perkataan dan rangkaian perkataan yang janggal bunyinya dalam percakapan mulut”. Antara perkataan atau ungkapan yang digunakan dalam gaya bahasa surat termasuklah bahawasanya, sesungguhnya dan oleh sebab itu. Bahasa cakap mulut yang berubah apabila dijadikan bahasa surat pula termasuklah kok (menjadi jikalau), tak ada (menjadi tiada) dan terlampau (menjadi terlalu).

Za‘ba menegaskan bahawa bahasa Melayu mempunyai bentuk, susuk dan gaya pembahasan yang tersendiri. Para pengarang mesti patuh kepada bentuk, susuk dan gaya bahasa Melayu. Beliau mengkritik mereka yang menggunakan gaya kacukan Arab, Inggeris, Hindustan dan lain-lain. Beliau menyatakan, karangan kacukan itu susah atau tiada boleh difaham langsung. Oleh itu karangan kacukan tidak berfaedah kepada orang Melayu. Beliau menambah, “Karangan-karangan Melayu gaya bahasa asing itu hanya mengacukkan bahasa Melayu, menghodohkan susuk tubuhnya, dan jika dikekalkan atau dibanyakkan lagi lama kelamaan akan merosakkan bahasa Melayu sama sekali.”

Za‘ba membolehkan pengarang menggunakan perkataan asing secara bersyarat. Syarat utama ialah perkataan yang berkenaan “telah biasa terpakai sendiri pada orang ramai dengan tidak dipaksakan. Selain itu, orang ramai sudah memahami maksud perkataan itu dan sebutannya pun mengikut telor Melayu. Penggunaan perkataan baharu pula hendaklah dilakukan secara berhati-hati. Beliau menasihati pengarang agar menggelakkan penggunaan perkataan baharu yang “berat-berat dan ganjil-ganjil”. Menurutnya, perlakuan itu akan mengusutkan bahasa Melayu dalam karangan yang berkenaan, bukannya meningkatkan kebolehfahaman. “Maka dengan begitu punahlah bahasa Melayu menjadi kacukan dan hilang kebersihannya yang asli.”

Sudah lima puluh lima tahun kita merdeka. Sepatutnya penggunaan gaya bahasa surat dan gaya bahasa Melayu betul semakin mantap. Sebaliknya penggunaan bahasa kacukan dengan kerencaman jenisnya mewabak. Penggunaan bahasa cakap mulut dalam penulisan pula menyerlah dalam media baharu dan dalam karangan murid. Oleh hal yang demikian, pandangan Za‘ba dalam buku ini mesti menjadi renungan dan panduan kita.

Bersambung.


Tiada ulasan: