04 Mac 2012

Antonius Mencari Kebenaran

Latar belakang pemuda itu bukanlah sesuatu yang terlalu penting. Kita hanya mengenalinya sebagai Antonius, seorang siswazah universiti. Menurut Ustaz Bahaudin Mudhary, Antonius datang menemuinya pada malam Selasa, 9 Mac 1970, di sebuah pondok pengajian Islam.

“Tujuan kedatangan beliau adalah untuk memenuhi keinginannya yang sudah lama terpendam untuk mengetahui Islam, terutama soal ketuhanan,” kata Ustaz.  Bahaudin Mudhary.

Pertemuan itu berlangsung sembilan malam. Pada malam pertama, persetujuan untuk berdiskusi dicapai.

Antonius: Saya ingin memeluk satu agama atas dasar penelitian dari segi rasional dan ilmiah sehingga menimbulkan keyakinan yang kukuh dalam jiwa -- tidak mahu menjadi ikut-ikutan atau pak turut.

Ustaz: Memang seharusnya begitu. Saya hargai pendirian saudara. Baiklah, malam besok saudara datang lagi untuk memulakan diskusi.

Pada malam kedua dan ketiga, isu "Ketuhanan Jesus" dan "Ketuhanan Jesus dalam Bible" dibicarakan. Pada malam-malam berikutnya sehingga malam kelapan, dibicarakan isu “Isa Penebus Dosa”, “Dosa Warisan”, “Kitab Al-Qur’an dan Kitab Bible”, “Mengakui Nabi Muhammad” dan “Percanggahan Ayat-Ayat dalam Bible”.

“Dengan daya upaya yang ada, saya mempertahankan keyakinan saya selaku pemeluk agama Kristian Roman Katolik; namun benteng pertahanan saya runtuh sedikit demi sedikit di tangan Ustaz Bahaudin Mudhary. Dia hanya menggunakan Kitab Bible untuk menghadapi sanggahan-sanggahan saya,” kata Antonius.

Pada malam kesembilan Antonius mengucapkan kalimah syahadah yang maksudnya: Saya menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan saya mengakui Nabi Muhammad pesuruh Allah.

Kisah Antonius termuat dalam buku Dialog Masalah Ketuhanan Jesus susunan K.D. Bahaudin Mudhary. Kisah itu dipadankan oleh Rossem menjadi sebuah buku komik yang diberi tajuk Mencari Kebenaran: Suatu Dialog Islam Kristian. Buku komik berwarna-warni setebal 122 muka surat itu, diterbitkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan ditaja oleh Inovasi Ukir Sdn. Bhd. Cetakan pertama buku itu ialah pada tahun 1998. Harga senaskhah komik itu cuma RM3.00.

Buku ini sesuai menjadi bacaan sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan agama.

Nota
Tulisan ini pernah di siarkan di laman Gerak Usrah pada tahun 1998.

Tiada ulasan: