05 Mac 2012

Kata Bilangan + Penjodoh Bilangan


Soalan

1. Kedua anaknya telah melanjutkan pelajaran.
2. Kedua orang anaknya telah melanjutkan pelajaran.
3. Kedua-dua orang anaknya telah melanjutkan pelajaran.

Ayat manakah yang betul?

Jawapan


Kita rujuki buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Perhatikan ayat contoh yang terdapat di halaman 288.

393. Ketiga-tiga orang pesalah itu akan dipenjarakan.

Dalam ayat contoh ini perkataan “ketiga-tiga” ialah kata bilangan yang bermaksud himpunan. Perkataan “ketiga-tiga” juga ialah kata ganda. Perkataan “orang” pula ialah penjodoh bilangan. Dengan perkataan lain, kata bilangan dalam golongan kata ganda boleh diikuti oleh penjodoh bilangan. Dengan berdasarkan ayat contoh dan penjelasan ini, ayat “Kedua-dua orang anaknya telah melanjutkan pelajaran” gramatis.

Elok juga dinyatakan bahawa perkataan “kedua” bermaksud nombor atau peringkat yang nombor dua seperti dalam ayat “Dia mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu”. Perkataan “kedua-dua” pula bermaksud himpunan dua unsur. Jadi, penggunaan perkataan dalam ayat 1 dan 2 tidak tepat dari segi makna.

Lampiran I
Kedua dan Kedua-dua

Antara kedua dengan kedua-dua terdapat perbezaan dari segi bentuk kata dan makna. Dari segi bentuk kata, kedua ialah kata terbitan yang terdiri daripada kata dasar dua dengan awalan ke-. Kedua-dua pula berasal daripada kedua yang telah mengalami proses penggandaan, iaitu penggandaan separa pada bahagian belakang. Penggandaan jenis ini melibatkan kata dasar sahaja dan tidak imbuhannya sekali. Kata dasar dua dalam kedua telah diulang atau diganda, menjadi kedua-dua.

Makna perkataan kedua ialah nombor atau peringkat yang nombor dua. Contoh dalam ayat adalah seperti yang berikut:

5. Hadiah kedua dalam peraduan itu dimenangi oleh Salim.

Makna perkataan kedua-dua pula ialah kelompok yang terdiri daripada dua. Misalnya, kedua-dua orang pelajar itu dan kedua-dua buah rumah itu. Contoh dalam ayat adalah seperti yang berikut:

6. Kedua-dua buah rumah itu bercat putih.

Jelaslah bahawa makna kedua-dua perkataan ini tidak sama dan oleh itu tidak dapat bertukar ganti. Salah misalnya, jika ditulis ayat seperti yang berikut:

7. *Kedua buah buku itu menghuraikan peristiwa tersebut dengan teliti.

Tetapi inilah kesalahan yang kerap dilakukan. Hal ini mungkin kerana pengguna bahasa tidak begitu sedar tentang hakikat ini, iaitu wujudnya perbezaan antara kedua dengan kedua-dua. Sekiranya kita berfikir sejenak, sudah semestinya wujud perbezaan makna antara kedua-dua perkataan ini kerana bentuknya berbeza. Oleh itu, berhati-hatilah sewaktu membuat ayat dengan kedua-dua perkataan ini. Jangan meneruskan kesalahan yang dibuat oleh kebanyakan orang.

Nik Safiah Karim, Bimbingan Pelajar, Bahasa Kita Jilid 2, Shah Alam: K Publishing, 2003, halaman 68 – 69.

Tiada ulasan: