04 Januari 2009

Konsep Tulisan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

.
Dari segi bahasa, perkataan tulis ialah perkataan asli bahasa Melayu. Tulis bermakna mewarnai, mencoret, atau melukis dengan cat pewarna atau dakwat. Tulisan ialah hasil perlakuan menulis dengan menggunakan tulisan. Perlakuan menulis itu pula boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang pertama ialah menulis dengan erti kata menyalin semula tanpa menggunakan fikiran atau sedikit sahaja menggunakan fikiran, dan yang kedua ialah menulis dengan erti kata mengarang.

Contoh menyalin: Atiqah menyalin seni kata lagu yang dibacakan oleh juruhebah radio; Saufi pula menulis semula sebuah sajak Iqbal dengan tulisan tangan yang cantik untuk ditampal di dinding biliknya. Seni kata lagu dan sajak itulah tulisan, iaitu hasil perlakuan menulis (menyalin) Atiqah dan Saufi.

Contoh mengarang: Atiqah menulis sepucuk surat kepada abangnya. Saufi pula menulis sebuah sajak untuk majalah institutnya. Surat Atiqah dan sajak Saufi ialah hasil perlakuan menulis dengan menggunakan tulisan juga. Oleh sebab surat dan sajak itu berupa penglahiran fikiran, perasaan dan sebagainya, maka tulisan mereka dinamakan karangan.

Dari segi istilah, tulisan dapat ditakrifkan sebagai gambaran grafik sesuatu bahasa. Gambaran grafik itu terdiri daripada satu sistem yang menunjukkan unit-unit sesuatu bahasa yang boleh difahami oleh pembaca. Oleh sebab hakikat bahasa itu ialah oral (pertuturan), maka boleh juga dikatakan tulisan ialah sistem kod sebutan sesuatu bahasa.

Dalam bahasa Melayu unit terkecil gambaran grafik atau sistem kod sebutan itu dinamakan huruf. Huruf-huruf itu disusun berdasarkan sistemnya yang tersendiri, yang dapat membentuk unit-unit lain iaitu suku kata, perkataan, frasa dan ayat. Perlakuan kita membentuk dan menyusun huruf-huruf itulah menulis. Oleh itu menulis tidak lain daripada menggunakan gambaran grafik atau sistem kod sebutan itu ketika berkomunikasi dalam bahasa itu.

Tiada ulasan: