16 Januari 2009

Menulis Karangan Secara Proses

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Mengarang merupakan satu proses penglahiran idea dan pengasahan daya berfikir. Apabila seseorang menulis karangan, dia melakukan aktiviti memilih, menggabung, menyusun dan memperkembang maklumat dan idea.

Menulis karangan secara proses atau pendekatan proses ialah melaksanakan penulisan secara berturutan. Penulis melakukan aktiviti sebelum mengarang, menulis draf, menyemak tulisan itu dan menulisnya semula. Kemudian penulis menyunting tulisan itu dan akhirnya tulisan itu diserahkan kepada sesiapa yang berkenaan seperti guru, pensyarah, penyelia dan majikan. Tulisan itu juga mungkin diterbitkan dalam akbar, majalah, laman web, blog, dan sebagainya.

Di sekolah dan di institusi pengajian tinggi keutamaan proses itu tercatat dalam skema penilaian. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu ada kerja kursus secara proses (KKSP) di institut pendidikan guru (IPG). Sesuai dengan namanya, lebih separuh markah KKSP disediakan untuk proses penghasilannya. Kini kerja kursus di IPG dikenali dengan nama kerja kursus berasaskan ilmu (KKBI). Walaupun namanya bertukar, proses penghasilannya tetap diberi perhatian.

Pelajar sekolah juga perlu menghasilkan penulisan yang mementingkan proses. Oleh itu, mereka perlu melalui beberapa peringkat, terutamanya untuk mendapatkan maklumat. Jika guru arif dengan pendekatan proses, mereka dapat membimbing pelajar dengan lebih berkesan. Jikalau pendekatan ini diikuti sepenuhnya, penulisan pelajar akan lebih bermutu. Tulisan yang bermutu dapat diketengahkan. Contohnya tulisan itu dapat dipamerkan atau diterbitkan di laman web atau blog sekolah.

Guru, khususnya guru Bahasa Melayu, dapat membimbing pelajar dengan menggunakan pendekatan proses dalam pengajaran karangan. Pensyarah IPG pula dapat membimbing guru pelatih menghasilkan kerja kursus yang bermutu dengan menggunakan pendekatan ini. Malah, pendekatan ini sesuai juga dimanfaatkan oleh para penulis, termasuk penulis blog.

Ringkasan pendekatan ini adalah seperti yang berikut:

Proses pertama penulisan berlaku sebelum mengarang. Pada tahap ini penulis menentukan tajuk dan mengumpul bahan. Penulis dapat mengumpul bahan di pusat sumber, berbincang dengan rakan dan menemu bual pihak tertentu. Dalam bilik darjah pula guru dapat mengadakan sesi sumbang saran atau aktiviti lain yang sesuai. Penulis dapat pula memanfaatkan Internet untuk mencari maklumat.

Proses seterusnya ialah menulis draf karangan. Penulisan draf bermula dengan menyediakan rangka karangan. Kemudian draf karangan ditulis dengan berpandukan peraturan mengarang. Draf itu diberi kepada rakan atau guru untuk mendapatkan maklumat balik. Respons rakan, guru, pensyarah dan sebagainya memudahkan penulis melakukan penambahbaikan terhadap draf itu.

Proses yang berikutnya ialah menyunting karangan itu. Penulis mengkaji karangan itu dan merancang penambahbaikan. Penambahbaikan itu mengambil kira respons rakan, guru dan sesiapa yang membaca draf. Penambahbaikan termasuk juga membuang unsur yang tidak perlu dan menambah unsur baharu yang lebih sesuai. Kemudian penulis menulis karangan itu semula.

Apabila karangan itu siap ditulis, proses seterusnya ialah menyunting karangan itu. Penyuntingan oleh pelajar lazimnya berkaitan dengan pembaikan aspek bahasa seperti ejaan, tanda baca (termasuk penggunaan huruf besar dan huruf kecil), frasa dan ayat. Semasa melakukan penyuntingan mereka mungkin melakukan beberapa perkara lain mengubah suai perenggan dan menambah atau mengurangkan jumlah perkataan.

Guru juga perlu menggalakkan pelajar menggunakan alat penyuntingan yang terdapat dalam perisian komputer. Misalnya, guru menggalakkan pelajar menggunakan penyemak ejaan. Selain itu guru juga perlu menggalakkan pelajar menggunakan pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang lain sepeti merujuki kamus digital dan kamus dalam talian.

Proses terakhir ialah menilai karangan. Proses ini dilakukan oleh guru atau pensyarah. Mereka membaca karangan itu, memberi gred atau markah. Mereka juga perlu mencatat komen agar penulis/pelajar mendapat maklum balas bertulis selain markah atau gred. Karangan yang bermutu dapat dibacakan dalam kelas dan dipamerkan. Karangan yang bermutu itu dapat diubah suai untuk dibacakan dalam perhimpunan atau diterbitkan.

Rumusannya penulisan karangan secara proses memungkinkan karangan yang dihasilkan lebih bermutu. Oleh hal yang demikian, ikutilah proses yang dinyatakan tadi. Insya-Allah, pelajar yang dibiasakan dengan proses ini akan menjadi penulis kertas kerja, teks ucapan, laporan dan sebagainya mengikut proses ini atau proses yang sudah diubah suai. Apabila mereka menjadi penulis e-grup atau blog, ada harapan mereka mengikut proses yang sama.

1 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

“Penerapan pendekatan ini adalah sesuai kerana pendekatan ini menggabungkan pendekatan komunikatif dan pendekatan proses. Hal ini sejajar dengan hakikat bahawa mengarang bukanlah mudah; mengarang mempunyai tujuan komunikasi, dan mengarang mempunyai tujuan yang tertentu. Oleh itu, pendekatan ini wajar dilaksanakan sejajar dengan kurikulum Bahasa Melayu dalam kerangka pengajaran kemahiran bahasa dan kemahiran-kemahiran belajar yang lain.” Roselan Baki, “Mengajar Mengarang Secara Proses”, Pelita Bahasa, Februari 1994.