05 Oktober 2009

*Sayugia Ialah Variasi Bentuk Seyogia

Sari rencana “Seyogia dan Celopar” mendapat sambutan seorang rakan. Menurutnya, ejaan *“sayugia” juga boleh digunakan. Beliau mengemukakan masukan Kamus Dewan Edisi Ketiga di Karyanet sebagai bukti.

Bentuk *“sayugia” memang wujud. Kekerapan penggunaannya pula tinggi. Carian dengan Google hari ini menunjukkan 9,910 frasa *“sayugia diingatkan” tersebar di Internet. Sebaran frasa “seyogia diingatkan” pula cuma 111. Satu lagi frasa ialah *“sayogia diingatkan” dan sebarannya cuma 42.

Ada sedikit masalah teknikal dalam paparan Karyanet. Dalam pautan itu, tanda yang kelihatan seperti segi empat kecil sebenarnya ialah anak panah. Paparan itu sepatutnya kelihatan seperti ini: sayugia → yogia. Gambar di atas membandingkan perbezaan paparan Karyanet dengan paparan kamus edisi cetak.

Oleh hal yang demikian, kita wajar merujuki kamus edisi cetak. Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, masukan sayugia terdapat pada halaman 1200. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), masukan ini terdapat pada halaman 1402.

Perkataan “sayugia” ialah variasi bagi bentuk “seyogia”. KDEK menyatakan, masukan variasi bentuk (ejaan) seperti ini dirujukkan kepada bentuk ejaan standard, dengan tanda anak panah. Jadi, untuk mengetahui bentuk standard bagi “sayugia”, pengguna kamus perlu merujuki masukan yogia. Di bawah kata dasar yogia pada halaman 1812, terdapat kata terbitan seyogia. Tegasnya, seyogia ialah bentuk (ejaan) yang baku.

Lampiran
Petikan daripada Panduan Penggunaan Kamus Dewan Edisi Keempat

2. Ejaan – kata standard dan variasi
2.1 Ejaan yang digunakan dalam kamus ini ialah ejaan Rumi yang berdasarkan Daftar Kata Bahasa Melayu (DBP, 2001). Atas beberapa pertimbangan, sebilangan besar perkataan yang berbeza daripada bentuk standard masing-masing, iaitu yang merupakan variasi kata, serta bentuk tertentu variasi ejaan, masih dimuatkan dalam kamus ini sebagai kata masukan yang dirujukkan kepada bentuk ejaan standard, dengan tanda anak panah.

2.2 Bentuk standard dan ejaan rasmi
Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi adalah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan (sering kali dengan maklumat-maklumat selanjutnya). Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada standard dan terdiri daripada variasi kata, dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan.

2.3 Variasi kata
(i) Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemui sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini.

(ii) Variasi kata yang ketara terhasil daripada pelat atau kegagalan menyebut perataan dengan betul dan tepat, atau variasi yang difikirkan selama ini amat jarang ditemui, tidak lagi dimuatkan dalam cetakan baru ini – misalnya, khanduri (bentuk standardnya, kenduri); lafal (lafaz), petenah (fitnah) dan lain-lain.

2.4 Variasi ejaan
(i) Variasi ejaan bagi perkataan-perkataan tertentu diperturunkan sebagai rujuk silang dengan tanda anak panah yang merujuk kepada bentuk dan ejaan yang standard semata-mata untuk kemudahan pengguna yang mungkin masih keraguan tentang bentuk atau ejaan yang standard. Kemasukan variasi demikian dibataskan pada bentuk kata yang tertentu sahaja.

Tiada ulasan: