26 Januari 2009

SPK Lakarkan Saya (1)

Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Pelaksanaan SPK Lakarkan Saya
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Aktiviti ini ialah sambungan aktiviti pertama. Saya memberitahu pelajar bahawa aktiviti seterusnya ialah aktiviti dalam kelompok dan kelompok baharu dibina. Aktiviti pembinaan kelompok inilah sebagai langkah pertama dan menggunakan masa lima minit.

Seorang pelajar mengedarkan senarai kelompok kepada setiap individu. Terdapat lima kelompok. Empat kelompok mempunyai anggota empat orang sekelompok dan satu kelompok anggotanya tiga orang.

Kelompok-kelompok itu saya bentuk berdasarkan empat kriteria. Kriteria pertama ialah prestasi mereka dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Petunjuk prestasi dikira berdasarkan jumlah gred A1 dan A2. Setiap kelompok mempunyai anggota yang mendapat lima hingga tujuh A1 dan A2 dalam SPM.

Kriteria kedua ialah kemahiran dalam tulisan Jawi berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan pada masa interaksi pertama. Setiap kelompok mempunyai sekurang-kurangnya seorang yang sangat mahir dalam tulisan Jawi dan seorang yang buta Jawi. Kriteria kedua ini penting kerana kelompok ini akan terus wujud pada semester hadapan, sekurang-kuangnya semasa pembelajaran tulisan Jawi.

Kriteria ketiga ialah tempat asal (wilayah, negeri, daerah) dan kriteria keempat ialah perbezaan jantina.

Saya memberitahu pelajar bahawa kelompok yang dibina merupakan kelompok tetap berdasarkan kriteria tertentu. Saya juga memberitahu mereka bahawa kelompok ad hoc dalam tiga interaksi terdahulu diteruskan untuk tujuan menyelesaikan tugasan lembar bahasa.

Seterusnya, mereka memilih ketua kelompok masing-masing. Sesi suai kenal yang asas tidak diperlukan lagi kerana mereka sedia kenal-mengenali dalam tempoh hampir dua bulan, termasuk mengalami sesi khas semasa Minggu Pengurusan Pelajar Baharu.

Walau bagaimanapun, saya ada memikirkan bahawa sesi berkenalan secara lebih lanjut perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Antara aktiviti yang dapat mencapai tujuan itu ialah selingan (yang dapat menyerlahkan peribadi), brain breaks dan muat naik fail profil ke laman e-grup Grup_PM.

Seterusnya, pelajar memilih ketua kelompok masing-masing. Kemudian mereka berpasangan dalam kelompok sendiri. Seorang pelajar wanita yang tidak mempunyai pasangan, menjadi pembantu fasilitator.

Langkah kedua ialah pelaksanaan SPK lakarkan saya yang dirancang dapat disempurnakan dalam tempoh 10 minit. Seorang anggota (dinamakan pelajar 1) dalam setiap pasangan datang ke hadapan untuk mengambil kad grafik 1 (Rajah 2) dan kertas A4.

Fasilitator memberi arahan kepada pelajar 1 berpandukan kad grafik (Rajah 3). Pelajar 1 dibenarkan membawa rakannya ke satu tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti tetapi semua pasangan tetap berada di meja kelompok masing-masing. Fasilitator menghargai pilihan mereka.

Seterusnya fasilitator menjelaskan prosedur pelaksanaan aktiviti. Ringkasnya, pelajar 1 memberikan gambaran, pelajar 2 melukis gambaran itu. Kemudian, pelajar 1 melihat gambaran yang telah dilukis oleh pelajar 2. Mereka kukuh-mengukuh.

Mereka terus memulakan aktiviti sebaik-baik fasilitator selesai memberikan penjelasan.

Terdapat sembilan pasangan. Ada tiga pasangan keliru dengan arahan. Fasilitator mengulangi arahan itu kepada pasangan yang berkenaan. Satu pasangan menghadapi kesukaran yang berterusan. Fasilitator mengulangi arahan yang sama dengan susunan kata-kata yang berlainan.

Akhirnya pusingan pertama selesai. Kad grafik 1 dikutip oleh pembantu fasilitator. Semua pelajar 2 menyerahkan lakaran kepada fasilitator. Hasil kerja mereka menunjukkan objektif subsesi ini tercapai.

Prosedur pusingan kedua sama dengan prosedur pusingan pertama. Yang berbeza ialah kad grafiknya.

Dalam pusingan kedua, pembantu fasilitator bertindak aktif. Dia membacakan arahan yang terdapat dalam kertas persediaan mengajar. Dia juga memberikan kad grafik 2 dan menyerahkan kertas kosong A4 kepada pelajar 2 yang kini berperanan sebagai pemberi arahan kepada pasangannya pula. Arahan untuk mereka bertukar peranan itu juga diberikan oleh pembantu fasilitator. Kemudian mereka melakukan prosedur seperti pusingan pertama.

Selepas lebih kurang lapan minit, semua pasangan berjaya menyempurnakan aktiviti itu. Pembantu fasilitator mengutip kad grafik 2. Semua pelajar 1 menyerahkan lakaran mereka kepada fasilitator. Hasil kerja mereka menunjukkan objektif subsesi ini tercapai sepenuhnya. Fasilitator memberikan peneguhan kepada semua pelajar.

Langkah ketiga saya anggap sebagai aktiviti lanjutan dan dirancang menggunakan masa lima minit. Nota “Medan Makna” diedarkan kepada semua pelajar. Dalam kelompok masing-masing, pelajar membaca nota secara bersendirian. Kemudian mereka berbincang sesama sendiri tentang kaitan kandungan nota dengan aktiviti yang telah dialami. Mereka dikehendaki mencatat butiran perbincangan. Catatan itu perlu dihantar kepada e-grup Grup_PM.

Sebagai penutup ringkas sesi ini, dua orang pelajar melaporkan hasil perbincangan kelompok masing-masing.

Tiada ulasan: