28 Februari 2009

Daun Kering Berguguran - Tatabahasa Dewan Sudah Membetulkan Kesilapan

Jikalau kita “menggoogle” frasa “daun-daun berguguran”, Google akan menyatakan terdapat hampir 7,000 penggunaan frasa itu di Internet. Antara pengguna frasa itu ialah penyajak.

Frasa ini juga menjadi tajuk sebuah antologi cerpen dan sajak terbitan Federal Publication pada tahun 1979. Dalam antologi itu terhimpun cerpen dan sajak karangan Sasterawan Negara A. Samad Said dan isterinya, Salmi Manja. Cerpen dan sajak mereka itu tersiar dalam surat khabar dan majalah sekitar tahun 1956 -1961.

Penjelasan ini menunjukkan bahawa frasa “daun-daun berguguran" sudah lama wujud dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Kumpulan yang kerap menggunakan frasa ini ialah penulis kreatif, terutamanya penyajak.

Empat frasa yang sama strukturnya dengan “daun-daun berguguran” adalah seperti dalam ayat yang di bawah:

Bintang-bintang *bertaburan di langit.
Pagi ini burung-burung *berkicauan seperti biasa.
Daun-daun kering *berguguran di halaman rumah kami.
Rosnah terpegun melihat ikan-ikan *berlompatan di dalam kolam itu.

Kesemua frasa ini mengandungi apitan “ber- … - an”. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) apitan “ber- … - an” membawa maksud yang menunjukkan jumlah subjek yang banyak. Dengan perkataan lain, apitan “ber- … -an” berfungsi sebagai penanda jamak.

Oleh sebab perkataan “bertaburan”, “berkicauan”, “berguguran” dan “berlompatan” dalam ayat di atas sudah menunjukkan subjek (pelaku) ialah jamak, maka frasa yang betul adalah seperti yang di bawah:

ikan berlompatan
bintang bertaburan
burung berkicauan
daun kering berguguran

Lojiknya, apa-apa yang berlompatan lebih daripada satu. Begitulah seterusnya: apa-apa yang bertaburan, berkicauan dan berguguran lebih daripada satu.

Sesuatu frasa yang sudah lama dan kerap digunakan belum tentu mematuhi tatabahasa. Apalagi jikalau tatabahasa itu sendiri muncul terkemudian daripada kewujudan frasa itu. Pendeknya, frasa seperti “daun-daun kering berguguran” memang biasa sangat kita dengar dan kita ucapkan.

Mungkin kerana kebiasaan itu, panel penulis Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993, 2003) melakukan kesilapan. Maka terdapatlah contoh ayat “Daun-daun kering berguguran" pada halaman 191.

Panel penulis Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) sudah membetulkan kesilapan ini. Pada halaman 201, terdapat ayat “Daun kering berguguran di halaman rumah” sebagai menggantikan ayat pada halaman 191 dalam edisi baharu.

Rumusannya sesuatu yang biasa belum tentu betul. Apabila kita membetulkan kesilapan orang, belum tentu kita sendiri betul. Kita manusia. Manusia itu lemah dan sukar mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan. Jadi, tanpa menunggu kita betul 100%, kita perlu ingat-mengingati agar kesilapan dapat dihindari, atau setidak-tidaknya kesilapan dapat dikurangkan.

1 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Daun-daun kering berguguran.
Bintang-bintang bertaburan di angkasa.

“… dalam ayat-ayat contoh yang diberi, ‘berguguran’ dan ‘bertaburan di angkasa’ terkandung di dalamnya maksud jamak. Walau bagaimanapun, dalam hal ini ‘daun’ dan ‘bintang’, boleh dijamakkan untuk maksud penegasan.” Pelita Bahasa, Mac 1994.