10 Jun 2009

Keindahan Senja

Gambar pemandangan senja di Kampung Masjid, Keningau.
Dia dibesarkan di sebuah kampung yang dikelilingi oleh hutan rimba. Alam kampungnya ialah harimau, ular, tebuan dan pelbagai binatang lain. Apabila hari senja, ibunya memastikan dia dan adik-beradiknya berada di dalam rumah. Dia menjadi perhatian kerana dia satu-satunya anak lelaki.

Terlalu kerap ibu melaung namanya agar dia segera pulang apabila hari mulai senja. Ibu pernah bergerak dari satu tempat ke satu tempat di kawasan kebun sambil memanggil-manggil namanya. "Sudah senja ini. Balik cepat. Senja-senja begini hantu dan syaitan berkeliaran!" laung ibu.

Adakalanya dia berasa takut juga. Ketakutan itu menjelma akibat cerita hantu kopek, langsuir, toyol dan sebagainya yang dihidangkan oleh nenek. Kerapnya dia buat tidak tahu. Dia belum pernah bertemu dengan hantu atau syaitan. Sebaliknya, ibu, kakak dan adik-adiknya kerap terjerit apabila terserempak dengan ular. Namanyalah yang mereka laungkan. Apabila mendengar laungan itu, dia bergegas ke tempat mereka. Dia segera menyelesaikan tugas yang memang sudah dimakluminya. Jadi, amatlah sukar dia ditakutkan dengan makhluk yang tidak kelihatan sedangkan binatang berbisa yang nyata berbahaya dapat ditanganinya.

Namun demikian, didikan tradisional yang dialaminya itu digunakan juga apabila dia mempunyai anak. Dia memastikan anak-anaknya berada di dalam rumah sebelum waktu Maghrib. Ada masanya dia bertindak tegas dengan menarik tangan anak lelakinya keluar daripada kumpulan rakan sebaya yang masih berkeriau dengan sebiji bola sedangkan sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang.

Sesungguhnya, dia sudah menyaksikan pada zaman dahulu, menjelang senja burung pulang ke sarang, ayam dan itik masuk ke reban, kambing dan lembu balik ke kandang dan para petani beransur ke surau. Sesungguhnya, dia mengalami atau menyaksikan pada zaman dahulu, menjelang senja kanak-kanak mesti pulang ke rumah. Ibu atau kakak mengunci pintu. Nenek menutup tempayan. Dia mesti berada di dalam rumah dan mesti diam.

Pada zamannya kini, menjelang senja, kanak-kanak riuh-rendah di padang. Pemain badminton menuju ke dewan. Peminat bola berpusu-pusu ke stadium. Pada zamannya kini, menjelang senja, manusia berduyun-duyun ke pasar malam. Manusia berkeliaran di pasar raya. Kereta berderetan di jalan raya. Hanya beberapa orang anak muda dan orang tua pencen menuju ke masjid.

Dia mencatat hal ini kerana sebentar tadi dia terbaca dua buah hadis yang mengesahkan ajaran tradisi ibunya.

Hadis pertama bermaksud:

“Apabila hari senja, laranglah anak-anak keluar rumah kerana ketika itu syaitan berkeliaran. Sejam selepas itu, apabila malam, biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebut nama Allah kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang terkunci (dengan menyebut nama Allah). Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah. Tutup semua bejanamu, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya, dengan menyebut nama Allah; dan padamkan lampu ketika hendak tidur.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah (radiallahuanhu) ini terdapat dalam buku Terjemah Hadis Sahih Muslim terbitan Klang Book Centre pada tahun 1989. Nombor hadis ialah 1936.

Hadis yang kedua diriwayatkan oleh Jabir juga. Katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Jangan biarkan ternak dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sehingga hilang cahaya senja.”

Hadis ini terdapat dalam buku yang sama, iaitu hadis 1989.

Jadi syaitan berkeliaran pada waktu senja bukan dongeng, bukan khayalan. Syaitan berkeliaran pada waktu senja ialah kenyataan. Memang, pemandangan alam senja sungguh indah dan mengasyikkan. Dalam keindahannya yang sebentar itu ada perangkap yang tidak kelihatan.

TAMAT

Kisah ini ialah edisi 2009. Edisi lama bertajuk “Menjelang Senja”, ditulis pada 13 Mac 1999 dan disiarkan di e-grup Gerak Usrah pada hari yang sama. Penyiarannya pada masa itu menggunakan nama pena Cikgu Isa.

Tiada ulasan: