28 Februari 2009

Pelestarian Bahasa Sukuan Wajar Mendapat Perhatian

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Tarikh 21 Februari ialah Hari Bahasa Ibunda Sedunia. Hari Bahasa Ibunda Sedunia diisytiharkan oleh Persidangan Umum Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 17 November 1999. Sambutannya bermula pada tahun 2000 dan tahun ini ialah sambutan yang kesepuluh.

Organisasi bahasa dan budaya di pelbagai negara menyambut hari ini secara sederhana. Berdasarkan maklumat dalam Portal UNESCO, aktiviti utama sambutan tahun ini ialah acara khas di Paris pada 20 Februari dan seminar antarabangsa di Salzburg, Austria pada 21 Februari.

UNESCO mengadakan sambutan ini sebagai mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan budaya dalam kalangan penduduk dunia. Selain itu, sambutan ini juga menjadi bukti bahawa UNESCO mengakui pelestarian bahasa ibunda di samping menggalakkan penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam sesebuah negara.

Sebenarnya, sambutan Hari Bahasa Ibunda berpunca daripada satu peristiwa di Bangladesh. Pada 21 Februari 1952, empat orang pelajar universiti negara itu terbunuh semasa mereka berkempen untuk menjadikan bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Benggali, sebagai bahasa rasmi. Jadi tarikh itu diperingati sebagai Hari Pergerakan Bahasa dan menjadi hari cuti umum.

Malaysia adalah antara negara di dunia ini yang mempunyai banyak bahasa ibunda. Jadi, Malaysia merupakan satu daripada 28 buah negara yang menyokong cadangan pengisytiharan 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda oleh UNESCO.

Dari segi pelestarian bahasa ibunda, negara kita terkehadapan. Sebelum wujudnya Hari Bahasa Ibunda Sedunia lagi negara sudah melestarikan bahasa ibunda. Yang paling ketara ialah penjagaan bersistem dan rapi bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa komunikasi.

Selain itu, negara kita menjaga bahasa ibunda suku kaum. Tiga bahasa yang mendapat perhatian istimewa dan diajarkan di sekolah ialah bahasa Semai, Iban dan Kadazandusun. Di sekolah rendah, pengajaran ketiga-tiga bahasa ini diperuntukkan 120 minit seminggu dan diajarkan di luar jadual waktu rasmi.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan melestarikan pelestarian bahasa suku kaum. Selain menerbitkan buku teks bahasa suku kaum, DBP mempunyai Projek Kajian Kosa Kata Bahasa Sukuan sejak tahun 1985. Antara buku yang sudah diterbitkan termasuklah Daftar Kata Bahasa Sukuan Sabah, Bahasa Melayu-Bahasa Murut Tahol.

Sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia di Malaysia pada tahun lalu tidak ketara. Berdasarkan carian di Internet, hanya ada beberapa pertubuhan yang merayakan hari itu, termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bahasa kebangsaan kita dapat dianggap sebagai sungai besar. Puncanya ialah sungai kecil. Bahasa ibunda, khususnya bahasa suku kaum, ialah sungai kecil. Jikalau banyak dan jernih air yang mengalir daripada sungai kecil itu, maka akan banyak dan jernihlah bahasa kebangsaan kita. Oleh sebab itu, pelestarian bahasa suku kaum wajar mendapat perhatian kita semua.

Tiada ulasan: