21 Mac 2009

Ejaan Jawi untuk Pandai Ialah Pa-Nun-Dal-Alif-Ya

Dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi (DKBM), edisi kedua, pandai dieja pa-nun-dal-alif-ya. Ejaan ini menepati cara mengeja kata dasar dua suku kata KVK + KV.

Peraturan 8.6 (i) Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu menyatakan, huruf alif digunakan sebagai lambang bagi bunyi vokal [a] pada suku kata akhir sahaja apabila suku kata akhir itu tidak mengandungi huruf kaf atau ga. Dengan perkataan lain, huruf alif dalam suku kata praakhir digugurkan. Tegasnya, pa-alif-nun menjadi pa-nun sahaja apabila huruf alif digugurkan. Jadi, ejaan pa-nun-dal-alif-ya dalam DKBM tepat.

Perlu diberikan perhatian bahawa suku kata akhir dai berpola KV. Sebabnya, asal diftong ai ialah satu bunyi (fon) vokal. Sementelahan, tidak mungkin satu suku kata bahasa Melayu berpola KVV kerana setiap suku kata dalam bahasa Melayu ditandai oleh satu vokal sahaja. Jadi, perkataan pandai menepati pola KVK + KV yang pasangan vokalnya ialah [a] – [a] seperti yang dijelaskan dalam pedoman itu. Contoh perkataan lain yang sama polanya dengan perkataan ini ialah bangkai, bangsai, bantai, capcai, hampai, handai, lambai, landai, lampai, lanjai, lantai, pangkai, pantai, rambai, rantai, sampai, santai dan tandai.

Dalam senarai perkataan di atas, hanya perkataan lampai yang ejaan Jawinya mempunyai huruf alif dalam suku kata praakhir, iaitu lam. Tegasnya, kita memang boleh mengekalkan huruf alif dalam suku kata praakhir KVK. Syaratnya, ada perkataan lain berpola sama tetapi mempunyai pasangan vokal [e] – [a]. Jadi, apabila ada perkataan lempai yang sudah dieja lam-mim-pa-alif-ya, maka huruf alif dalam suku kata praakhir lam tidak digugurkan. Jadi, ejaan lampai ialah lam-alif-mim-pa-alif-ya.

Perkataan pandai dapat dieja pa-alif-nun-dal-alif-ya sekiranya ada perkataan pendai*. Namun, perkataan pendai* tidak wujud. Perkataan ini tidak terdapat dalam DKBM dan Kamus Dewan edisi keempat. Rumusannya, ejaan pa-alif-nun-dal-alif-ya silap. Ejaan yang betul ialah pa-nun-dal-alif-ya.

2 ulasan:

ummu berkata...

assalamualaikum tuan
terim aksih atas usaha Tuan ini,tahniah

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih pula atas perhatian tuan. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kita. Wassalam.