20 April 2009

Lima Kesilapan Penaakulan Penyokong PPSMI

Oleh Marniyati
http://marni-ameera.blogspot.com/

Dalam ucap utama Datuk Hassan Ahmad sempena Wacana Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu semalam, beliau menggariskan lima kesilapan minda dan pemikiran yang dimiliki oleh para penyokong PPSMI.

Kesilapan Pertama

Mereka tidak tahu dan tidak percaya bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ilmu. Mereka menyangka bahasa Melayu hanya berkembang sebagai bahasa ilmu tinggi selepas Tanah Melayu merdeka.

Hakikatnya, bahasa Melayu telah berkembang sebagai bahasa ilmu sejak zaman Kerajaan Melayu Sriwijaya di Palembang, iaitu seawal abad ke-7 lagi. Bahasa Inggeris ialah bahasa primitif semasa bahasa Melayu sudah mula berkembang sebagai bahasa ilmu.

Kesilapan Kedua

Mereka menyangka, seperti juga sangkaan dan kepercayaan penjajah Inggeris dan orientalis Barat dahulu kala, bahawa ilmu di dunia ini hanya terdapat dalam bahasa Inggeris.

Kata mereka lagi, bahasa Melayu terpaksa meminjam ratusan ribu istilah daripada bahasa Inggeris. Maka mereka berpendapat adalah lebih mudah belajar sahaja sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Hakikatnya, jika tidak meminjam, bahasa Melayu tidak akan dapat berkembang dan akhirnya akan mati. Bahasa Inggeris sendiri dahulunya meminjam 85% istilah daripada bahasa Greek, Latin dan bahasa-bahasa lain. Bahkan, bahasa Inggeris meminjam istilah daripada 350 bahasa lain di dunia.

Jadi, apa salahnya jika bahasa Melayu meminjam istilah dari bahasa Inggeris pula? Begitulah bahasa dibina!

Kesilapan Ketiga

Mereka menyangka orang yang membantah PPSMI ialah orang yang antibahasa Inggeris, penentang kemajuan dan fanatik atau nasionalis ultrabahasa Melayu. Hakikatnya, penentang PPSMI ialah orang yang fasih dan mahir dalam penguasaan bahasa Inggeris, bahkan lebih baik daripada penyokong PPSMI sendiri.

Penentang PPSMI hanya mempersoalkan mengapa selepas 11 tahun belajar bahasa Inggeris di sekolah, pelajar masih gagal menguasai bahasa itu? Sudah tentu jawapannya adalah silap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan kesilapan itu mesti dibaiki.

Orang yang berfikiran keliru sahaja yang mengatakan bahawa pelajar kita akan lebih mahir dalam bahasa Inggeris melalui PPSMI.

Kesilapan Keempat

Mereka berkata bahawa menguasai bahasa Inggeris tidak akan menjejaskan martabat bahasa Melayu atau mengubah identiti mahupun jati diri bangsa Melayu.

Belajar bahasa bererti kita mempelajari budaya. Semua orang tahu bahawa apabila kita belajar bahasa Inggeris, maka jati diri atau identiti atau budaya dan nilai Islam kita akan ikut berubah.

Ada bezanya antara "I think" dengan "Saya rasa". Jika melalui ungkapan "I think" seseorang itu menyampaikan pendapat hanya dengan pertimbangan akal, maka orang Melayu mengatakan "Saya rasa" kerana pendapat yang diberikan bukan sekadar mengikut pertimbangan akal, bahkan juga pertimbangan hati dan perasaan. Itulah budaya Melayu yang dicerminkan melalui bahasa.

Kesilapan Kelima

Masalah kesilapan maklumat – kebanyakan orang, khususnya Melayu – yang menyokong PPSMI tidak tahu sebab mereka menyokongnya. Mereka tidak mendapat maklumat yang benar tentang keburukan dan kelemahan dasar itu.

Mereka tidak faham isu yang sebenar. Mereka dipengaruh oleh data, maklumat dan penerangan rasmi pegawai kerajaan yang menjalankan tugas menurut perintah pembuat dasar, bukan mengikut akal fikiran masing-masing.

Segala masalah, kelemahan pelajar, kegagalan pelajar luar bandar, sekolah di kawasan hulu, dan masalah puluhan ribu guru yang gagal mengajarkan sains dan matematik dengan baik dalam bahasa Inggeris tidak didedahkan di media arus perdana.

Guru-guru yang terlibat secara langsung dengan PPSMI menyokong usaha PPSMI kerana mereka menerima imbuhan berbentuk elaun khas mengajar.

Kesimpulan yang dibuat oleh Datuk Hassan Ahmad dalam kertas kerjanya ialah kita memerlukan dasar bahasa dan pendidikan dalam bahasa Melayu yang jelas dan tegas.

Kita juga memerlukan pemimpin negara dan para menteri serta pegawai yang cekap dan cukup ilmu pengetahuannya untuk melaksanakan dasar dengan tegas, berani dan benar.

PPSMI mesti dimansuhkan!

(Disalin daripada teks ucap utama Datuk Hassan Ahmad dan ditambah dengan ucapan tanpa teks beliau pada majlis tersebut).

2 ulasan:

Wak Hassan Mat berkata...

Nah! Penyokong PPSMI sepatutnya sedar akan hakikat ini. Mujurlah isu PPSMI ini diketengahkan, kalau tidak ia hanya (? ianya) diketahui oleh pengkaji bahasa sahaja. Lima kesilapan inilah yang membelenggu masyarakat kita dalam menjayakan bahasa Melayu ke persada negara waima persada dunia.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam. Benar, Wak. Pelepah pisang yang separuh kering itu masih liat. Jadi, marilah sama-sama kita melentur rebung. Wassalam.