13 Mei 2009

Tidak Berkenan dengan Penolakan Bersyarat

Aman tidak berkenan dengan penolakan bersyarat. Bagi Aman, apabila penolakan itu bersyarat, maka penolakan itu bukan penolakan total.

"Mengapakah perkara ini berlaku?"

Kisahnya begini: Kumpulan itu pada suatu masa dahulu tidak mahu mencampuri urusan orang yang berkuasa. Suatu hari, orang yang berkuasa itu memperlekeh kecintaan mereka. Mereka berasa hati. Mereka menjadi perajuk yang kesal tetapi tiada upaya melakukan penentangan secara terang-terangan. Mereka hanya menyumpah dan melawan dengan hati.

Setelah bertahun-tahun, usaha orang berkuasa memperlekeh kecintaan mereka itu masih berterusan. Rajuk menggemuk dan merimbunkan amarah. Secara terang-terangan mereka menyatakan bahawa usaha memperlekeh kecintaan mereka mesti dihentikan. Hati mereka bersuara. Kecintaan mereka mesti dikembalikan kepada asal. Orang berkuasa itu pasti menerima padah jikalau kecintaan mereka itu masih terus diperlekeh. Kerusi kuasanya mereka goncang.

“Selagi kecintaan kami diperlekeh dan tidak dikembalikan kepada asal, kami tetap akan menentang. Kamu tidak akan dapat terus berkuasa!” teriak mereka.

Aman cukup faham. Apabila kecintaan kumpulan itu diraikan semula dan dikembalikan kepada asal, maka kumpulan tidak akan mencampuri urusan orang yang berkuasa itu lagi. Katakanlah orang kampung ingin terus memberikan kuasa kepada orang yang sedang berkuasa itu. Hal itu terpulanglah kepada orang kampung.

Pada Aman, perjuangan mereka tidak berkaitan dengan usaha untuk mengenyahkan orang yang berkuasa itu. Sebab itu, dia tidak berkenan dengan penolakan bersyarat itu. Dia mahu penolakan total.

Aman dan kumpulannya mengimani kecintaannya seratus peratus, bukan separuh-separuh, bukan sebahagian-sebahagian. Aman dan kumpulannya bermatlamat mengambil kerusi kuasa kampung itu.

“Hati-hati,” kata Aman. “Muhasabah diri, kita diperalatkan atau mereka memperalatkan kita?”

Sebagai naqib, Aman sudah menunaikan tanggungjawabnya. Kini terpulanglah kepada anak buah. Mungkin sebahagian besar anak buah tidak menghayati pandangannya. Mereka keletihan sesudah menjalani perjuangan separuh jalan. Semasa dia mengutarakan pendiriannya, sebahagian anak buah menguap. Sebahagian lagi mengangguk-angguk dengan mata terpejam.

Perjuangan ini penuh dengan mehnah, tribulasi dan peperangan dengan diri, rumus Aman dalam hatinya.

Tiada ulasan: