19 September 2009

Maklumat tentang Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) di Facebook

Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana memanfaatkan Facebook untuk gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Saya baru perasan akan hal ini pada petang ini apabila saya mengunjungi laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).

Di sini terdapat nota editor majalah Dewan Bahasa (DB) keluaran Oktober 2009 yang bertajuk “Kembalinya BBK”. Saya lampirkan nota itu untuk tatapan pembaca blog ini. Penulis nota itu ialah Encik Zaidi Ismail, iaitu editor DB mulai keluaran Oktober 2009. Beliau menggantikan tempat Puan Ritah Yahaya yang sudah bertukar ke bahagian lain.

Kita wajar berasa beruntung kerana dapat membaca nota editor di bawah ini sebelum majalah yang berkenaan terdapat di pasaran. Melalui nota ini kita mengetahui bahawa dalam majalah itu ada artikel Encik Ismail Dahaman tentang sejarah dan perkembangan kempen dan gerakan bahasa kebangsaan. Saya memang berasa ghairah untuk mengetahui kandungan tulisan itu.

Insya-Allah, sari tulisan Encik Ismail itu akan saya paparkan di blog ini. Hal itu hanya dapat saya lakukan selepas 10 Oktober. Hal ini terjadi demikian kerana, biasanya, majalah DB dan beberapa lagi majalah terbitan DBP yang saya langgan hanya masuk ke dalam peti surat saya selepas 5 hari bulan setiap bulan.

Lampiran
Kembalinya BBK

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dilancarkan di Sarawak pada awal Oktober ini. BBK merupakan kesinambungan kepada gerakan bahasa yang diadakan sebelum ini, iaitu Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN, 1999 - 2008).

Dari segi sejarahnya, BBK bukanlah suatu nama yang baharu dan asing bagi rakyat Malaysia, terutamanya yang pernah berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu pada tahun 1960-an. Pengembalian semula nama ini, boleh juga dianggap sebagai pengembalian semangat bahasa kebangsaan yang begitu kuat pada masa tersebut. BBK yang pertama kali diadakan pada tahun 1960 telah berlanjutan selama tujuh tahun. Selepas itu, muncul pula pelbagai kempen dan gerakan bahasa, sehinggalah lahirnya BBSN pada tahun 1999 hingga 2008. Sejarah dan perkembangan kempen dan gerakan bahasa kebangsaan boleh "ditelusuri" dalam artikel Ismail Dahaman keluaran ini.

Dari segi matlamatnya pula, BBK memfokuskan kepada bahasa kebangsaan, iaitu untuk mengukuhkan dan memperkasakan bahasa kebangsaan selaras dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara Malaysia. Dengan yang demikian, bahasa inilah yang sepatutnya digunakan dalam semua urusan rasmi yang melibatkan pihak kerajaan dan swasta.

Slogan "Bahasa Jiwa Bangsa" sebagai tema kempen ini membangkitkan semangat cinta akan bahasa kebangsaan. Apabila bahasa kebangsaan dianggap sebagai "jiwa" atau "roh" bangsa (bangsa Malaysia) bermakna kedudukan bahasa itu sangat penting kerana bangsa tanpa jiwa atau roh bolehlah dianggap sebagai bangsa yang sudah mati. Itulah hakikat yang perlu diterima sebagaimana jiwa atau roh manusia. Manusia tanpa jiwa ialah manusia yang telah mati.

Keseriusan kerajaan sebenarnya telah pun "dipancarkan" melalui penghapusan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) secara berperingkat mulai 2012. Untuk itu, kita seharusnyalah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana begitu memahami kehendak rakyat selaras dengan konsep yang dibawakan oleh kepimpinan kerajaan terkini, iaitu "1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan."

"Bersepakatlah" kita dalam menjayakan kempen BBK melalui penghayatan "Bahasa Jiwa Bangsa" yang dapat digambarkan oleh amalan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan indah.

Sepakat membawa berkat

Zaidi Ismail

Tiada ulasan: