11 November 2009

Label dalam Kamus

Label ialah kepingan kecil kertas atau kad yang ditampalkan pada sesuatu bekas seperti kotak, botol dan tin. Pada label, tercatat keterangan ringkas tentang benda dalam bekas itu seperti nama, jenis dan harganya. Inilah makna biasa bagi label yang sedia kita maklumi.

Dalam kamus juga ada label, iaitu keterangan ringkas tentang sesuatu entri atau huraian entri itu. Kewujudannya bukanlah berupa kertas, tetapi berupa kependekan. Antara kependekan yang berfungsi label dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK) termasuklah yang berikut:

1. Ant – antropologi
2. Ar – Arab
3. ark – arkaik
4. Bio – biologi
5. bp – bahasa percakapan

6. Fiz – Fizik
7. Id – Indonesia
8. Jw – Jawa
9. Kd – Kedah
10. Kej – Kejuruteraan
11. ki – kiasan
12. Kl – Kelantan
13. Mn – Minangkabau
14. Sb – Sabah
15. Sos – Sosiologi

Namun, bukan semua kependekan dalam kamus berfungsi sebagai label. Kependekan seperti dll (dan lain-lain), dlm (dalam), kpd (kepada), pada (pada), sj (sejenis), spt (seperti), utk (untuk) dan yg (yang) ialah kependekan biasa bagi perkataan yang berkenaan.

Umumnya, label dalam kamus terletak selepas sesuatu entri. Contoh yang terdapat dalam KDEK adalah seperti yang di bawah.

singkong Id ubi kayu.
toyu Kd kicap kacang soya.
uswah Ar teladan, contoh (ikutan): setiap apa yg dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. adalah ~ kpd kamu; ~ hasanah teladan yg baik.


Id ialah label bagi singkong. Maksudnya, perkataan singkong lazimnya digunakan di Indonesia. Toyu diberi label Kd. Hal ini bermaksud perkataan toyu berasal daripada dialek Kedah. Label uswah ialah Ar. Ertinya, perkataan ini ialah kata pinjaman daripada bahasa Arab.

selupan ark bunga melati.

Label bagi entri selupan ialah ark. KDEK menyatakan, “label arkaik (ark) digunakan sebagai peringatan bahawa kata yang berkenaan:
(a) jarang dipakai;
(b) penggunaannya terbatas kepada sesuatu daerah atau lingkungan sahaja;
(c) disangsikan kebenarannya (disebabkan oleh salah baca, salah tulis, salah dengar, dan lain).”


Dalam KDEK, label dapat wujud secara berturutan seperti dalam entri tra yang di bawah. Dengan adanya label ini, kita mengetahui bahawa perkataan tra ialah arkaik dan digunakan di Indonesia sebagai bahasa percakapan. Label juga dapat berada sebelum perkataan atau ungkapan yang menjadi bahagian huraian sesuatu entri. Contohnya adalah seperti entri sulap yang di bawah.

tra ark Id, bp tak; ~ usah tak usah
sulap I = sulapan permainan silap mata, sunglap; tukang ~ orang yg bermain sulap; main ~ = bermain ~ memberi pertunjukan silap mata; bersulap main sulap; menyulap 1. bermain sulap, bermain silap mata; 2. ki, bp menggelapkan (wang dll), menyelewengkan: ~ gaji pekerja; 3. ki, bp memalsukan (surat dll); 4. ki, bp mengubah dgn cepat (keadaan yg buruk menjadi baik dll); penyulapan perihal menyulap; penyulap orang yg menyulap, pemain silap mata, tukang sulap; sunglap.


Majalah Dewan Bahasa keluaran November 2009 menyiarkan makalah yang ditulis oleh Ibrahim Haji Ahmad yang bertajuk “Label dalam Kamus Dewan”. Makalah itu wajar menjadi rujukan semua pengguna KDEK. Saya menganggap makalah itu melengkapkan “Panduan Penggunaan KDEK”. Antara lain, penulis menjelaskan fungsi label dalam kamus. Saya mengolah semula penjelasan beliau dalam bentuk rajah seperti yang di bawah.

Tiada ulasan: