19 Februari 2010

Ungkapan “Seorang Daripada” dan “Salah Seorang” Tepat

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB), majalah Pelita Bahasa, Februari 2010.

1. Ungkapan seorang daripada dan salah seorang tepat. Ayat contoh:
Seorang daripada pelumba itu mengalami kekejangan otot.
Salah seorang pelumba itu mengalami kekejangan otot.

2. Ungkapan *salah seorang daripada tidak gramatis. Jadi, tidaklah wajar kita menggunakan ayat seperti “*Salah seorang daripada pelumba itu mengalami kekejangan otot”. Ayat ini tidak gramatis kerana mengandungi ungkapan yang tidak gramatis.

3. Dimaklumkan bahawa permohonan tuan tidak berjaya. Ayat ini gramatis. Ayat ini berasal daripada ayat Beliau memaklumkan bahawa permohonan tuan tidak berjaya. Ini ayat aktif. Ayat ini dipasifkan menjadi Bahawa permohonan tuan tidak berjaya dimaklumkan oleh beliau. Frasa oleh + FN dalam ayat pasif ini boleh digugur. Apabila frasa itu digugurkan, terbinalah ayat Bahawa permohonan tuan tidak berjaya dimaklumkan. Ayat ini pula boleh disongsangkan. Maka terbinalah ayat Dimaklumkan bahawa permohonan tuan tidak berjaya. Ayat ini ialah ayat pasif susunan songsang yang berasal daripada ayat aktif susunan biasa. Sekali lagi, ayat ini gramatis.

4. Untuk menjadikan ayat ini lebih bertenaga, frasa dengan ini dimasukkan sebagai penegas. Jadi, kita boleh membina ayat Dengan ini, dimaklumkan bahawa permohonan tuan tidak berjaya. Sebenarnya, frasa dengan ini berasal daripada frasa dengan menggunakan surat ini. Frasa menggunakan surat boleh digugurkan.

Tiada ulasan: