26 Mac 2011

Pelajar Sekolah Menengah Ialah Siswa


“Soal Jawab Bahasa”, majalah Pelita Bahasa, Februari 2011.

1. Petikan

Sebagai kesimpulannya, perkataan murid dan pelajar hanya sesuai digunakan untuk mereka yang belajar di sekolah, sama ada di sekolah rendah atau sekolah menengah. Perkataan pelajar atau penuntut pula biasanya digunakan di institut perguruan. Dalam hal tersebut, istilah guru pelatih turut digunakan. Perkataan pelajar, penuntut, mahasiswa, mahasiswi, siswa dan siswi sesuai digunakan untuk mereka yang mengikuti pelajaran di universiti.

2. Ulasan Saya

(a) Ayat pertama menjadi tepat apabila perkataan “hanya” digugurkan.

(b) Saya mendapati guru pelatih (atau dipendekkan pelatih sahaja) lebih kerap digunakan di institut pendidikan guru. Walau bagaimanapun, ada juga kemungkinan di tempat yang saya tidak berkhidmat perkataan pelajar dan penuntut lebih biasa digunakan.
(c) Ada istilah murid pendidikan guru dalam Akta 174.

(d) Kamus Dewan menyatakan bahawa siswa ialah penuntut atau pelajar universiti. Kamus Besar Bahasa Indonesia pula menyatakan bahawa siswa ialah murid, terutamanya “pada tingkat sekolah dasar dan menengah”. Di Malaysia, penggunaan perkataan siswa untuk pelajar sekolah menengah sudah lama kelihatan. Contoh terbaik ialah Dewan Bahasa dan Pustaka mempopularkan perkataan siswa dengan menggunakan tajuk Dewan Siswa bagi sebuah majalah terbitannya. Kumpulan sasaran majalah itu ialah pelajar sekolah menengah.

3. Ada beberapa perkataan yang terkecuali daripada peraturan untuk menerbitkan perkataan dengan menggunakan awalan meN-. Contohnya

mensia-siakan (bukan *menyia-nyiakan)
mempelawa (bukan *memelawa)
menternak (bukan *menernak)
mempedulikan (bukan *memedulikan)

Sebab pengecualian itu tidak jelas. Ada kemungkinan puncanya ialah penggunaan perkataan itu sudah mantap dalam kalangan masyarakat.

4. Frasa “bersemangat dan teruja” dan “atur cara program" lewah. Pembetulannya, pilih satu perkataan sahaja, sama ada “bersemangat” atau “teruja” dan “atur cara” atau “program”.

Tiada ulasan: