21 April 2011

Kamus Merakam Semua Perkataan - Kementerian Pelajaran Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin mengucapkan terima kasih dan merujuk kepada laporan akhbar Makkal Osai bertarikh 31 Mac 2011.

Pendekatan dan prosedur menyusun kamus bahasa Melayu sama dengan pendekatan dan prosedur yang diamalkan oleh ahli leksikografi bangsa-bangsa lain yang merakamkan perkataan yang digunakan oleh pengguna sesuatu bahasa.

Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka disusun berasaskan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu, termasuklah perkataan-perkataan yang bersumberkan bahasa-bahasa lain seperti bahasa sukuan atau etnik, bahasa Inggeris, China, Sanskrit, Tamil, Belanda, Arab dan sebagainya.

Sehubungan dengan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain.

Terdapat perkataan-perkataan yang digunakan seharian yang dianggap lucah oleh bangsa lain tetapi tidak kepada bangsa Melayu. Ada juga perkataan-perkataan yang dianggap mulia pada bangsa Melayu tetapi dianggap menghina oleh bangsa lain. Di samping itu, ada juga perkataan-perkataan yang dijadikan peribahasa, perumpamaan atau sebagai metafora.

Semuanya itu ialah sebahagian daripada adat dan budaya orang Melayu yang sepatutnya tidak dipersoalkan. Justeru perkataan-perkataan tersebut tidaklah boleh diubah, dipinda atau digugurkan atas kehendak bangsa lain.
Klik gambar untuk melihat
paparan yang lebih besar.

Setiap bangsa di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu. Sebagai kamus bahasa Melayu semua perkataan mesti dirakam dalam kamus tersebut dan tidak ada yang tertinggal kerana ia menjadi bahan rujukan kepada semua pengguna bahasa yang mahu menggunakan bahasa Melayu.

Unit Komunikasi Korporat,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sumber: http://www.moe.gov.my/?id=168&aid=1862
Dipetik pada 21 April 2011.
Klik gambar untuk melihat paparan yang lebih besar.

Tiada ulasan: