15 April 2011

Kita Mahu Kerajaan Tolak Cadangan PAGE


Pada 7 April lalu Berita Harian Online melaporkan bahawa YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkata kerajaan masih mengkaji cadangan sekumpulan ibu bapa supaya diberi kelonggaran kepada anak mereka yang ingin mengikuti pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Kementerian Pelajaran akan mengkaji sama ada kelonggaran boleh diberikan kepada mereka yang ingin belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris. Selepas kajian itu, barulah kerajaan akan membuat keputusan berhubung cadangan itu,” kata Datuk Seri Najib.

Kumpulan ibu bapa yang beliau maksudkan ialah The Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE). Pada 19 Januari, The Star Online memetik laporan BERNAMA bahawa Pengerusi PAGE menyampaikan memorandum itu kepada Setiausaha Peribadi Kanan Perdana Menteri.

Hasrat PAGE sudah mendapat perhatian Perdana Menteri. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan perhatian yang istimewa terhadap kes ini. Perhatian istimewanya itu terserlah apabila beliau menangguhkan “pendaratan” dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI).

Pada 8 Julai 2009 Tan Sri Muhyiddin mengumumkan bahawa PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012. Pada 11 Mac 2011, akhbar The Star Online melaporkan bahawa dasar itu dilanjutkan sehingga tahun 2005 sebagai pendekatan “pendaratan lembut”. Pelanjutan itu mendapat bantahan tokoh bahasa Melayu dan badan bukan kerajaan.

Pada 16 Mac, peserta Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu yang berlangsung di Kuala Terengganu meluluskan usul agar kerajaan “mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar semua mata pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam seperti sebelum tahun 2003 dan menolak sebarang tuntutan untuk kembali kepada PPSMI”.

Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) pula menyatakan bantahan melalui surat kepada Timbalan Perdana Menteri yang bertarikh 6 April 2011. Surat itu ditandatangani oleh Presiden PPM, Profesor Emeritus Abdullah Hassan.

Pada 7 April, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) mengeluarkan kenyataan akhbar yang membantah usaha untuk menghidupkan PPSMI semula. Antara lain TERAS menyatakan, “Kami kesal adanya kumpulan elit yang kecil yang mendesak supaya kerajaan meneruskan PPSMI. Padahal mereka hanya merupakan segelintir elit dari rakyat yang menolakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.”

Pada hari itu juga, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mengeluarkan siaran akhbar. Presidennya, Encik Mohamad Saleeh Rahamad berkata, PAGE melakukan provokasi apabila meminta kerajaan membenarkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dilakukan dalam bahasa Inggeris.

Pada 8 April, akhbar Berita Harian Online menyiarkan bantahan yang sama oleh Persatuan Linguistik Malaysia (PLM). Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata PLM berpegang pada janji kerajaan bahawa PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya sehinggalah pada peringkat pengajian tinggi sama seperti sebelum pelaksanaan pada tahun 2003.

Penulis blog yang terdiri daripada tokoh, pensyarah, guru atau pencinta bahasa Melayu turut menyatakan bantahan. Antara mereka termasuklah Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di Beijing, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan yang dikenali sebagai Kembara Bahasa, Mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Zulkifli Salleh dan Pensyarah Bahasa Melayu, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Puan Marniyati Mohd. Nor. Bantahan juga tersebar secara meluas dalam Facebook.

Bantahan itu merupakan suara rakyat yang menjunjung keluhuran Perlembagaan, khususnya Fasal 152. Bantahan itu menyerlahkan rasa hati rakyat yang yakin akan kedaulatan undang-undang, khususnya Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan. Bantahan itu mencerminkan kasih rakyat kepada pemimpin atas prinsip yang benar dianggukkan dan yang silap ditegur dengan lembut.

Selepas pilihan raya Sarawak, kita berharap Perdana Menteri menyatakan secara tegas bahawa kerajaan menolak cadangan PAGE itu. Menteri Pelajaran pula mengumumkan secara muktamad bahawa keputusan muktamad pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI sepenuhnya pada tahun 2012 dikekalkan.

SN A Samad Said: "Begini
rasanya mempertahankan
bahasa ibunda."
Penungguan tidaklah boleh terlalu lama. Kita berharap tokoh bahasa Melayu dan badan bukan kerajaan sudah bersedia dengan memorandum dan sudah mula mengatur pertemuan untuk menyampaikan memorandum itu kepada Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran. Kita juga berharap tokoh bahasa dan badan bukan kerajaan sudah merancang tindakan seperti tindakan pada bulan Mac 2009.

Kita menyokong tindakan tokoh bahasa Melayu dan badan bukan kerajaan untuk memastikan kerajaan tidak berganjak daripada keputusan muktamad yang sudah dibuat pada tahun 2009 itu.

Tiada ulasan: