02 April 2011

Lepak, Duduk-duduk dan Meloneng

Dalam Kamus Dewan, masukan lepak /lépak/ mempunyai lebih daripada satu makna. Namun, maknanya yang menyerlah ialah “amalan negatif dalam kalangan masyarakat seperti dalam kalangan remaja yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah”. Pada hari ini, itulah pemahaman pengguna bahasa Melayu apabila kita menyebut perkataan lepak.

Makna inti lepak ialah amalan negatif. Duduk-duduk termasuk dalam penerang.

Kita boleh menerbitkan ayat “X melepak dengan keluarga pada hujung minggu di halaman rumahnya". Ayat ini bermaksud, X dan keluarganya duduk-duduk di halaman rumah mereka. Semasa duduk-duduk itu, mereka mungkin mengumpat, membincangkan aib orang dan sebagainya.

Di halaman itu mereka menatap buku picisan atau majalah lucah. Sesekali mereka meneguk minuman beralkohol atau minuman keluaran tempatan seperti samsu, montoku dan todi.

Dari segi pakaian, mereka mungkin berseluar katuk, bertuala mandi sahaja atau berkemban. Cara mereka duduk kelihatan kurang atau tidak sopan. Saya pernah terlihat keadaan seperti ini ketika “limpas” di sebuah taman perumahan tetapi saya tidak mendengar perbualan mereka.

Katakanlah Y dan keluarganya orang biasa, apalagi orang baik-baik seperti keluarga guru. Y dan keluarganya duduk-duduk di halaman rumah sambil berbual. Perbualan mereka tentang keluarga atau agama. Biasa juga mereka bertukar-tukar khabar, menelusuri salasilah keluarga atau membincangkan cara untuk menambah pendapatan. Mereka berpakaian menutup aurat dan kemas. Gerak-geri mereka tertib atau terkawal. Aspek-aspek yang lain baik juga. Perkataan melepak untuk keadaan Y dan keluarganya tidak sesuai. Perkataan yang sesuai untuk keadaan Y ini ialah duduk-duduk.

Pada masa remaja (sebelum saya merantau) saya dan keluarga pun lebih kurang Y juga. Ada jiran bertanya, “Buat apa itu?” Kami menjawab, “Duduk-duduk.”

Kami ialah penutur jati bahasa Melayu. Perkataan yang kami gunakan ialah duduk-duduk. Perkataan ini  bersahaja dan tidak berkonotasi negatif.

Dalam Kamus Dewan ada masukan loneng /lonéng/. Perkataan ini menerbitkan kata meloneng yang bermaksud “duduk-duduk membuang masa di halaman rumah”. Kepalanya tetap duduk-duduk tetapi penerangnya membuang masa. Kita mungkin berfikir beberapa kali sebelum menggunakan perkataan ini sebagai menggantikan perkataan duduk-duduk.

Adakah perkataan lain yang lebih sesuai selain perkataan duduk-duduk? Perkataan itu mungkin terdapat dalam bahasa sukuan atau dialek. Oleh sebab itu kajian tentang dialek dan bahasa sukuan perlu dipergiat bagi memperkaya bahasa kebangsaan kita.

Tiada ulasan: