14 April 2011

Resolusi Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu

Resolusi
Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu
14 – 16 Ma 2011

Dengan hasrat menyokong Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, maka kami peserta Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu 2011 yang bersidang di Kuala Terengganu pada hari ini, Rabu bersamaan 16 Mac 2011, meluluskan resolusi berikut:

Dasar Bahasa

1. Mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar semua mata pelajaran di sekolah dan IPTA seperti sebelum tahun 2003 dan menolak sebarang tuntutan untuk kembali kepada PPSMI.

2. Menyusun strategi bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di Malaysia.

3. Melaksanakan usaha untuk mengadakan bengkel dan kursus yang dapat menjadikan pembelajaran bahasa Melayu memikat pada peringkat sekolah rendah dan menengah, dan melatih kemahiran tinggi seperti membaca pada tahap pengajaran di IPTA dan IPTS.

4. Menyediakan latihan dalam perkhidmatan kepada guru bagi membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi.

Pembudayaan Bahasa Melayu

1. Memberi perhatian serius terhadap pembinaan kepustakaan Melayu dengan menggerakkan semula Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penerbit buku ilmu, dan juga memberi sokongan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia dalam mengimport ilmu melalui terjemahan.

2. Menerbitkan perisian komputer, komik, video dan seumpamanya dalam semua bidang ilmu dan seni bagi mengembangkan budaya belajar melalui wahana Internet.

3. Memperbanyak kegiatan kebahasaan yang kreatif dan inovatif bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

Cadangan Pelaksanaan

Bagi menjayakan usul di atas, langkah-langkah yang berikut dicadangkan:

1. Semua wakil rakyat dan pegawai kerajaan perlu menguasai dan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi.

2. Semua guru pensyarah dan pegawai pada setiap peringkat di Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah menguasai dan menggunakan bahasa Melayu tinggi.

3. Mengiktiraf Persatuan Pendidik Bahasa Melayu sebagai badan bukan kerajaan yang menyokong dan membantu usaha positif kerajaan dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan, dan dengan itu bersetuju melunaskan yuran seumur hidup per orang untuk semua guru Bahasa Melayu yang memohon menjadi ahli seumur hidup Persatuan.

Profesor Madya Dr. Hashim Othman
Pengerusi,
Jawatankuasa Resolusi,
Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu
2011.

Bertarikh: 16 Mac 2011

Tiada ulasan: