05 Julai 2011

Tidur di Atas Kubur 1

Saya belum pernah tidur di atas kubur. Selagi saya boleh memilih, tidak mungkin saya sengaja tidur di atas kubur sehinggalah saya dimasukkan ke dalam lubang kubur. Saya hanya pernah melintasi tanah perkuburan pada waktu malam dan tidur di puncak bukit dalam kawasan tanah perkuburan. Pengalaman saya tidaklah sehebat pengalaman sekumpulan rakan yang benar-benar tidur di atas kubur.

Saya lahir dan dibesarkan dalam rumah kampung beratap nipah tidak jauh dari jalan raya. Dari jalan raya itu ada jalan kerikil menuju ke rumah saya. Tanah perkuburan terletak di sebelah kiri jalan kerikil itu. Dari rumah saya pula, tanah perkuburan itu terletak di sebelah kanan. Di sebelah jalan yang bersetentangan dengan tanah perkuburan itu ada sebuah rumah. Kedudukan beberapa buah rumah lain jauh dari sisi jalan dan terlindung oleh belukar.

Pada tahun lima puluhan, sisi jalan sebelah kiri sepanjang lebih kurang lapan puluh meter ke rumah saya itu belum banyak kubur. Sisi jalan itu ialah belukar. Terdapat juga lima enam batang pohon besar dan tinggi, termasuklah sebatang pohon beringin menaungi belukar itu.

Batu nisan memang sukar dilihat apabila jalan itu dilalui pada waktu siang, apalagi pada waktu malam. Namun, memang ada beberapa bahagian belukar itu yang kurang tebal. Ruang itu memungkinkan saya melihat batu nisan pada waktu siang dan pada waktu malam terang bulan.

Untuk menaiki bas, untuk ke kedai runcit, untuk ke sekolah, untuk ke rumah saudara-mara dan untuk ke masjid dan lain-lain, jalan kerikil itulah laluan saya, keluarga dan rakan-rakan. Ertinya, berjalan di sebelah tanah perkuburan sudah menjadi kebiasaan kami. Perjalanan itu termasuklah ketika waktu malam dengan menggunakan andang.

Pada siang hari, saya kerap melalui jalan itu secara bersendirian kerana berurusan di kedai runcit milik Krishnan atau hanya merayau-rayau. Saya tidak pernah melalui jalan kerikil itu secara bersendirian pada waktu malam.

Di bahagian hulu tanah perkuburan itu ada laluan sempit. Itu ialah laluan pejalan kaki dan basikal. Laluan itu ialah jalan pintas ke masjid dari rumah saya. Laluan itu juga ialah jalan pintas untuk ke rumah Mak Ngah Mimah, iaitu sepupu ibu saya.

Rumah Mak Ngah Mimah ialah rumah yang paling kerap saya dan ibu kunjungi. Jikalau kami menggunakan jalan kerikil untuk ke rumah Mak Ngah Mimah, kami perlu menempuh jalan raya yang terletak di sebelah timur tanah perkuburan. Kemudian kami perlu melintasi tanah perkuburan. Jadi laluan sempit di sebelah hulu itulah laluan terdekat dan terbaik.

Dari rumah saya, laluan sempit di sebelah hulu itu disempadani oleh kebun getah. Kebun itu berpagar dan semak.

Sepanjang laluan itu terdapat kubur lama. Jarak batu nisan dengan laluan itu kira-kira dua kaki. Jadi, tidaklah pernah kami tersadung batu nisan ketika melalui laluan itu. Namun, saya pernah tersadung akar getah dan akar pokok cempedak tua yang timbul dan melintang laluan itu.

Ketika kami menggunakan laluan itu, kami boleh melihat ratusan batu nisan berceracakan. Kami juga dapat melihat timbunan tanah kuning serta batu nisan yang hujungnya berbalut dengan kain putih di atas kubur baharu. Pemandangan yang sama tetapi tidak berapa jelas berlaku ketika bulan terang. Ketika bulan gelap, hanya batu nisan yang disinari cahaya andang kami jelas dan ada yang berbalam-balam kelihatan.

Pengalaman semasa kecil itu membantu saya berasa selesa apabila menemani Nenek Aji bermalam di puncak bukit dalam kawasan tanah perkuburan Islam terluas di Seremban. Hal itu berlaku pada awal tahun enam puluhan. Pada masa itu usia saya hampir lapan tahun. Saya dan keluarga sudah berpindah ke kampung baharu. Kampung itu ialah projek pertama penempatan penduduk rancangan tanah kerajaan Negeri Sembilan. Nenek Aji tinggal di rumah anaknya yang bersempadan dengan tanah bapa saya.

Nenek Aji ialah keturunan Syeikh Muhammad Said Linggi (1875 – 1926). Syeikh itu ulama terkemuka negeri kami. Kuburnya terletak di atas puncak bukit itu dan kami sebut makam. Nenek mendapat giliran “menjaga” makam itu dua kali seminggu.

Dari kampung nenek turun ke Seremban pada awal pagi hari Selasa dan pulang ke kampung lewat petang pada hari Rabu. Saya dan Wan berlari ke jalan raya untuk menyambut ketibaan nenek apabila terdengar bunyi hon bas MARA. Wan ialah cucu sulung nenek. Wan dua tahun lebih muda daripada saya.

Saya agak usia nenek pada masa itu tujuh puluhan. Kulitnya putih dan sudah berkedut. Uban sudah memenuhi hampir seluruh kepalanya. Namun dia masih kuat berjalan. Penglihatannya masih tajam. Pendengarannya masih peka. Dia boleh berjalan sendirian menuruni bukit di hadapan rumah Pak Cik Lajis, lalu di tanah rata di hadapan rumah Pak Cik Dolah, melintasi lembah kawasan tanah Pak Cik Kamarudin dan akhirnya mendaki bukit ke rumah anaknya.

Jarak rentas rumah anak nenek ke jalan raya kira-kira enam ratus meter. Bunyi hon bas MARA memang jelas kedengaran. Namun, oleh sebab laluan itu berbukit dan berliku jarak yang perlu ditempuhi lebih jauh. Pada petang tertentu pemandu bas MARA itu membunyikan hon bertalu-talu. Itu tandanya nenek memerlukan bantuan.

Wan dan saya berlari ke jalan raya. Saya sampai dahulu kerana tubuh saya ringan dan larian saya pantas. Kami mengangkat dua buah raga rotan yang penuh dengan barangan. Kandungan utamanya ialah pisang dan pulut kuning. Makanan itu dan dua tiga jenis barangan lain ialah sedekah pengunjung makam kepada nenek selaku waris “penjaga” makam.

Apabila cuti sekolah, nenek membawa saya ke makam. Saya sudah lupa sama ada sekali atau lebih nenek mengajak saya menemaninya di makam itu. Yang saya pasti, kami pergi pada pagi Selasa dan pulang pada petang Rabu.

Sepanjang hari Selasa dan lebih separuh hari Rabu saya dan nenek berada di atas puncak bukit itu. Kami berteduh di sebuah pondok beratap zink kira-kira dua puluh meter dari makam. Bahagian belakang pondok itu berbelukar. Bahagian lain dikelilingi oleh batu nisan. Bahagian hadapannya berdinding kira-kira dua kaki sahaja tingginya. Bahagian lain berdinding penuh. Tiada pintu. Kami bermalam di dalam pondok itu. Saya tidur dengan nyenyaknya.

Saya tidak berasa takut. Saya tahu nenek hebat. Saya sudah mendengar banyak cerita tentang kehebatan nenek. Ada satu cerita yang saya cukup ingat. Pada suatu malam, nenek lewat pulang. Beberapa orang cuba menyamun nenek. Mereka tidak berupaya menghampiri nenek. Mereka hanya berpusing-pusing mengelilingi nenek. Apabila mereka meminta maaf, barulah nenek melepaskan mereka.

Orang kampung percaya mulut nenek masin. Mereka menghormati nenek dan suka membantu nenek. Pada masa itu bas MARA berwarna merah itu terlalu pendek. Penumpang yang dapat dibawa sedikit sangat. Walaupun bas sudah padat, pemandunya tetap membenarkan nenek naik. Mereka berasa khuatir sekiranya nenek mengeluarkan kata-kata seperti “pancitlah tayarkau” perkara itu akan berlaku.

Saya pernah mendengar cerita orang. Pada suatu hari, nenek menahan sebuah kereta. Pemandu kereta itu enggan berhenti. Sesudah meninggalkan nenek beberapa ratus meter, tayar kereta itu pancit.

Sampai di sini sahaja kisah saya tidur di atas kubur. Kisah ini mendatar. Tidak kisah kerana ini kisah penulis jalanan, bukan kisah hebat untuk pembaca Dewan Sastera.

Saya juga mengakui bahawa kisah ini tidaklah sehebat kisah sekumpulan rakan yang benar-benar tidur di atas kubur. Kisah mereka itu mungkin saya ceritakan pada suatu masa nanti. Itu pun sekiranya saya masih bernafas dan berkemampuan untuk berkarya.

Wallahuaklam. Wassalam.

Tiada ulasan: