26 Ogos 2011

Mengumumkan Tarikh Hari Raya

Pedoman Bahasa (JPEG) 078. Binaan Frasa Kerja Transitif.

Rajah ini menggambarkan binaan frasa kerja transitif. Tanda ( ) menunjukkan bahawa unsur kata bantu dan keterangan bersifat pilihan. Tanda { } pula bermaksud ada dua jenis binaan, iaitu binaan dengan objek dan binaan dengan ayat komplemen. Dengan berdasarkan rajah ini, kita dapat menyenaraikan empat binaan frasa kerja transitif seperti yang di bawah.

(i)   Kata kerja transitif + objek
(ii)  Kata kerja transitif + ayat komplemen
(iii) Kata bantu + kata kerja transitif + objek + keterangan
(iv) Kata bantu + kata kerja transitif + ayat komplemen + keterangan

Keempat-empat binaan itu tercatat dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008: 403).

Frasa contoh dalam rajah ini ialah “akan mengumumkan tarikh hari raya pada malam itu juga”. Frasa ini menggunakan binaan (iii). Ayat 1 ialah ayat contoh yang mengandungi frasa ini.

1. X akan mengumumkan tarikh hari raya pada malam itu juga.

Dalam ayat 1, “X” ialah subjek dan dapat digantikan dengan “kami”, “pihak berkuasa” dan sebagainya. Bahagian yang lain ialah predikat. Inti predikat ialah kata kerja transitif “mengumumkan”. Selepas kata kerja transitif terdapat objek. Objek ialah kata nama atau kumpulan kata nama yang menjadi penyambut kata kerja transitif. Dalam ayat ini, objek ialah kumpulan kata nama, iaitu “tarikh hari raya”.

Jelaslah bahawa, dalam ayat, kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek (atau ayat komplemen). Dengan berdasarkan penjelasan ini, pembaca dapat menentukan sama ada ayat-ayat yang di bawah gramatis atau tidak.

2. X akan mengumumkan *pada malam itu juga tarikh hari raya.
3. Wan Muhamad Zain menafikan *dengan sekeras-kerasnya berita itu.
4. Perantau itu menyambut *dengan linangan air mata Aidilfitri tahun ini.

Mudah-mudahan nota ini dapat membantu pencinta bahasa kebangsaan kita, khususnya pelajar dan guru bahasa Melayu, untuk menghasilkan frasa dan ayat yang gramatis.

Tiada ulasan: