10 Mac 2012

Nenas atau Nanas?


Dalam ruangan Khidmat Nasihat, Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka terdapat beberapa soalan dan jawapan tentang ejaan nanas. Hal ini menunjukkan bahawa pengguna bahasa Melayu masih menghadapi kesukaran untuk mengeja perkataan itu. Perkara ini ditimbulkan pula dalam ruangan komen Facebook saya. Maka tulisan ini saya hasilkan. Mudah-mudahan tulisan ini bermanfaat untuk rakan-rakan, khususnya golongan pendidik.

Di halaman 1176 Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBM) tersenarai kata masukan (entri) nenas (nanas). Sebutannya [ne-nas] dan ejaan Jawinya nun-nun-sin. Di halaman xxii DKBM menyatakan, “Kata yang terdapat dalam tanda kurung yang ditulis dengan huruf tegak selepas entri merupakan kata yang baku bagi entri tersebut.” Jadi kata yang baku ialah nanas. Masukan nanas terdapat di halaman 1171. Sebutannya [na.nas] dan ejaan Jawinya nan-alif-nun-sin.

Di halaman xlviii Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK) mencatatkan. “Atas beberapa pertimbangan, sebilangan besar perkataan yang berbeza daripada bentuk standard masing-masing, iaitu yang merupakan variasi kata, serta bentuk tertentu variasi ejaan, masih dimuatkan dalam kamus ini sebagai kata masukan yang dirujukkan kepada bentuk ejaan standard, dengan tanda anak panah.” Sebagai contoh, di halaman 1076, KDEK mencatatkan nenas g nanas. Hal ini bermaksud nenas ialah variasi kata/ejaan. Anak panah itu bermaksud sila rujuk kata masukan nanas.

Di halaman yang sama KDEK menyatakan, “Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan (sering kali dengan maklumat-maklumat selanjutnya). Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan.”

Di halaman 1069 KDEK ada kata masukan nanas seperti yang di bawah:

nanas sj tumbuhan (buahnya boleh dimakan), Ananas sativus; ~ belanda = ~ kista = ~ seberang = ~ tali sj nanas yang serat daunnya boleh dibuat tali dll, Agave cantala; ~ hijau sj nanas yg boleh dibuat ubat, Ananas comosus.

Selepas perkataan nanas terdapat takrifannya dan diikuti dengan maklumat selanjutnya. Tegasnya ejaan nanas baku.

Jadi menurut DKBM dan KDEK, ejaan yang baku ialah nanas, atau Jawinya nan-alif-nun-sin. Sebutan yang baku ialah [na.nas]. Ejaan nenas wujud. Sebutan [ne-nas] pun wujud. Ejaan dan sebutan ini bertaraf variasi, iaitu tidak baku. Jadi, dalam perhubungan rasmi, termasuk dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, ejaan yang wajar digunakan ialah nanas dan sebutannya hendaklah [na.nas].

Saya tidak menghadapi masalah ketika mengeja nanas. Jikalau saya menggunakan perisian Word, autobetul ciptaan saya sendiri akan menukarkan perkataan nenas menjadi nanas apabila saya silap menekan huruf pada papan kekunci. Agak kerap juga saya melakukan kesilapan kerana sejak kecil saya sudah biasa dengan sebutan [ne.nas] dan ejaan nenas. Bahkan, pada usia senja ini pun saya masih menyebut [ne.nas] sebagai mewarisi sebutan nenek dan ibu bapa saya.

Saya mendapati sebutan suku kaum Dusun di Sabah secara umumnya lebih baku berbanding dengan sebutan pengguna dialek negeri-negeri tertentu di Semenanjung seperti dialek Negeri Sembilan dan Kelantan. Jadi, sekiranya pengguna dialek pekat Negeri Sembilan dan Kelantan ingin mudah untuk menguasai sebutan baku, jadikanlah suku kaum Dusun sebagai isteri atau suami.

Tiada ulasan: