11 Mac 2012

PPSMI: GMP Anjur Perhimpunan April 2012


10 Mac 2012, sesudah tiga tahun perhimpunan 100,000 rakyat. Gambar daripada Facebook Prof. Abdullah Hassan.

Desakan melalui perhimpunan wajar. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa kelihatan bagai lalang ditiup angin. Tanpa desakan yang berterusan kita khuatir penyokong dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semakin naik tocang dan pihak berkuasa tunduk oleh kemahuan songsang mereka.

Usaha menyegerakan pemansuhan PPSMI sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan beberapa akta yang lain, sekali gus mendukung semangat Rukun Negara. Sebaliknya usaha penyokong PPSMI untuk meneruskannya jelas memperlekeh Perlembagaan, akta yang berkenaan dan Rukun Negara. Jadi usaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) mesti dianggap sebagai kegiatan murni yang menyerlahkan semangat patriotik. Kita wajar menyokong usaha GMP.

Lampiran
Himpunan Desak Mansuh Segera PPSMI April Depan
Anis Nazri, Harakahdaily, 10 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan menggerakkan satu himpunan rakyat bagi mendesak kerajaan menyegerakan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Himpunan yang dirangka pada awal April itu akan diadakan di Pagoh, Johor sebagai langkah awal menggerakkan semula bantahan berhubung dasar tersebut.

Pengerusi GMP, Prof. Shahril Md Zin, berkata bantahan terhadap dasar itu perlu dihidupkan memandangkan tidak nampak usaha kerajaan bersungguh-sungguh untuk memansuhkannya segera.

"Walaupun kerajaan mengumumkan dasar PPSMI ini akan dimansuhkan, kebelakangan ini kita mendapati seolah-olah ada gerakan daripada pihak-pihak tertentu yang ingin menghidupkan semula dasar ini," dakwa beliau ketika berucap di Himpunan Ulang Tahun Ketiga PPSMI, di Madrasah Tarbiah, Kampung Bandar Dalam, Gombak, hari ini.

Perkara itu, dakwa beliau boleh dilihat saban hari melalui akhbar The Star yang sering memainkan isu agar kerajaan memikirkan semula pelaksanaan dasar tersebut.

Atas sebab itu, Shahril beranggapan perjuangan GMP selama ini boleh dianggap tercapai hanya sekitar 60 peratus sahaja, sekali gus memerlukan lebih banyak usaha ke arah pemansuhan segera dasar tersebut.

Tambah Shahril, GMP bukan sahaja meminta kerajaan memansuhkan dasar PPSMI tersebut, tetapi dalam masa sama mengembalikan martabat bahasa Melayu yang sudah sekian lama dipinggirkan.

Himpunan hari ini diadakan bagi mengingati sejarah perjuangan rakyat bersama GMP pada 10 Mac 2009, yang menyaksikan ribuan rakyat yang menyertai himpunan mansuh PPSMI di ibu kota disembur dengan gas pemedih mata dan “water cannon” oleh pihak berkuasa.

Selain Shahril, turut memeriahkan majlis hari ini ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Setiausaha GMP, Hasni Abas; dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Dr. Awang Sariyan.

Selain ucapan para penggiat bahasa, majlis himpunan ini turut memberi ruang kepada penggiat seni untuk menzahirkan pendapat mereka tentang dasar PPSMI seperti deklamasi sajak oleh Dinsman.

Acara kemuncak bagi himpunan ini ialah pelancaran Madrasah Seni, dan pelancaran buku baharu Dinsman, Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, oleh Pak Samad yang akan diadakan malam ini.

Tiada ulasan: