30 Mei 2012

Semua Bahasa Ada Aspek Sebutan Baku

Berita Televisyen Suria, Singapura, 29 Mei 2012.

Penggunaan bahasa baku sebenarnya adalah ciri bahasa tamadun yang tinggi dan untuk menjadi bahasa ilmu, bahasa tamadun yang tinggi seperti bahasa Melayu perlu ada ciri sebutan yang baku. Memberikan pandangannya terhadap usaha Kementerian Pendidikan (MOE) dalam melestarikan bahasa baku, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, menekankan perlu ada perbezaan antara ragam bahasa rasmi dengan bahasa basahan. Profesor Doktor Haji Awang Sariyan merupakan penyampai ucap utama dalam Seminar Bahasa Melayu pada pagi tadi.

Menurut Profesor Doktor Haji Awang, semua bahasa yang mewakili tamadun tinggi seperti Inggeris, Arab dan Mandarin ada aspek sebutan baku. Beliau yang sering melatih guru-guru bahasa Melayu permulaan dalam sebutan baku menambah, jika bahasa Melayu itu dianggap sebagai bahasa ilmu, selain tatabahasa yang baku sebutan juga memainkan peranan penting dalam melengkapkan tahap kebakuan sesebuah bahasa itu.

“Itu pentingnya sebutan baku, bukan semata-mata untuk kita menimbulkan satu gaya; bukan; tapi kita harus membedakan ragam bahasa rasmi, bahasa ilmu, bahasa intelektual itu daripada ragam bahasa basahan. Ragam bahasa basahan boleh apa sahaja asalkan orang faham, tetapi dalam hal ilmu, pemikiran dan perkara-perkara yang teknikal itu, itu mesti melalui satu ragam bahasa yang dapat difahami oleh seluruh pengguna bahasa itu. Itu pentingnya bahasa baku, termasuk sebutan baku.”

“Aspek Nilai sebagai Komponen Teras dalam Pendidikan Bahasa dan Strategi Pengajarannya” merupakan judul ucap utama Doktor Haji Awang dalam seminar yang dihadiri lebih 500 guru dan tetamu ini. Beliau menerangkan, para pendidik harus beranjak dari kepercayaan bahawa pengajaran bahasa itu hanyalah untuk menjadikan murid-murid pandai berbahasa, sebaliknya mereka juga seharusnya dapat melahirkan pemikiran yang baik beradab serta sopan dalam semua aspek.

“Jadi yang penting ialah isi bahasa itu. Ayat yang baik, tatabahasa dan sebagainya itu belum tentu akan baik kalau isinya tidak baik. Oleh sebab itu nilai sangat penting.”

Tiada ulasan: