18 Jun 2012

Isu Hukum D-M (Syed Rojak), Ejaan (Mee) dan Lain-lain

Gambar oleh Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Catatan ini berdasarkan gambar yang di atas. Teks dalam gambar ini adalah seperti yang di bawah:

SYED ROJAK
Anjung Melawati
Rojak Telur Sotong RM4.00
Rojak Telur RM3.50
Rojak Mee RM4.00

Jikalau ayah Syed bernama Rojak atau Syed sangat suka makan rojak sehingga digelar “Syed Rojak”, maka kata nama “Syed Rojak” betul. Sekiranya nama ayah Syed ialah Rojak, namakan gerai itu “Gerai Syed bin Rojak”. Sekiranya, kata “rojak” itu ialah gelaran untuk Syed, gerai itu boleh dinamakan “Gerai Syed Rojak”. Jualan utama di gerai itu bukanlah rojak tetapi mungkin bunga, buah-buahan, kuih-muih dan lain-lain. Jadi kita pergi ke Gerai Syed (bin) Rojak untuk membeli bunga, buah atau kuih.
Jikalau hakikatnya nama ayah Syed bukanlah Rojak dan Syed tidak pernah digelar sebagai “Syed Rojak”, penggunaan kata nama itu silap. Sekiranya kata nama itu bermaksud jualan utama atau satu-satunya jualan di gerai itu ialah rojak, pihak berkuasa tempatan perlu mengarahkan pemilik gerai itu untuk menukar nama gerainya kepada Gerai Rojak Syed. Kata kawan saya, “Rojak di Gerai Rojak Syed itu sedap sungguh!”

“Mee” mungkin nama orang Tionghua. Jadi rojak Mee ialah rojak yang dibuat oleh Puan Mee (Sam Pah). Hal ini dikatakan demikian kerana kita pernah mendengar orang menyebut nasi lemak Mak Minah, pisang goreng Pak Misai, cendol Bakar dan apam (!) Hafilda. Jikalau bahan utama rojak itu ialah mi, maka pihak berkuasa tempatan hendaklah menyuruh Tuan Syed merujuki buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua dan/atau Kamus Dewan Edisi Keempat. Berdasarkan konteks, “mee" itu bukanlah Puan Mee. Saya yakin *“mee" itu sebenarnya mi, iaitu sejenis bahan makanan yang rupanya seperti laksa tetapi biasanya berwarna kuning, dan biasanya juga diperbuat daripada tepung gandum.

“Rojak telur sotong” mungkin rojak istimewa di Gerai Rojak Syed. Kata kawan saya, “Aku belum pernah makan telur sotong. Aku hendak rasa rojak telur sotong di Gerai Rojak Syed itu. Mari kita ke sana.”

Saya membalas, “Lain kalilah, ya. Apabila gerai itu menjual rojak telur penyu, kira-kira empat biji sepinggan, barulah kita pergi. Harganya RM4.00 juga. Ha ha.”

Kata kawan saya lagi, “Oh, telur penyu mahal. Tidak mungkin Tuan Syed menjual rojak telur penyu. Kita ke sana juga. Kita makan rojak telur. Bahan utama rojak telur tentulah telur ayam.”

Saya membalas lagi, “Telur ayam, telur itik, telur puyuh atau telur apa-apa pun, kolesterolnya tinggi dan tidak baik untuk kesihatan kita. Jadi kita makan rojak biasa sahaja yang telurnya cuma sebelah atau sehiris.”

Rakan saya ketawa. Setelah ketawanya reda, barulah dia berkata, “Isy, kamu ini! Kamu mahu telur sebelah sahaja.”

Saya sengaja memasamkan muka sambil mencemik macam menggertak anak kecil. Kawan saya mengekeh. Sesudah kekehannya reda saya berkata, “Kamu tahu telur ayam itu apa?”

Dia membalas, pantas, “Telur ayamlah!”

Saya mencemik lagi sambil mengangguk-angguk sebagai isyarat bahawa jawapan rakan saya itu meleset. Saya menjelaskan, “Di Restoran Azizah ada lauk telur ayam istimewa. Daging ayam yang sudah direbus, dicencang dan digaul dengan rempah. Daging ayam cencang berempah itu dibalut dengan telur dadar, direndam dengan telur sekali lagi dan dimasak sebagai bahan utama sayur campur. Nama masakan itu ialah telur ayam bersayur.”

Kawan saya menggertak saya sambil tersenyum, “Biar betul. Jikalau salah, bertelur pula dahi kamu.”

Saya berkata bersungguh-sungguh, “Betul! Saya sudah makan lauk telur bersayur itu. Sedap!”

“Jikalau begitu, kita ke Restoran Azizah sahaja. Saya hendak merasa telur ayam istimewa itu,” kata kawan saya.

“Jadi!” balas saya.

Kami ketawa dengan menggunakan ikon kerana komunikasi kami secara maya.

Lampiran

Sepinggan Rojak

Dia terhantar ke sini demi sepinggan rojak
kegemaran orang banyak.

Apabila dia mula mengunyah
sehelai rambut menggelisah dalam pinggan rojak basah.

Rambut itu dipinggirkannya sahaja
dia meneruskan kunyahan tanpa selera.

Kini matanya terbeliak
di dalam pinggan seekor kacoak berlumuran kuah rojak.

Dari langit-langit rumah ada suara mendesah:
“Jangan gelisah ramuan itu dicuci sudah
digarami, dilumuri rempah
makanlah!”

Dia meneruskan kunyahan
dengan seribu rasa enggan
penuh kepayahan.

Dia terpandang pula objek yang luar biasa
pada baki rojak utara.

Apabila diamati-amatinya
memang cebisan ekor celurut
rojak menggelodak dalam perut.

Dari langit-langit rumah
ada suara ramah tuan rumah:
“Cencangan halus celurut itu
perencah utama hidanganku.”

Rojak mamak terus dihabiskan
rasa mual ditahan-tahan
muntah di sini, janganlah jangan.

Sebelum dia melangkah pergi
dilihat pinggan rojak tadi
masih penuh berisi persis belum disentuhi!

Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban
25 April 2009

Tiada ulasan: