02 Jun 2012

Pelaksanaan Penggunaan Bahasa Melayu Stesen Radio Mesti Diaudit


Saya baru mengetahui bahawa mulai tahun 2013 semua stesen radio di negara kita mesti menggunakan 80 peratus bahasa Melayu untuk memperoleh lesen. Perkara ini saya ketahui apabila Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa menyiarkan ulasan berita yang berkenaan di blognya hari ini. Ulasan berita itu tersiar di sebuah akhbar pada 22 Februari 2012.

Berdasarkan ulasan berita itu, pada masa ini stesen radio mesti menggunakan bahasa Melayu sebanyak 60 peratus bagi mendapatkan lesen. Ertinya, mulai tahun hadapan syarat penggunaan bahasa Melayu itu dinaikkan sebanyak 20 peratus. Syarat ini dikenakan kepada semua stesen radio di negara kita, termasuk stesen radio swasta.

Sudah pasti saya menyokong dasar baharu ini. Yang saya tidak pasti ialah penggunaan bahasa Melayu oleh 56 stesen radio pada masa ini dan pada masa lalu. Saya berkata demikian kerana saya pernah mendengar, iaitu sekadar tinjauan beberapa minit, siaran radio berbahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Setakat tinjauan beberapa minit itu, tiada pula saya terdengar sepatah pun perkataan bahasa Melayu. Saya berharap, ketika saya mendengar-tinjau itu, stesen-stesen yang berkenaan sedang memanfaatkan 40 peratus siaran bukan berbahasa Melayu.

Saya berharap dasar ini benar dan pelaksanaannya juga benar. Saya berkata demikian kerana kerajaan kita pernah melanggar Dasar Pelajaran Kebangsaan, iaitu apabila kerjaan melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2003. Sekiranya kerajaan boleh meremehkan dasar yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan, saya khuatir stesen radio tidak mempedulikan dasar penggunaan bahasa Melayu sebanyak 60 peratus itu.

Oleh hal yang demikian, pelaksanaan dasar yang sedia ada mestilah diaudit oleh pasukan audit bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Audit itu mestilah dilaksanakan dalam tahun ini juga. Stesen radio yang gagal melaksanakan penggunaan 60 peratus bahasa Melayu itu mesti dikenakan tindakan yang sewajarnya, termasuk penggantungan lesen sekiranya kegagalan penggunaan bahasa Melayu itu pada tahap melampau. Hal ini penting agar 56 stesen itu bersedia untuk melaksanakan syarat baharu yang akan berkuat kuasa mulai tahun hadapan.

Dalam ulasan berita itu dinyatakan harapan Ketua Pengarah DBP, Dr. Haji Awang Sariyan agar syarat itu merangkumi penggunaan bahasa yang baku, bermutu dan menepati sistem nilai masyarakat kita. Beliau juga berharap syarat itu juga menekankan larangan penggunaan bahasa kesat, kasar dan tidak santun. Saya menyokong pandangan beliau.

2 ulasan:

Unknown berkata...

memartabatkan BM dan memperkasakan BI..semua entry Tuan Haji amat banyak manfaatnya.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Terima kasih, cikgu. Kita berkongsi maklumat dari semasa ke semasa. Wassalam.