24 Jun 2012

Perbincangan Cendekiawan: Kekeliruan Aspek Tatabahasa Mesti Diselesaikan

Gambar oleh Zaidi Ismail
Usaha guru untuk mengajarkan bahasa Melayu kepada murid menghadapi masalah kerana terdapat banyak aspek tatabahasa yang mengelirukan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hendaklah mengambil berat hal ini dan mencari jalan penyelesaiannya. Ini adalah antara pandangan Cikgu Abdul Ghalib Yunus dalam kertas kerjanya “Isu-isu Tatabahasa Bahasa Melayu” yang dibentangkan dalam perbincangan cendekiawan di DBP pada 23 Jun 2012.

Cikgu Abdul Ghalib mengemukakan enam contoh aspek tatabahasa yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, khususnya murid dan guru. Lima kekeliruan contoh berkaitan dengan penggunaan perkataan, iaitu “justeru”, “ia”, “cenderamata atau cenderahati atau cendera kenangan”, “pelaksanaan atau *perlaksanaan” dan “banyak”. Satu kekeliruan contoh lagi ialah penggunaan frasa “sehubungan dengan itu atau sehubungan itu”.

Menurut Cikgu Abdul Ghalib, pengguna bahasa Melayu berasa serba salah untuk meneruskan penggunaan perkataan “justeru” di awal ayat, iaitu sebagai penanda wacana yang semaksud dengan “oleh itu”. Rasa serba salah itu timbul kerana Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4) tidak menyatakan bahawa justeru juga bermaksud “oleh itu”. Cikgu Abdul Ghalib bertanya, “Penyelesaiannya ialah adakah kita menerima atau menolak penggunaan perkataan ini yang membawa maksud ‘oleh itu’?”

Penggunaan perkataan “ia” pula menjadi bahan polemik apabila KD4 menjelaskan bahawa “ia” digunakan juga sebagai “kata ganti benda yang dibicarakan”. Penjelasan ini bertentangan dengan peraturan yang sedia yang mengatakan “ia” digunakan sebagai kata ganti nama diri ketiga bagi manusia sahaja.

Bagi perkataan “cenderamata atau cenderahati atau cendera kenangan”, Cikgu Abdul Ghalib ingin akan kepastian sama ada DBP menerima atau tidak “perkataan cenderahati (dalam KD4) sebagai perkataan yang baku yang sama maksudnya dengan perkataan cenderamata”. Seterusnya beliau berkata, “Akhir-akhir ini pula, ada pihak yang menggunakan perkataan cendera kenangan yang membawa maksud cenderamata. Adakah ketiga-tiga perkataan ini diterima sebagai perkataan yang baku?”

Seterusnya Cikgu Abdul Ghalib menjelaskan bahawa penggunaan penanda wacana “sehubungan dengan itu” dan “sehubungan itu” juga menimbulkan polemik dalam kalangan pengguna bahasa. Menurut beliau, dalam KD4 dinyatakan bahawa perkataan “sehubungan” bermaksud “berkaitan dengan”. Beliau bertanya, “Adakah maksud ‘sehubungan’ yang dikemukakan itu tepat? Bukankah maksud ‘sehubungan’ ialah sama hubungan?” Sekali lagi beliau berharap agar pihak DBP dapat memberikan penjelasan.

Kewujudan perkataan “*perlaksanaan” dalam KD4 juga menyebabkan pengguna bahasa Melayu mengalami kekeliruan. Kekeliruan itu berlaku kerana perkataan itu dan perkataan yang seumpamanya seperti “*perlantikan" menyalahi proses pembentukan kata terbitan dengan menggunakan imbuhan. Bagi perkataan “banyak” pula, Cikgu Abdul Ghalib menyatakan, “Isu tentang penjenisan perkataan ‘banyak’ sama ada kata adjektif atau kata bilangan himpunan tidak tentu sepatutnya tidak timbul jika pengguna bahasa Melayu memahami bahawa sesuatu perkataan itu dapat berfungsi sebagai kata lain dalam ayat. Persoalannya ialah apakah peranan DBP untuk menyelesaikan isu ini?”

Menurut Cikgu Abdul Ghalib, punca masalah kekeliruan tentang tatabahasa bahasa Melayu berlaku kerana

1. Pandangan tentang sesuatu aspek tatabahasa dalam kalangan pakar bahasa berbeza.
2. Pensyarah atau guru bahasa mempunyai pendapat yang berbeza.
3. Munsyi dewan A berbeza pendapat dengan munsyi dewan B.
4. Pegawai DBP berbeza aliran atau pegangan.
5. Editor sesebuah majalah tidak bersependapat dengan editor majalah yang lain.
6. KD4 bukan kamus yang baku.

Sebagai kesimpulannya, Cikgu Abdul Ghalib menegaskan bahawa status KD4 sama ada sebagai kamus yang baku atau kamus yang tidak baku perlu diperjelas. “Hal ini dikatakan demikian kerana KD4 dijadikan rujukan utama oleh guru dan murid. Untuk meningkatkan kewibawaan KD4, penambahbaikan perlu dilakukan secara ilmiah melalui muzakarah yang melibatkan banyak pakar bahasa dan bukannya melibatkan sekumpulan kecil pegawai DBP atau pegawai Bahagian Perkamusan,” katanya. Beliau juga berharap DBP menggunakan kuasa yang ada untuk membuat ketetapan agar segala masalah yang timbul dapat diselesaikan.

Perbincangan itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah DBP, Dr. Haji Awang Sariyan. Kira-kira 40 orang menyertai perbincangan itu. Mereka terdiri daripada tokoh bahasa Melayu, karyawan DBP dan munsyi dewan. Antara tokoh bahasa Melayu yang hadir termasuklah panel penulis buku Tatabahasa Dewan, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan Profesor Abdul Hamid Mahmood. Turut hadir ialah pesara DBP dan pakar ejaan, Tuan Haji Ismail Dahaman, dan Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Encik Kamal Shukri Abdullah Sani.

Perbincangan selepas pembentangan kertas itu hangat. Kewibawaan KD4 dalam beberapa perkara dan usaha untuk meningkatkan kewibawaan itu mendapat perhatian istimewa para peserta. Antara isu yang dibangkitkan termasuklah penyelarasan bentuk penulisan kependekan, iaitu secara umumnya tanda titik tidak diletakkan di antara huruf. Persoalannya, beberapa penyelarasan itu tidak akur dengan Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu. Selain itu, disentuh juga peranan guru untuk membimbing murid bagi menggunakan kamus secara berkesan.

Antara perkara yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan yang dibincangkan pula termasuklah kata majmuk yang dieja bercantum dan perkataan bukan kata majmuk yang dieja bercantum seperti perkataan “dukacita”. Hal lain yang turut mendapat perhatian peserta ialah sambutan hangat pengguna bahasa Melayu terhadap Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) di laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dianggarkan lapan puluh peratus jawapan KNDBP tepat. Secara keseluruhannya anggaran menunjukkan usaha KNDBP bertaraf cemerlang. Walau bagaimanapun, KNDBP diminta untuk lebih berhati-hati memberikan jawapan, khususnya jawapan yang bersandarkan KD4.

Saya menyokong pandangan beberapa orang rakan agar perbincangan cendekiawan itu dijadikan acara bulanan. Baik benar DBP meng-e-melkan bahan yang akan dibincangkan itu kepada peserta. Molek pula diusahakan satu atau dua kertas tambahan. Jikalau tuan rumah tidak keberatan, mulakan perbincangan pada pukul 9.00 atau 9.30 pagi agar lebih banyak perkara dapat diutarakan dan penyelesaian terhadap sesuatu isu dikenal pasti. Wallahuaklam. Wassalam.

Tiada ulasan: