07 Julai 2012

Ejaan Jawi: Songkok

Dalam tulisan Jawi kini, perkataan songkok dieja سوڠكوق. Ejaan ini berdasarkan peraturan pengejaan kata dasar dua suku kata dan penggunaan huruf qaf.

Perkataan songkok ialah kata dasar dua suku kata berpola KVK-KVK. K ialah konsonan dan V ialah vokal. Huruf ng ialah digraf (konsonan bergabung) dan dikira satu unit (satu K). Jadi, suku kata “song” ialah KVK bukan KVKK. Suku kata yang diakhiri dengan K dinamakan suku kata tertutup. Jadi, perkataan songkok terdiri daripada dua suku kata tertutup. V dalam suku kata “song” dan “kok” ialah o dan dinamakan pola vokal o + o.

Peraturan 8.16 dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu (DKBM) Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (2008: 110) menyatakan bahawa “huruf vokal ya atau wau digunakan di kedua-dua suku kata apabila mengeja kata dasar yang berpola KVK-KVK”. Bagi pola vokal o + o, perkataan contoh ialah doktor dan ejaannya دوكتور, iaitu dalam kedua-dua suku kata ada huruf wau bagi vokal o. Peraturan inilah juga yang digunakan bagi mengeja perkataan songkok. Jikalau songkok dieja سڠكق, سوڠكق atau سڠكوق, ejaan ini mungkin ejaan lama atau ejaan buatan yang tidak mematuhi peraturan dalam DKBM.

Peraturan 6.3 dalam DKBM (halaman 94) menyatakan bahawa “huruf qaf digunakan sebagai lambang bagi semua bunyi hentian glotis di akhir kata jati bahasa Melayu”. Antara perkataan contoh termasuklah ڤوكوق dan روكوق. Perkataan songkok ialah kata jati bahasa Melayu. Jadi konsonan akhir perkataan ini ialah qaf, bukan kaf atau hamzah. Ejaan سوڠكوك, سوڠكوء atau kelainannya mungkin ejaan lama atau ejaan buatan yang tidak mematuhi peraturan dalam DKBM.

Peraturan 12.4 dalam DKBM (halaman 119) menyatakan bahawa “huruf konsonan k di suku kata akhir ejaan Rumi kata serapan daripada bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa Eropah yang lain dieja dengan huruf kaf dalam ejaan Jawi”. Antara perkataan contoh yang diberikan termasuklah klasik dan subjek. Tegasnya, ejaan perkataan songkok yang menggunakan kaf menyalahi peraturan 6.3 dan 12.4 dalam DKBM.

Penjelasan ini diharap dapat membantu mereka yang mempelajari tulisan Jawi, khususnya pelajar institut pendidikan guru yang mungkin dikehendaki mengarang esei tentang ejaan Jawi sebagai sebahagian daripada tugasan kursus tertentu.

Wallahuaklam. Wassalam.

Tiada ulasan: