16 Julai 2012

Sambil Lewa Seerti dengan Sambalewa


Gambar daripada http://www.bmupsr.com/2010/05/sambalewa-atau-sambil-lewa.html (diubah suai)
Kita biasa menggunakan ungkapan “sambil lewa”. Kita faham maksudnya, iaitu tidak bersungguh-sungguh mengerjakan sesuatu. Kita menerima kewujudannya sebagai ungkapan yang utuh, iaitu kata majmuk. Dalam kamus pun, “lewa” ditakrifkan dalam konteks ungkapan “sambil lewa”, bukan “sambil” + “lewa”. Walau bagaimanapun, kamus menyatakan “lewa” juga ialah dialek Kelantan. Perkataan ini digunakan sebagai kata terbitan “melewa” yang bermaksud mengacukan pisau (dan sebagainya) kepada seseorang.

Hari ini, seorang rakan saya mengatakan bahawa perkataan “sambil lewa” silap. Katanya, perkataan yang betul ialah “sambalewa”. Apabila saya merujuki kamus, saya mendapati “sambalewa” seerti dengan “sambil lewa”. Tegasnya, anggapan bahawa ungkapan “sambil lewa” silap tidak benar.

Dalam ruangan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP) ada tiga soal jawab tentang hal ini. Soalan yang bertarikh 11 Disember 2009 ialah “sambil lewa atau sambalewa?” Jawapan KNDBP, “Yang betul ialah sambil lewa”.

Rakan saya, Tuan Haji Muhammed Salehudin Aman pernah menjelaskan perkara ini dalam akhbar tempatan. Beliau merumuskan, “Jadi, untuk kita menyatakan maksud melakukan sesuatu pekerjaan tanpa bersungguh-sungguh, kita mempunyai tiga pilihan kata/frasa yang dapat saling berganti, iaitu sambil lewa, sambil lalu dan sambalewa.”

Sesudah kita mengetahui kedudukan perkara ini, kini kita boleh terus menggunakan perkataan “sambil lewa” dengan rasa senang hati. Di samping itu, kita juga boleh menggunakan kata seertinya, iaitu “sambalewa” atau “sambil lalu”.

Tiada ulasan: