22 Julai 2012

Saya Pilih Kesep

Jikalau bijinya kesep, puaslah kita makan!
1. Pada 9 Mac 2012 Facebook Pelita Bahasa mengetengahkan perkataan kesip. Dicatatkan bahawa kesip bermaksud tidak berbiji atau terlalu kecil bijinya (tentang buah-buahan). Takrif ini ialah takrif lema kesip I dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK). Baru saya sedar bahawa KDEK menggunakan ejaan dan sebutan kesip. Selama ini saya menggunakan ejaan kesep dan sebutan [kĕ.sĕp].

2. Dalam Panduan Penggunaan KDEK dinyatakan, “Atas beberapa pertimbangan, sebilangan besar perkataan yang berbeza daripada bentuk standard masing-masing, iaitu yang merupakan variasi kata, serta bentuk tertentu variasi ejaan, masih dimuatkan dalam kamus ini sebagai kata masukan yang dirujukkan kepada bentuk ejaan standard, dengan tanda anak panah.” Dalam KDEK ada masukan kesep yang dicatat seperti ini: kesep (kĕsĕp) tidak berbiji; g kesip I. Berpandukan petikan ini, ejaan dan sebutan yang baku ialah kesip. Masukan ini juga bermaksud ejaan dan sebutan kĕsĕp wujud dan dianggap sebagai kelainan (variasi) kata/ejaan, iaitu bukan ejaan dan sebutan baku.

3. Dalam Panduan Penggunaan KDEK dinyatakan juga, “Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan (sering kali dengan maklumat-maklumat selanjutnya). Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan.” Berdasarkan petikan ini pula, perkataan kesep ada takrifnya, iaitu tidak berbiji. Jadi, kesep juga dapat dianggap baku. Tanda anak panah yang bererti lihat kesip I, ialah rujuk silang. Jadi, kesip ialah variasi kepada kesep.

4. Jikalau penjelasan dalam tanda kurung diabaikan, maka kedua-dua kesip dan kesep baku. Namun, apabila penjelasan dalam tanda kurung diambil kira, perkataan yang baku hanya kesip. Takrif tidak berbiji bagi kesep bukan sekadar ringkas bahkan silap. Hal ini saya ulas dalam perenggan kesembilan.

5. Rujukan yang berwibawa untuk ejaan dan sebutan ialah Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi (DKBM, 2008). Dalam panduan penggunaan DKBM dinyatakan bahawa “Kata yang terdapat dalam tanda kurung yang ditulis dengan huruf tegak selepas entri merupakan kata yang baku bagi entri tersebut.” Entri contoh yang diberikan ialah akasa (angkasa). Hal ini bermaksud perkataan akasa tidak baku. Perkataan yang baku ialah angkasa. Dalam DKBM ada entri angkasa dan satu terbitannya.

6. Sehubungan dengan hal ini, dalam DKBM ada entri kesep (kesip). Jadi, bolehlah kita katakan bahawa kesip baku; kesep tidak baku. Namun, apabila kita meneliti entri kesip, tanggapan kita boleh berubah. Hal ini berlaku kerana ada terbitan berkesip, berkesip-kesip dan mengesip. Perkataan kesip I ialah kata adjektif. Perkataan ini memang dapat menerbitkan mengesip yang maksudnya masih mengekalkan makna asal seperti perkataan membujur, membulat dan menguning. Oleh sebab maksud mengesip dalam KD4 ialah menghisap-hisap buah, gula-gula dan lain-lain, maka perkataan mengesip lebih berkemungkinan terletak di bawah lema kesip III.

7. Dalam KD4, di bawah kesip II pula dinyatakan bahawa berkesip dan berkesip-kesip bermaksud berkelip(-kelip). Lema kesip II ini digunakan di Jakarta dan bermaksud kedip atau kelip. Penjelasan ini membolehkan kita merumuskan bahawa entri kesip dalam DKBM bukan kesip I. Tegasnya, tanggapan bahawa kesip baku, kesep tidak baku boleh dipersoalkan.

8. DKBM tidak menggunakan sistem I, II dan seterusnya seperti yang digunakan oleh KD4. DKBM menjelaskan makna perkataan dengan mencatatkan makna entri yang berkenaan dalam kurungan dan ditulis dengan huruf condong. Contohnya, rai (bunyi), rai (menjamu); rafik (mulia), rafik (sahabat karib); dan sabit (pisau), sabit (nyata). Penjelasan ini wajar digunakan untuk kesip (biji) dan kesip (kedip, hisap).

9. Saya ialah penutur dialek Negeri Sembilan. Ketika kanak-kanak dan remaja, iaitu sebelum saya merantau, saya, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat kampung kami kerap menggunakan perkataan kesep bagi merujuk biji buah-buahan yang kecil atau nipis daripada biji biasa. Antara buah yang adakalanya mempunyai biji yang kesep ialah buah durian, mangga dan rambutan. Bagi durian dan mangga, biji itu tetap ada; tanpa biji, tidak timbul perkataan kesep. Bagi rambutan, ada buah yang kecil atau nipis tanpa biji. Saya tidak pasti sama ada pernah atau tidak kami menyebut buah rambutan yang kecil dan nipis itu kesep. Sekiranya rambutan yang kecil atau nipis itu disebut kesep juga, maka takrif “biji (buah) yang terlalu kecil atau nipis (tentang buah-buahan)” bolehlah digunakan.

10. Sebagai kesimpulannya, saya memilih ejaan kesep dan sebutan [kĕ.sĕp]. Walau bagaimanapun, sekiranya ternyata bahawa penggunaan perkataan kesip dan sebutan [kə.sip] tersebar secara meluas dalam dialek-dialek yang lain, penyusun Kamus Dewan dan DKBM edisi seterusnya bolehlah mengekalkan kesip sebagai perkataan yang baku.

Tiada ulasan: